"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hanya Anwar boleh cabar Najib di Pekan

Nawar Firdaws
PETALING JAYA: Orang yang paling berpeluang untuk menundukkan Datuk Seri Najib Razak di kubu kuatnya di Pekan, Pahang, adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, menurut penganalisis politik.

Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya turut menolak peluang Anina Saadudin mahupun bekas pembantu Anwar, Datuk Ezam Mohd Nor, di Pekan.

Menurutnya, mereka tidak cukup kuat untuk menentang perdana menteri yang mempunyai pengaruh terlalu kuat.

“Jentera kempen Najib antara terkuat, khasnya kerana beliau ialah presiden Umno dan perdana menteri.

“Anina masih baru dalam arena politik dan Najib terlalu kuat untuk dilawannya. Lebih baik beliau menentang ketua Puteri Umno,” katanya kepada FMT.

Anina, bekas ahli Umno Bahagian Langkawi yang mula terkenal selepas klip video ucapan beliau mengutuk Najib menjadi viral tidak lama dulu, mengesahkan mahu menentang perdana menteri di Pekan pada pilihan raya umum akan datang.

Anina yang merupakan antara pengasas bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kini aktif mempromosikan pencalonannya untuk kerusi Pekan, dan laman Facebook beliau cuba meninjau jika pengikutnya bersetuju dengan rancangan itu.

Azman bagaimanapun berkata Ezam lebih sesuai berbanding Anina untuk mewakili pembangkang di Pekan kerana mempunyai lebih banyak pengalaman politik.

Bagaimanapun, imej Ezam yang kerap melompat parti menjejaskan kredibilitinya.

“Beliau juga dilihat sebagai seorang yang tidak agresif, khasnya dalam kempen menentang Najib,” katanya.

Minggu lalu, Ezam, bekas senator dan pengarah komunikasi di Kementerian Kewangan, menyuarakan hasrat bertanding di Pekan.

Ezam meninggalkan Umno bersama-sama Anwar yang dipecat daripada Kabinet pada 1998, dan membantu menubuhkan Parti Keadilan Nasional, yang kemudian disusun semula sebagai PKR.

Beliau meninggalkan PKR pada 2008 dan menyertai semula Umno selepas mengkritik Anwar dan berbalah dengan pemimpin atasan lain.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi dan Ketua Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE), Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata persempadanan semula pada 2003 membantu Najib menang besar di Pekan.

Menurutnya, kerusi Parlimen itu mempunyai sejumlah besar pengundi tentera dan peneroka Felda.

“Sesiapa sahaja yang bertanding menentang Najib sudah tentu akan kalah,” kata Redzuan.

Najib menang di Pekan pada 1976 pada usia muda 23 tahun.

Pada PRU ke-13 lalu, Najib menewaskan calon PKR, Mohd Fariz Musa dengan majoriti 35,613 undi.

Pada 1999, Najib mempertahankan kerusi itu dengan majoriti tipis 241 undi, hampir ditewaskan calon PAS Ramli Mohamad yang menerima 12,907 undi.

Tiada ulasan: