Mohamad Fadli
Naib Presiden PH, Salahuddin Ayub berkata keputusan memilih hanya 1 daripada 2 lambang parti itu akan diputuskan Majlis Presiden PH Selasa ini.
Salahuddin Ayub (baju putih) berkata, mesyuarat Majlis Presiden PH pada minggu lalu menyingkirkan logo PPBM dan DAP.
DENGKIL: Pakatan Harapan (PH) hanya akan memilih logo PKR atau Amanah untuk digunakan calon gabungan 4 parti pembangkang itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Naib Presiden PH, Salahuddin Ayub berkata mesyuarat Majlis Presiden PH pada minggu lalu menyingkirkan logo PPBM dan DAP.
“PPBM dihalang guna logo mereka. Ini kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) buat banyak masalah, jadi kita fikir logo mana paling berkesan.
“DAP tidak, (jadi pilihan) antara Amanah dan PKR. Kita tunggu seperti mana diputuskan mesyuarat Majlis Presiden PH Selasa ini,” katanya kepada FMT selepas melancarkan jentera pilihan raya Parlimen Sepang di Dewan Orang Ramai Pekan Dengkil, malam ini.
Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan sebab logo DAP disingkirkan.
Salahuddin yang juga timbalan presiden Amanah berkata, pemilihan hanya 1 logo parti pembangkang itu kerana JPPM sehingga kini tidak meluluskan permohonan pendaftaran PH.
“Kita tidak boleh tunggu lagi sebab permohonan kita (pendaftaran PH) pada JPPM tidak dilayan sampai hari ini.
“Kita kena guna antara logo 2 parti ini (PKR atau Amanah),” katanya.
Pada 27 Februari lalu, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, mereka akan menggunakan lambang salah sebuah parti komponen jika JPPM gagal meluluskan permohonan mendaftarkan gabungan itu.
Sebelum ini, JPPM berkata kegagalan PPBM mengadakan mesyuarat agung pertama dan masalah DAP berhubung kesahihan jawatankuasa eksekutif pusat mereka menyebabkan kelewatan meluluskan permohonan PH.
PPBM sudah mengadakan mesyuarat agung pertama mereka pada Disember lalu, sementara JPPM mengiktiraf barisan kepimpinan DAP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan