"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 ‘Nik’ bertembung dalam PAS?

Adam Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Walaupun mereka yang tidak sehaluan dengan saf kepimpinan tertinggi sudah lama disingkirkan, ia tidak bermakna PAS kini bebas daripada pergolakan dalaman menjelang muktamar bulan depan.

Sudah ada tanda-tanda berlaku perebutan kuasa di antara Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz, dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah atau juga dikenali Nik Amar, kata seorang pemerhati veteran yang banyak menulis tentang politik PAS.

Mohd Sayuti Omar berkata, tindakan Nik Abduh, yang juga anak bekas mursyidul am PAS, bertanding untuk jawatan kedua tertinggi di PAS Pengkalan Chepa baru-baru ini, membuktikan cita-cita ahli Parlimen Pasir Mas itu untuk mengikuti langkah bapanya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Ia masih berlaku di bawah karpet, tetapi sudah wujud 2 kem di Kelantan, di antara Nik Abduh dan Nik Amar.

“Perselisihan itu adalah untuk merebut takhta, dan takhta yang dimaksudkan adalah jawatan menteri besar,” Sayuti memberitahu FMT.

“Bagi saya, Nik Abduh mempunyai cita-cita untuk menjadi menteri besar Kelantan. Tindakannya masuk ke Pengkalan Chepa adalah bertujuan untuk menjatuhkan kem Nik Amar,” katanya dalam wawancara bersama FMT.

Nik Abduh bertanding menentang Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dr Izani Husin untuk jawatan timbalan yang dipertua, tetapi hanya memungut 37 undi berbanding Izani yang mendapat 209 undi.

Ada yang melihat kekalahan itu tamparan hebat untuk Nik Abduh yang merupakan anak kepada tokoh PAS paling berpengaruh era ini.

Nik Abduh bagaimanapun menolak tanggapan tersebut, dan berkata beliau hanya bertanding “suka-suka”.

Pengkalan Chepa

Nik Abduh, 47, merupakan antara suara paling lantang menentang pemimpin parti yang mahu meneruskan kerjasama dengan DAP. Pada muktamar tahun itu, puluhan pemimpin veteran PAS disingkirkan dalam apa yang dikenali sebagai “tsunami ulama”, menyaksikan penyokong Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan mursyidul am ketika itu, Datuk Haron Din, memenuhi hampir kesemua jawatan tertinggi parti.

PAS Pengkalan Chepa merupakan kubu Nik Amar. Beliau kekal jawatannya sebagai Yang Di Pertua bagi sesi 2017/2019, dibantu Dr Izani sebagai timbalannya.

Sayuti berkata, Pengkalan Chepa merupakan kerusi penting buat Nik Abduh memulakan misinya untuk mengikuti landasan politik seperti bapanya.

“Dalam politik, kita tidak boleh 100% ikuti jejak langkah politik ayah kita, harus ada langkah, kebijaksanaan sendiri. Kita tidak boleh tumpang pengaruh orang lain hatta ibu dan bapa,” katanya.

Nik Aziz yang meninggal dunia pada awal 2015 selepas lebih 2 dekad memimpin PAS dan kerajaan Kelantan, pernah dipilih sebagai ahli Parlimen Kelantan Hilir (1967-1974) dan Pengkalan Chepa (1974-1986).

Pada 1986, Nik Aziz dilantik sebagai ketua pembangkang Kelantan, sebelum dipilih sebagai menteri besar ke-6 susulan kejayaan PAS dan rakannya dalam Angkatan Perpaduan Ummah merampas negeri itu daripada Barisan Nasional pada pilihan raya 1990.

Bagi Sayuti, keputusan Nik Abduh bertanding dalam jawatan nombor 2 PAS Pengkalan Chepa adalah tindakan gopoh.

“Kenapa dia (Nik Abduh) hendak bertanding naib yang dipertua PAS, sedangkan saya difahamkan dia hanya AJK? Sepatutnya dia pergi langkah demi langkah seperti AJK yang mempunyai undi tertinggi, dan seterusnya.

“Sudah tentu Nik Amar akan pertahankan jawatannya, kerana dia sudah berada di kedudukan nombor 2 (kerajaan). Dia akan berusaha, jika takdirnya menteri besar Kelantan tidak sihat, dialah yang akan menjadi menteri besar,” katanya.

Mahu jawatan lebih tinggi

Sayuti turut berpandangan, tindakan Nik Abduh bertanding di Pengkalan Chepa memberi isyarat bahawa wakil rakyat Pasir Mas itu berhasrat untuk melonjak ke kedudukan lebih tinggi di dalam parti.

“Dia umumkan untuk tidak pertahankan jawatan ketua Pemuda PAS sebelum bertanding di Pengkalan Chepa. Maknanya, dia sudah beri mesej bahawa ingin meningkat ke atas dan sekiranya menang di situ, ia akan memberi markah bonus buat Nik Abduh.

“Selalunya, pemimpin politik mempunyai hasrat untuk melonjak ke atas dan bukannya ke bawah. Jadi saya tidak menolak kemungkinan bahawa dia (Nik Abduh) cuba untuk naik ke jawatan naib presiden,” katanya.

Sayuti berkata, undi rendah di Pengkalan Chepa akan menyebabkan Nik Abduh berfikir secara mendalam sekiranya mahu bertanding jawatan naib presiden parti, jawatan yang disandang Nik Amar. Dua lagi naib presiden lain ialah Idris Ahmad dan Datuk Iskandar Abdul Samad.

Bagaimanapun, Sayuti juga tidak yakin dengan kepimpinan Nik Amar.

“Kalau dari konteks PAS, Iskandar sering bercakap tidak selari dengan kenyataan presiden PAS. Tetapi kalau dilihat melakukan kerja yang tidak memberi keuntungan kepada PAS adalah Nik Amar.

“Nik Amar tidak berjaya membuktikan bahawa PAS adalah sebagai parti yang bersatu padu, ini terbukti apabila Datuk Husam Musa disingkirkan dari PAS,” katanya.

Muktamar PAS akan datang diadakan di Kedah. Ia bakal menentukan hala tuju parti Islam itu yang masih samar menjelang pilihan raya umum yang perlu diadakan pada 2018.

Muktamar kali ini juga merupakan kali pertama PAS berhimpun 2 tahun selepas penyingkiran beberapa tokoh veteran.
-fmt

Tiada ulasan: