"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Sederhana Dan Mendidik - Dr Mohd Asri

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Pada 30 hb Julai 2011 lepas saya menghadiri satu lagi jemputan satu program anjuran Kerajaan Negeri Kelantan bertajuk ‘Bicara Selebriti’. Ya, sudah beberapa kali sayhttp://www.alhusna.info/images/Dr%20Asri.pnga dijemput ke Balai Islam, Kelantan untuk pelbagai wacana. Namun kali ini agak lain sedikit. Biasanya di pentas Balai Islam itu saya akan berbicara dan berdiskusi dengan tokoh-tokoh politik atau pemikir. Selalunya ‘panas’ dan banyak emosi akan ‘bangkit’.

Namun kali ini agak santai dengan tajuk dan panel yang demikian rupa. Turut diundang selebriti Wardina Safiyyah dan guitaris terbilang saudara Sham Kamikaze. Turut menjadi panel tokoh dakwah yang dikenali ramai, sahabat baik saya yang lama tidak bertemu al-Fadhil Ustaz Hasrizal Jamil dan juga sahabat baik saya Amin Idris sebagai moderator.

Saya bukan tidak pernah sepentas dengan Wardina, hanya seminggu lepas saya dan beliau berforum di KUIS, Selangor yang turut dihadiri oleh Dato Sri Shahrizat Jalil. Beliau juga sahabat saya. Demikian Saudara Sham Kamikaze yang selalu juga ke rumah saya di Bukit Mertajam. Namun, untuk sepentas atas nama selebriti agak berat bagi saya. Saya bukanlah terkenal seperti mereka. Mereka selebriti, saya rakyat marhaen.

Ya, saya seorang rakyat biasa, yang kadang-kala terlibat mengulas isu-isu yang menjadi hak rakyat muslim merdeka untuk memperkatakannya. Cuma, saya juga mengulas banyak isu seni di sudut agama dan pemikiran serta menulis puisi dan lirik. Mungkin yang lebih ‘sikit’ pernah jadi Mufti Perlis. Ramai juga artis-artis glamour merupakan sahabat baik saya. Namun, agak ‘segan’ untuk duduk atas pentas atas nama selebriti. Apapun, saya kagum dengan kepimpinan Kerajaan Kelantan yang menampilkan kematangan mereka dalam mengadunkan isu-isu hiburan ini di negeri yang terkenal dengan banyak pusat pengajian agama.
Bahagian Saya
Dalam majlis itu, saya mengambil peranan membahaskan pandangan sarjana tentang nyanyian dan muzik. Saya tahu, bukan senang bagi pihak kerajaan negeri untuk membolehkan lahirnya sikap terbuka dalam kalangan mereka yang ‘kuat agama’mengenai isu ini. Apatah lagi di Kelantan yang banyak pondok-pondok tradisionalnya. Dalam masa yang sama, generasi muda inginkan hiburan dan mereka perlukan bimbingan.

Dalam majlis itu, saya jelaskan bahawa ada perbezaan pendapat dalam kalangan sarjana fekah mengenai persoalan nyanyian dan muzik. Dalam persoalan khilaf yang muktabar seperti ini, seseorang berhak memilih pandangan dia yakini dan tidak boleh memaksa orang lain meyakini apa yang dia yakini. Ertinya, setiap muslim berhak berpegang dengan pandangan yang dia rasa lebih rajih atau kukuh. Dia tidak boleh mewajibkan pandangan tersebut ke atas orang lain, jika mereka mentarjihkan pandangan yang berbeza. Ini khilaf yang diiktiraf atau khilaf mu’tabar. Tiada siapa yang berhak memaksa pilihannya ke atas orang lain. Maksudnya, jika ada yang mengharamkan muzik, maka tidak boleh dia memaksa pandangan yang sama ke atas mereka yang mengharuskannya. Demikian sebaliknya.
Bagi saya, saya selalu teringat Nabi s.a.w ketika membenarkan pertunjukkan permaianan perisai dan lembing dalam masjid, sehingga ramai yang menonton termasuk kaum wanita dan isteri Nabi s.a.w sendiri iaitu Aishah, baginda bersabda:
“Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah” (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).
Bahkan baginda s.a.w apabila hadir ke perkahwinan Ansar, baginda bersabda:
“Wahai ‘Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan”(Riwayat al-Bukhari).
Lebih dari itu, kadang-kala baginda terlibat dalam membetulkan lirik, agar lebih bertepatan dengan ajaran Islam. Al-Rubaiyi’ binti Mu’awwiz menceritakan bahawa:
“RasululLah s.a.w datang ke majlis perkahwinanku, lalu baginda duduk di tempat dudukku. Beberapa orang gadis memukul kompang dan menyanyikan lagu kesedihan mengenang bapa mereka yang terbunuh semasa peperangan Badar sehingga salah seorang mereka berkata: “Di sisi kami ada nabi yang mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok”. Baginda bersabda: “Jangan engkau kata begitu, katalah apa yang engkau katakan sebelum itu” (Riwayat al-Bukhari).
Demikian, Nabi s.a.w tidak melarang nyanyian gadis-gadis tersebut sekalipun lagu-lagu berlirik sedih yang dinyanyikan mengenai mereka yang terkorban. Cumanya apabila mereka menyebut lirik yang bercanggahan dengan kebenaran maka Nabi s.a.w. menegurnya. Dalam hadis ini Nabi s.a.w menegur ungkapan yang menyatakan baginda tahu apa yang akan terjadi pada esok hari. Hal ini tidak benar. Hanya Allah sahaja yang mengetahui perkara yang bakal berlaku.
Kelantan Contoh
Sebagai sebuah kerajaan, kepimpinan Kelantan telah mengambil jalan yang yang sederhana. Kelantan –melalui program seperti ini- memberikan pendidikan secara langsung dan tidak langsung untuk activist muslim berinteraksi dengan dunia hiburan. Sekaligus mendekati anak-anak muda. Jalannya bukan memerangi hiburan, sebaliknya mencari ruang untuk dimanfaatkan; maka rakyat dapat berhibur secara terarah dan tidak melampai batas. Dengan itu Kelantan tidak menjadi kerajaan yang tidak bertanggungjawab yang membiarkan rakyat bebas lepas dengan hiburan tanpa bimbingan, tidak juga menjadi jumud sehingga mengharamkan segala bentuk hiburan; nyanyian, muzik dan filem.

Gambar: Saya membaca puisi saya yang bertajuk ‘Akan Ku Terus Ketuk PintuMU’, Sham bermain gitarnya.

Demikianlah, apabila sesebuah kepimpinan itu ada wawasan yang jelas dan nurani yang inginkan rakyat berada dalam bimbingan yang betul. Segala gerakerja diselaraskan antara kehendak rakyat dan peraturan agama. Sikap yang matang lagi sederhana diperlukan oleh rakyat dan umat pada setiap ketika. Bukan masanya untuk mengharamkan itu dan ini tanpa memberikan alternative yang dapat membimbing rakyat yang pelbagai ragam dan kehendak. Janganlah pula jadi seperti kepimpinan yang hanya hendak ‘memberikan keseronokan’ kerana inginkan sokongan mereka rakyat tanpa memikirkan kesan dan masa depan.

Cumanya, masih banyak perkara yang perlu dibuat. Kita perlukan pembikinan karya-karya seni dalam pelbagai bidang yang berkualiti dan mendidik. Ada gabungan antara unsuran hiburan dan bimbingan secara terancang. Ada ikatan antara seni dan kehidupan insani secara berkesan. Ini memerlukan satu perancangan jangka panjang dan pendek. Semoga Kelantan mampu melangkah lebih jauh.

Tahniah YB Baihaki Atiqullah
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada sahabat yang saya kasihi YB Ustaz Ahmad Baihaqi Atiqullah yang bertungkus lumus menjayakan program tersebut. Beliau anak tuan guru pondok Pasir Tumbuh, Tuan Guru Haji Atiqullah Yaakob. Latar belakang agamanya dan sikapnya yang terbuka patut menjadi contoh kepada banyak pihak. Beliau adalah salah satu bukti bahawa kepimpinan agama di Kelantan bersikap rasional dan meraikan perbezaan latar belakang rakyat. Sangkaan bahawa kepimpinan agama akan mengharamkan hiburan dan seni ke atas rakyat adalah tidak benar jika dikaitkan dengan kepimpinan Kelantan. YB Ahmad Baihaqi masih muda. Beliau dua tahun lebih muda dari saya. Sama-sama belajar di Jordan dahulu. Hari ini menjadi pemimpin yang makin matang. Apa yang masih perlu untuk semua insan, termasuk beliau adalah terus mendedahkan diri kepada maklumat yang pelbagai, aliran fikir yang semakin rencam dan mencari kesederhanaan di sebalik itu semua. Tahniah YB Baihaqi atas usaha membuka minda dan mencari alternative. Tahniah Kelantan!

Gambar: YB Baihaqi menyampai cenderahati kepada saya.

http://drmaza.com/home/

Tiada ulasan: