WAN JI BIN WAN HUSSIN
Mahkah Sivil juga melaksanakan Syariah.
Disamping hudud dan Qisas, takzir juga dianggap sebagai syariah dari sudut fiqh perundangan Islam. Tidak sepertimana Hudud dan Qisas, Takzir tidak ditetapkan menerusi teks wahyu, tetapi tertakluk kepada pendekatan pemerintah.
Takzir berasaskan kepada prinsip maslahah. Ini kerana, dalam fiqh disebut, ''urusan pemerintah terhadap rakyat tertakluk kepada kemaslahatan''. Disamping kemaslahatan, takzir juga perlu menepati prinsip keadilan. Ini kerana, tujuan utama bagi penurunan syariah adalah mencapai keadilan kepada manusia.
Hudud dan qisas adalah soal syarat-syarat pembuktian yang ketat, malahan kadangkala susah hendak dicapai. Apabila syarat-syarat tidak dapat disempurnakan, hudud tidak dilaksanakan.Namun begitu, tidak bermakna pesalah bebas, sebaliknya tetap dikenakan hukuman atas nama takzir.
Ekoran itu, hukum potong tangan pasti tidak dapat dilaksanakan ketika syarat-syaratnya tidak dapat disempurnakan, seperti barang kecurian tidak sampai kadar satu perempat dinar, barang kecurian tida terjaga rapi dan sebagainya. Walaupun pencuri terlepas dari hukuman potong tangan yang merupakan hudud, pencuri tersebut tetap dikenakan hukuman atas nama takzir. Begitujuga hukuman sebatan seratus sebatan bagi kesalahan zina, yang apabila syarat-syarat pembuktian zina gagal disempurnakan, seperti saksi tidak capai empat orang saksi adil yang melihat dengan mata mereka kejadian zina seperti melihat masuk kayu celak ke dalam botol celak. Walaupun hukuman sebatan 100 kali tidak boleh dilaksanakan atas nama hudud, penzina tetap dikenakan hukuman atas nama takzir, iaitu hukuman yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.
Di mahkamah sivil, banyak hukuman boleh dianggap bersifat syariah dari kacamata takzir. Malahan, salah seorang ulama al-Azhar bernama Dr Abd Rab al-Nabi dalam tesis Phd beliau bertajuk ''Nazariah al-Muwazanat Bain al-Manafi' wa al-Madhar Fi Ithor al-Qanun al-Am'' menyatakan pengamalan mahkamah sivil di Perancis, banyak menepati dengan hukuman syariah menerusi ijihad dalam Mazhab Maliki. (lihat muka surat 105)
Tanpa boleh dinafikan, ada beberapa kesalahan di mahkamah syariah tidak ikut syariah. Contohnya, mengajar tanpa tauliah. Ini kerana, hadis ada menyatakan bahawa Nabi saw suruh menyampaikan ilmu dari nabi, walaupun hanya satu ayat. Mengkritik fatwa bukan satu kesalahan syariah, tetapi dianggap sebagai kesalahan di mahkamah syariah.
Jelas bahawa ada beberapa kesalahan dan hukuman di mahkamah sivil sudah menepati syariah, dan ada beberapa kesalahan di mahkamah syariah tidak ikut syariah.
Soal capaian keadilan, tanpa dinafikan bahawa mahkamah syariah sendiri banyak melaksanakan hukuman secara tidak adil. Ekoran itu, dalam kes melibatkan Ustaz Rasul Dahri, beliau dipenjarakan selama setahun semata-mata mengajar ilmu agama dengan alasan tanpa tauliah; YB Khalid Samad dikenakan denda RM 2900 semata-mata berceramah memberikan kesedaran terhadap penafian kemanusiaan pada rakyat Ghaza dengan alasan tiada tauliah.
Dalam hal Mahkamah sivil, tanpa dinafikan sememangnya wujud beberapa kesalahan dan hukuman yang tidak adil, tetapi di sana terdapat juga banyak kesalahan dan hukuman yang adil, tetapi ketidak-adilan berlaku ekoran ketempangan cara pengendalian oleh hakim yang membuat keputusan terhadap sesuatu kes. Keadaan sebegini pernah berlaku dalam pengamalan perundangan syariah di Sudan dan Pakistan, sehinggakan syariah di sana semakin ditolak, walaupun pada peringkat awal ia diperjuangkan oleh rakyat mereka.
Ekoran itu, bukan semua kesalahan dan hukuman yang ada di mahkamah sivil boleh dianggap sebagai menyanggahi syariah, bahkan terdapat sebilangan kesalahan dan hukuman di mahkamah sivil masih dalam lingkaran semangat syariah. Perkara ini amat selaras dengan apa yang pernah diungkapkan oleh Ibn al-Jauzi yang menyatakan bahawa apabila zahir tanda-tanda keadilan, maka sudah cukup didapati syariah Allah (Turuq Hukmiyyah, hlmn 13).
Jelas bahawa pengamalan dalam mahkamah sivil, ada beberapa kesalahan dan hukumannya selaras dengan syariah, dan ada beberapa kesalahan dan hukuman di mahkamah syariah tidak ikut syariah.
Wallahu ‘Alam.
* Penulis adalah Pengasas Sekolah Pemikiran Asy-Syatibi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan