"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Setpol Najib calon MB Terengganu?

Anne Muhammad
Beberapa nama yang dekat dengan Datuk Seri Najib Razak dipercayai akan disenaraikan sebagai calon menteri besar jika BN memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Paling baru, wujud spekulasi setiausaha politik Najib, Datuk Jailani Ngah akan bertanding di DUN Batu Rakit pada dan menjadi calon menteri besar Terengganu.
Menteri besar sekarang, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman pula disebut-sebut akan diletakkan bertanding di kerusi parlimen Kuala Nerus yang kini diwakili PAS.

Jailani ialah pengerusi program khas Haji 1Malaysia Developmnet Berhad (1MDB) dan merupakan graduan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang undang-undang syariah
Jailani, 44, telah berkhidmat sebagai setiausaha politik Najib selama dua penggal.
Menurut sumber, pertukaran menteri besar itu dibuat berikutan dakwaan kelemahan pentadbiran serta ketua bahagian dan cawangan Umno Terengganu didakwa tidak lagi menyokong Ahmad Razif (gambar, kanan).
“Razif dilihat tiada kemampuan untuk memberi kestabilan kepada keadaan politik tempatan,” kata sumber itu kepada Malaysiakini.
Pelantikan Razif sebagai menteri besar Terengganu pada Mei 2014 mencetuskan krisis kepimpinan dan hampir-hampir menyebabkan kerajaan negeri terbubar.
Najib campur tangan
Bekas menteri besar sebelu itu dan ADUN Kijal Datuk Seri Ahmad Said kecewa dengan penggantian tersebut mengumumkan perletakan jawatannya daripada Umno.
Ahmad disertai ADUN Ajil, Ghazali Taib dan kemudiannya disusuli ADUN Bukit Besi, Roslee Daud.
Hal ini menyebabkan BN kehilangan majoriti dua pertiga dalam DUN yang memiliki 32 kerusi itu.
Kesan tindakan tiga ADUN Umno itu menjadi wakil rakyat bebas, BN hanya menguasai 14 kerusi DUN manakala kerusi PAS dan PKR jika digabungkan menjadi 15 kerusi.
Bagaimanapun, krisis itu selesai apabila perdana menteri campur tangan dan ketiga-tiga ADUN Umno itu menarik balik perletakan jawatan mereka.
Sumber Malaysiakini mendakwa pemilihan Jailani kali ini dibuat berdasarkan latar belakang akademik dan agamanya yang kuat serta disenangi oleh pihak istana Terengganu.
Pihak Istana Terengganu pada Mei 2016 menarik balik darjah kebesaranyang dianugerahkan kepada Ahmad Razif dan ia mengundang campur tangan Najib sekali lagi.
Ahmad Razif mendapat semula anugerah darjah kebesaran Terengganu pada Disember 2016.
Tidak jelas sebab sebenar pihak istana Terengganu menarik balik darjah kebesaran Razif itu.
Menstabilkan politik Terengganu
Selain itu, Jailani yang juga anak tempatan dikatakan memahami keperluan rakyat Terengganu dan boleh mewakili anak muda di peringkat negeri itu
“Dia ni boleh menstabilkan keadaan politik di Terengganu dengan pemimpin politik dan ketua-ketua bahagian dan sebagainya.
“Beliau berpengaruh di kalangan pemimpin PAS dan dilihat mampu membawa perubahan kepada pembangunan Terengganu di masa yang akan datang,” kata sumber itu.
Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas daripada Jailani dan juga Razif berhubung perkara itu.
Sebelum ini, seorang lagi setiausaha plitik perdana menteri Datuk Ghazali Ibrahim dilaporkan mungkin bakal menjadi calon PRU ke-14, bertanding di DUN Pedu, Kedah yang kini disandang adiknya, Kama Noriah Ibrahim.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar Datuk Akmar Hisham Mokhles dikhabarkan bakal bertanding Parlimen Parit di Perak manakala Pegawai Khas Perdana Menteri, Isham Jalil pula mungkin menjadi calon MB Selangor,  bertanding di DUN Paya Jaras.
-malaysiakini

Tiada ulasan: