KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Sekumpulan 33 pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda, Johor Baru mendakwa mereka telah didera secara fizikal semasa menyertai kursus motivasi di Penjara Kluang minggu lalu, lapor akhbar-akhbar tempatan hari ini.
Dalam program selama tiga hari itu, mereka bukan sahaja dibotakkan kepala tetapi mendakwa dipukul di perut, digari, dicengkam di tengkuk dan diarahkan untuk memakai baju persalinan banduan.
Seorang pelajar, Mohd. Fakhrullah Masali, 16, mendakwa, pihak sekolah memberitahu program tersebut merupakan kem motivasi bagi pelajar yang mempunyai masalah disiplin dan akan diadakan di hotel.
Namun, Jumaat lalu mereka dibawa ke Penjara Kluang dan diminta menyerahkan semua barangan peribadi kepada pihak urus setia kursus.
“Saya agak terkejut sebab pada mulanya kami diberitahu akan menjalani kursus motivasi di hotel selain diberi beberapa kemudahan lain.
“Namun apabila tiba di sana, kami dilayan tak ubah seperti banduan, malah dikejutkan seawal 4.30 pagi untuk latihan kawad dan sebagainya,” katanya dipetik Utusan Malaysia hari ini.
Berita Harian memetik mangsa berkata mereka bukan sahaja rambut digunting pendek ala banduan, malah turut ditempeleng, ditumbuk dan diperlakukan seperti penghuni penjara, apabila ada di antara pelajar turut digari sehingga mereka trauma.
Kata laporan itu, lebih mengejutkan, pelajar mendakwa dua guru pengiring kumpulan pelajar yang dipilih atas alasan mempunyai masalah disiplin ponteng sekolah dan kelas, merokok serta terbabit dengan pergaduhan hanya mentertawakan tindakan wadar ke atas mereka.
Seorang lagi pelajar, Firdaus Mohammad, 16, memberitahu, mereka turut didera melakukan pelbagai aktiviti termasuk tekan tubi, berguling atas jalan dan ketuk ketampi sebanyak 150 kali.
Dakwanya, peserta juga dimarah dan dipukul sehingga ada yang menangis akibat tidak tahan.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Johor Baru Khalid Mohamed yang menerima aduan tersebut berkata, satu memorandum ditandatangani oleh ibu bapa peserta terbabit akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.
Menurutnya, tindakan yang dilakukan oleh pihak urusetia kursus tidak sesuai dan sewajarnya tidak berlaku.
“Saya harap pihak kementerian menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap guru-guru terlibat termasuk pihak Jabatan Penjara Kluang.
“Kami rasa marah dan terkejut apabila para pelajar berkenaan dihantar ke penjara umpama seorang penjenayah malah turut digari. Tindakan seumpama itu seperti tidak bertamadun dan zalim,” katanya.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan, Datuk Samsol Bari Jamali ketika dihubungi hari ini mengakui pihaknya sedia maklum dengan program berkenaan iaitu pelajar menjalani simulasi kehidupan di penjara.
Menurutnya, sekolah berkenaan bukan yang pertama menjalani aktiviti itu, malah sebelum ini dua buah sekolah lain pernah mengikuti aktiviti sama.
“Konsultan dilantik oleh pihak sekolah juga adalah yang biasa dilantik oleh Pejabat Pendidikan Daerah Johor Baru dan mungkin modul sahaja berbeza.
-malaysianinsider-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan