"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRU14 pada pertengahan minggu?

Jahabar Sadiq

Difahamkan, Parlimen akan dibubarkan selepas sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara tamat pada 5 April. Mandat yang diperolehi BN akan berakhir pada 24 Jun dan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh tersebut. – Gambar EPA, 29 Mac, 2018.

PILIHAN Raya Umum Ke-14 (PRU14) dijangka akan dijalankan pada pertengahan minggu, dalam masa sebulan selepas Barisan Nasional (BN) melancarkan manifestro pada 7 April, menurut beberapa sumber.

Difahamkan, Parlimen akan dibubarkan selepas persidangan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara tamat pada 5 April.

Mandat yang diperolehi BN akan berakhir pada 24 Jun dan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh tersebut.

"Kami menjangkan pembubaran Parlimen menjelang 7 April. Kemudian tinggal kira-kira sebulan sahaja sebelum pilihan raya diadakan, sejurus sebelum bulan puasa yang akan bermula pada pertengahan Mei,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkuasa menentukan tarikh penamaan dan pengundian, namun secara lazimnya parti pemerintah akan mencadangkan waktu pilihan raya. Malaysia tiada undang-undang yang menetapkan tarikh pilihan raya.

Jumlah keluar mengundi mungkin merosot sekiranya PRU14 diadakan pada pertengahan minggu memandangkan pengundi di luar negara, terutama di Singapura, Hong Kong dan Australia biasanya pulang mengundi sekiranya ia dilakukan pada hujung minggu.

Kempen yang dijalankan oleh masyarakat sivil pada 2008 dan 2013 menyebabkan BN kehilangan majoriti dua pertiga yang membolehkannya meluluskan undang-undang dengan mudah.

Pilihan raya 2008 diadakan pada hari Sabtu dengan jumlah keluar mengundi 75.99 % dan pilihan raya umum 2013 pula pada hari Ahad yang menyaksikan 84.4 peratus keluar mengundi.

Kumpulan masyarakat sivil dan pemerhati pilihan raya Bersih 2.0 menyatakan bahawa pembangkang akan menang sekiranya lebih 80 peratus keluar mengundi.

Peluang kemenangan itu kini semakin sukar kerana sempadan baharu kawasan pilihan raya akan memberi kelebihan kepada BN dalam PRU14.

Perdana menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat, Dr Mahathir Mohamad, meraih mandat pertamanya dalam pilihan raya umum 1982.

Pilihan raya itu berlarutan dari Khamis, 22 April sehingga Isnin, 26 April ekoran masalah logistik di negeri-negeri Borneo, Sabah dan Sarawak.

Dr Mahathir kini memimpin gabungan pembangkang untuk PRU14, walaupun beliau menyokong Perdana Menteri Najib Razak dalam pilihan raya umum 2013.

Rekod menunjukkan pilihan raya umum pada 1995 dan 1999 juga diadakan pada hari Isnin.

Isu melibatkan masalah pengundi di luar negara menjadi perhatian susulan kritikan Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed ke atas tawaran syarikat penerbangan Cathay Pacific yang menawarkan diskaun surcaj kepada pengundi yang mahu menukar tarikh penerbangan untuk pulang mengundi.

Nur Jazlan dalam kenyataannya di Twitter mendakwa, tawaran itu menununjukkan bahawa syarikat berpengkalan di Hong Kong itu menyokong usaha untuk menukar kerajaan.

Kenyataan itu seterusnya meraih kritikan para pengguna media sosial yang menganggap Nur Jazlan mendakwa warga Malaysia di luar negara lebih cenderung menyokong pembangkang.

Cathay Pacific juga menafikan dakwaan tersebut. Namun Nur Jazlan terus mendesak agar syarikat tersebut menyatakan sekiranya ia akan turut berbuat demikian untuk pengundi negara lain.

Tiada ulasan: