"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PH mampu buat kejutan di Kedah, pembahagian kerusi Dun selesai

HUSIN MAHAT
AMANAH Kedah yakin membuat kejutan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang berdasarkan sokongan Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH) juga faktor Tun Mahathir Mohamad di negeri itu.

Pengerusi AMANAH negeri Dato’ Dr Ismail Salleh berkata, walaupun masih baru di negeri itu, AMANAH telah membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum yang bakal berlangsung pada bila-bila masa.

PH negeri, katanya telah pun selesai melakukan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dengan PPBM bakal bertanding di 14 kerusi, AMANAH (10), PKR (10) dan DAP (2).

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan kerusi-kerusi Dun yang bakal ditandingi oleh parti-parti gabungan PH kerana rundingan pertukaran kerusi sedang berjalan khususnya antara PPBM dan PKR.

Bagi kawasan parlimen yang telah ditahui lebih awal, AMANAH akan bertanding di tiga kawasan, PKR (6) dan PPBM (6).

Dr Ismail menambah, kajian yang dilakukan beberapa pihak termasuk Invoke mendapati angin (mood) perubahan pengundi Melayu di negeri Kedah adalah paling tinggi berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung.

Berdasarkan kajian Invoke, ujar beliau sokongan pengundi Melayu terhadap PH menjangkau 41%.

“Kita dapati angin perubahan itu jelas namun tidak pasti peratusannya. Perubahan pengundi Melayu ini akan memberi kemenangan kepada PH,” ujarnya.

Menyentuh tentang pengaruh Pas yang pastinya turut meletak calon dalam PRU akan datang, beliau menyifatkan pertandingan tiga penjuru tidak memberikan kesan yang signifikan kepada PH.

Ini kerana, katanya Pas hanya akan mendapat 20 hingga 25% undi yang terdiri daripada penyokong tegar parti itu dan ‘pengundi atas pagar’.

“Pertandingan sebenar adalah antara BN dan PH yang masing-masing kini menguasai hampir 40% sokongan pengundi,” katanya.

Dr Ismail juga yakin PH mampu memperolehi 2/3 kerusi Dun Kedah jika angin perubahan rakyat kekal menjelang PRU.

Ditanya faktor angin perubahan pengundi Melayu di negeri itu, beliau berkata isu kos sara hidup menjadi penyumbang utama memandangkan ia memberi kesan kepada majoriti rakyat.

Menurut beliau, daripada 2.2 juta rakyat negeri ini, lebih 600,000 keluarga terdiri daripada golongan B40 (pendapatan bulanan isi rumah di bawah RM3,900).

Ramai di kalangan rakyat Kedah, katanya menyara hidup sebagai petani, penoreh getah, pesawah dan nelayan yang pastinya terkesan dengan kenaikan harga barang keperluan harian.

“Jika kita pergi ke pasar, kerang dijual dengan harga RM8 sekilogram, ikan kembung kini menjangkau RM18 sekilogram,” katanya.

Dengan pendapatan yang tidak meningkat malah berkurangan seperti penoreh getah, kehidupan rakyat katanya semakin tertekan.

Faktor kedua yang mendorong angin perubahan di kalangan rakyat termasuk golongan muda, jelas beliau adalah pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kelantangan Dr Mahathir mengkritik kepincangan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, katanya memberi kesan kepada rakyat Kedah yang sememangnya menghormati tokoh negarawan itu.

Sebagai Pengerusi PH dan bekas perdana menteri, beliau yakin Tun Mahathir mampu melakar perubahan politik di negara ini khususnya Kedah.

Dr Ismail yang juga Timbalan Pengerusi PH negeri turut yakin dengan sokongan masyarakat bukan Melayu terhadap PH.

Dapatan kajian Invoke, katanya mendapati sokongan masyarakat Cina kepada PH menjangkau 81% manakala India 50%.

Beliau juga yakin majoriti masyarakat Siam akan menyokong parti-parti gabungan PH pada PRU akan datang.

Dengan organisasi yang stabil dan kerjasama erat parti-parti gabungan PH, Dr Ismail yakin AMANAH mampu melakukan kejutan di Kedah.

Tiada ulasan: