"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kunci Wisma Darul Iman di tangan pengundi atas pagar

Apabila berlakunya pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 beberapa faktor penting perlu diambil kira terutamanya pengundi atas pagar.
Pertama, kekuatan sesebuah parti yang bertanding sama ada di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau juga kerusi parlimen.

Kedua, kecenderungan pengundi senyap dan bukan anggota parti. Mereka inilah yang menjadi kumpulan penentu dan mempengaruhi nasib sesuatu parti.

Di Terengganu - mengikut kajian-kajian sebelum ini - pengundi atas pagar dianggarkan seramai antara 27 hingga 31 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi. Jumlah keseluruhan pengundi di Terengganu ialah 737,940 orang.

Jumlah itu mungkin berubah sekiranya daftar pemilih baru untuk PRU ke-14 susulan usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya diluluskan di Dewan Rakyat semalam diumumkan. Ia dijangka diketahui dalam tempoh seminggu atau selewat-lewatnya pada hari penamaan calon.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata parti politik diminta memaklumkan kepada penyokong mereka untuk membuat semakan sebaik saja badan itu mengeluarkan senarai pemilih yang disahkan.
Di Trengganu, sebelum ini parti yang dilihat kuat hanyalah BN – Umno dan MCA – manakala di sisi bertentangan ialah PAS.
Tetapi pada PRU ke-14 ini kedudukan sudah berubah.

Umno dan PAS yang dilihat sebagai parti tradisi kini terpaksa bergelumang dalam gelanggang baru untuk berdepan dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang kini diperkuatkan oleh PKR, AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Selain tenaga baru yang diperlihatkan BERSATU dan AMANAH, PKR kini nampak ‘dicaj semula’ apabila ia membersihkan partinya daripada kumpulan mereka yang dilihat sebagai pengacau dalam parti.
Kebanyakan mereka bergerak di kawasan parlimen Kuala Nerus, Besut, Kuala Terengganu, Kemaman dan juga Hulu Terengganu.
PKR yang sebelum ini bekerjasama dengan PAS melalui Pakatan Rakyat dan hanya bertanding di enam kerusi DUN, bakal mencuba nasib di 11 kerusi melalui permuafakatan dalam HARAPAN.
Kerusi di hujung tanduk
Kedudukan ini memperlihatkan bagaimana Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail, berjaya mentransformasikan parti itu di di peringkat negeri melalui HARAPAN. Untuk rekod matlamat asal mereka untuk PRU ke-14 ini ialah 14 kerusi.
Selepas lima tahun memimpin PKR Terengganu bekas anggota parlimen Indera Mahkota itu beliau berusaha bersungguh-sunggu membina kembali partinya yang sebelum ini menghadapi begitu banyak masalah dalaman.
Cuma agak malang sedikit apabila mereka yang dibersihkan daripada PKR itu kini berada dalam sebuah lagi parti komponen HARAPAN.

Sesetengahnya - yang bersikap sour grape - kerap menyerang kepimpinan PKR Terengganu ada antara mereka ditarik ke dalam parti baru itu dengan dijanjikan menjadi calon.
Azan (gambar) yang juga ADUN Bandar kini membawa PKR untuk mendapat dua kerusi - Dungun dan Kemaman - walaupun pada 2013 parti itu langsung tidak diberikan kuota di peringkat parlimen.
PRU ke-14 ini juga menyaksikan bagaimana lapan kerusi parlimen dan 32 kerudi DUN akan menjadi perebutan tiga penjuru membabitkan HARAPAN, BN dan PAS.
Justeru dalam keadaan begitu faktor pengundi atas pagar – tidak berparti dan kalau berparti pun tidak aktif – sangat penting.
Dengan jumlah mereka sebanyak 30 peratus, nasib kerusi yang dimenangi PAS atau BN dengan majoriti kecil sebelum ini seakan-akan berada di hujung tanduk.
PAS berada pada kedudukan paling berbahaya kerana pada PRU ke 13, lapan daripada 14 kerusi yang dikuasainya dikuasai dengan majoriti di bawah 1,000 undi.
Kerusi paling marginal ialah Teluk Pasu (109 undi) dan Tepuh (229 undi).
PAS sedikit selesa di DUN Wakaf Mempelam (majoriti 2,986 undi), Sura (2,957 undi), Rhu Rendang (2,819 undi) dan Batu Burok (2,273 undi).:

Umno pula mungkin selesa di Telemong, Kijal dan Air Putih tetapi bagaimana pula nasib kerusi Kuala Berang, Jabi, Kemasik dan Jerteh?
Ketua BERSATU Terengganu Datuk Razali Idris dan Pengerusi AMANAH Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dilihat bekerja keras untuk memenangkan HARAPAN sambil mengharapkan pengundi senyap dan atas pagar menyokong gabungan berkenaan.Ll
Dalam kedudukan Umno nampak selesa di tiga empat kerusi dan keadaan sama buat PAS, orang ramai tersilap jika menganggap ‘tsunami 1999’ tidak mungkin berulang.
Pengundi senyap dan atas pagar tekun memerhatikan banyak perkara seperti faktor calon, tawaran parti serta isu-isu yang dimainkan oleh setiap parti yang bertanding.
Namun yang tidak terlepas pandang oleh mereka pastinya kos sara hidup yang semakin menghimpit, kenaikan harga barang keperluan, pembaziran yang dilakukan kerajaan BN Terengganu, selain pelbagai isu setempat, termasuk skim Umrah Guru yang tidak diselesaikan dan perbalahan dalaman Umno.
Dengan tindakan yang betul oleh pengundi atas pagar, Terengganu akan menyaksikan kemunculan kerajaan baru selepas PRU ke-14 nanti.
>HAMBALI ABDUL LATIFF bekas wartawan dan pengarang akhbar yang kini menjadi perunding media bebas. Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan sikap Malaysiakini.

Tiada ulasan: