"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Silent voter' akan ubah corak pengundi pada PRU-14

DALIA ISMAIL
Datuk Azimi Daim Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Negeri Kedah, Datuk Azimi Daim begitu optimis terdapat 'pengundi senyap' (silent voter) yang akan mengubah sekali lagi corak pengundi dan politik di negeri itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.
Beliau berkata, ini berasaskan kepada beberapa pilihan raya lalu sehingga kepada protes berkaitan isu pemecatan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan akhirnya menjadi satu gelombang rakyat yang marah terhadap parti dan kerajaan antara faktor penolak memungkinkan Kedah akan kembali ke tangan pakatan pembangkang.

"Terdapat majoriti pengundi dan penyokong yang tidak suarakan secara terbuka. Mereka dikalangan penyokong kerajaan kerana kecewa dengan tindak balas Umno yang tidak rasional terhadap mereka, boleh menarik sokongan silent voter (pengundi senyap) terhadap pembangkang.

"Dikalangan penjawat awam ini ada dikalangan mereka dipecat sebagai ahli parti, diugut untuk ditukar ke jabatan lain dan ada sudah ditukar pun, sedikit sebanyak ia melukakan hati rakyat.

"Walaupun mereka tidak menonjol ke hadapan tetapi kita dapat lihat sokongan mereka terhadap parti baharu seperti PPBM ini," ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Walaupun Bersatu secara rasmi baharu memasuki enam bulan sejak diluluskan Pendaftar Pertubuhan pada 9 September 2016 lalu, gelombang sokongan rakyat negeri Kedah terhadap susuk tubuh Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi dan Mukhriz Timbalan Presiden, dilihat berjaya menarik lebih daripada 5,000-8,000 penyokong dalam siri ceramah diadakan di negeri itu mahupun beberapa negeri yang diterajui Pakatan Harapan dan BN.

"Memang kami masih baharu tetapi peranan parti Pribumi dilihat berkesan. Saya tidak nafikan kehadiran penyokong dalam program ceramah sama ada anjuran parti Pribumi dan Pakatan Harapan, kita dapat manfaat dan peluang bersama yang lebih baik- kita saling tumpang menumpang.

"Saya yakin dengan kemunculan Dr Mahathir dan kebangkitan rakyat dengan kehadiran penyokong dalam jumlah yang ramai dalam program ceramah diadakan, tanpa kita beri sogokan atau ada sebarang ganjaran pada mereka.

"Sebelum ini kita tahu apa saja program Umno-BN akan disogokkan bersama hadiah dan macam-macam untuk mendapatkan sokongan rakyat tetapi ini tidak berlaku pada parti Pribumi dan Pakatan Harapan.

"Di Alor Setar sahaja pernah mencecah 7,000-8,000 orang dan di Kuala Kedah tak kurang lebih 5,000 orang hadiri program ceramah yang diadakan," ujarnya yang menegaskan pakatan pembangkang mudah menawan kembali beberapa kerusi di negeri itu daripada BN yang kebanyakan majoriti kurang 1,000 undi dalam PRU-13 lalu.

Azimi yang juga Ketua Penaja Bahagian Kulim Bandar Baharu berkata, masih terlalu awal untuk membincangkan soal pembahagian kerusi bagi negeri itu.

Namun beliau mengharapkan dengan gabungan Bersatu dalam Pakatan Harapan soal pembahagian kerusi bagi negeri Kedah dapat dilakukan secara adil.

Ia tidak hanya dilihat kekuatan di Parlimen Langkawi dan Jerlun yang diterajui ketua bahagiannya Dr Mahathir dan Mukhriz, malah 36 dewan undangan negeri (Dun) itu tidak terkecuali dipertimbangkan kerusi untuk Bersatu.

"Kita masih baharu perlu buktikan dulu sokongan akar umbi yang menyokong kita.

"Saya yakin Dr Mahathir dan Mukhriz akan membincangkan soal pembahagian dengan Pakatan Harapan di negeri ini, agar ia lebih adil sewajarnya bagi 36 Dun perlu seimbang berdasarkan rekod pencapaian parti masing-masing.

"Antara Bersatu dan Pakatan Harapan yang penting kita kembali tawan negeri ini," ujar bekas wakil rakyat BN Dun Bandar Baharu ini.

Ditanya sama ada beliau akan mengulangi rekod untuk bertanding di Dun Bandar Baharu, Azimi yang juga bekas Exco Negeri dan bekas Setiausaha Politik kepada Mukhriz ketika menjawat menteri besar berkata, ia bergantung kepada keputusan kepimpinan parti itu.

"Saya pernah jadi wakil rakyat jadi ia (kerusi bertanding) bukan keutamaan saya. Jika parti minta saya bertanding, pastinya parti telah ambil kira semua perkara.Saya bersedia untuk pikul tugas tersebut," ujarnya.

Azimi ketika di dalam Umno pernah dilantik sebagai Naib Ketua Pemuda dan Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Gelombang kebangkitan rakyat negeri itu bermula dengan krisis bekas menteri besar membabitkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan kemunculan semula Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menubuhkan parti baharu serta mewujudkan usaha ke arah 'grand coalation' dengan Pakatan Harapan ia memberikan momentum di luar jangkaan terhadap rakyat Kedah.

Tiada ulasan: