"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jangan keras kepala, bergaduh dengan semua orang, Mahfuz tegur Pas

MALAYSIA DATELINE
Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mencadangkan Pas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor Datuk Azmin Ali bagi meredakan perbalahan yang sedang berlaku.

Beliau berkata, Pas yang memperkenalkan konsep politik matang dan sejahtera seharusnya tidak membiarkan pimpinan pertengahannya menyerang Azmin secara terbuka di media.

"Dalam konsep berpolitik sememangnya perdebatan terbuka tidak dapat dielakkan, tetapi harus cermat dalam berkata-kata. Ungkapan Azmin Ali dengan perkataan 'lebai' tidaklah perlu dibalas dengan ungkitan, ugutan dan kecaman terhadap beliau.

"Adalah lebih manis andai politik matang dan sejahtera dizahirkan oleh pimpinan Pas dengan membuat kunjungan dan berbincang dengan Azmin Ali untuk meredakan keadaan dari berlarutan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Malah katanya, kenyataan Azmin yang menyindir 'seorang lebai' itu ekoran kenyataan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengatakan Pas akan menerajui beberapa negeri termasuk Selangor selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Walaupun Presiden Pas menafikan tetapi rakaman ucapan beliau sangat jelas serta diperkukuhkan kemudiannya oleh Ketua Pemuda Pas Pusat dan AJK Pas Pusat yang juga Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas (PPP) Dr Mohd Zuhdi Marzuki," katanya yang masih lagi ahli Pas.

Pas jangan dilihat keras kepala

Beliau berkata, kenyataan Pas akan menerajui Selangor itu sama seperti berhasrat mengambil alih kerajaan Selangor dari Azmin dan PKR sedangkan Pas masih berada dalam kerajaan negeri.

"Lainlah kalau Pas dah isytihar berundur dan keluar dari kerajaan Selangor. Tindakan sebegini membina pesepsi yang tidak baik pada Pas," katanya.

Beliau juga berkata, tindakan Pas menyerang dan mengugut Azmin dan PKR menyebabkan rakyat beranggapan parti Islam itu mahu menjatuhkan kerajaan rakyat.

"Pas sedang dilihat berperangai 'arrogant' (keras kepala). Rakyat melihat sikap Pas umpama kalau tak dapat pada Pas sekali pun biar kerajaan rakyat ini dijatuhkan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa isu kerjasama politik antara kedua-dua parti akan dibawa ke Muktamar Pas yang akan datang bagi dibincang sama ada perlu diputuskan.

Kemelut berkenaan semakin meruncing apabila Nik Abduh mengeluarkan kenyataan bahawa parti berkenaan akan menawan Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Kenyataan itu kemudian disindir oleh Mohamed Azmin di laman sosial miliknya yang memuat naik kenyataan "Ada pak lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah tersungkur" yang kemudian menimbulkan pelbagai reaksi.

Tiada ulasan: