"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sedia hadapi huru-hara kerana kelewatan laporan sempadan pilihan raya, kata kolumnis

The Malaysian Insight
AKHIRNYA, laporan persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya dikeluarkan, namun Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia menghalang ahli Parlimen daripada menyiarkannya kepada umum sebelum perdana menteri membentangkan usul itu di Dewan Rakyat, esok.

Laporan itu dijangka akan diluluskan pada hari yang sama, membuatkan masyarakat umum tiada masa untuk memberikan maklum balas. Namun begitu, "sekatan" Speaker merupakan pelanggaran ketelusan prinsip demokrasi yang serius.

Proses persempadanan selalunya menjadi "senjata" paling ampuh Barisan Nasional dalam memastikan kemenangan pilihan raya. Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata berikutan persempadanan semula, BN mempunyai peluang cerah untuk menawan semula beberapa kerusi Parlimen dan kerusi negeri di Selangor.

Apa yang membuatkan persempadanan semula memberi kuasa untuk pakatan pemerintah terlalu yakin?

Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming, percaya Selangor kemungkinan akan mengguna pakai cadangan persempadanan semula SPR yang akan terus meluaskan jurang antara bilangan pengundi di kawasan pilihan raya, dan memberi kesan yang teruk terhadap prinsip satu orang satu undi dan berpotensi menyebabkan perubahan dalam pentadbiran negeri.

Berdasarkan cadangan persempadanan semula, tujuh kerusi Parlimen disandang pembangkang – Subang, PJ Utara, Serdang, Klang, PJ Selatan, Kota Raja dan Gombak – akan menyaksikan peningkatan jumlah pengundi yang drastik.

Sementara, jumlah pengundi di kerusi Umno – Sungai Besar, Tanjung Karang dan Sabak Bernam – hanya suku daripadanya adalah pembangkang.

Dalam masa yang sama, jumlah kawasan pilihan raya dengan 60-79.9% pengundi Melayu akan meningkat lebih dua kali ganda daripada 13 kepada 27, manakala kawasan di bawah 20% pengundi Melayu akan meningkat kepada lapan daripada lima.

Sama juga, kawasan pilihan raya dengan 60-79.9% pengundi Cina akan meningkat daripada tiga kepada lapan dan kawasan kurang daripada 20% pengundi Cina akan meningkat daripada 18 kepada 26 kerusi.

Sekiranya cadangan pertama diguna pakai, ia bermakna pendengaran cadangan persempadanan semula kedua adalah sia-sia. Tetapi, memandangkan cadangan pertama memberi kelebihan kepada BN berbanding yang kedua, BN akan cuba menangguhkan pilihan raya sehingga Parlimen mengguna pakai laporan itu.

Pembangkang dan NGO masih cuba sedaya upaya untuk menghalang laporan itu menerusi undang-undang. Mahkamah perlu membuat keputusan dalam masa beberapa hari, atau ia akan menjadi perbuatan menghina sekiranya Parlimen membahaskan usul itu ketika mahkamah masih mendengar kes berkenaan.

Bagi BN, pilihan raya perlu diadakan secepat mungkin dan sebarang penangguhan menjelang bulan Ramadan, yang akan bermula pada 16 Mei, akan meningkatkan risiko kerana Anwar Ibrahim akan dibebaskan tidak lama lagi.

BN mempunyai beberapa misi yang perlu diselesaikan sebelum pilihan raya boleh diadakan seperti meluluskan usul tambahan semalam dan hari ini manakala persidangan Dewan Negara dimajukan kepada semalam, bermakna rang undang undang perbekalan tambahan boleh dihantar kepada Dewan Negara sebaik sahaja ia diluluskan.

Sekiranya rang undang-undang untuk tambahan peruntukan RM7.1 bilion tidak diluluskan, 16 jabatan kerajaan dan institusi akan kekurangan wang, dan SPR tidak akan ada dana untuk mengadakan pilihan raya umum.

Walaupun Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar turut diusulkan di Parlimen, mungkin sudah terlewat untuk digunakan sebelum PRU14.

Dua minggu akan datang merupakan saat paling genting, dan pimpinan BN perlu memastikan Dewan Rakyat meluluskan laporan persempadanan semula bagi membolehkan pembubaran Parlimen pada minggu pertama April.

Tergesa-gesa pada saat akhir akan memberikan BN masa yang suntuk bagi menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat yang berbangkit dalam kalangan parti komponen yang berpunca daripada persempadanan semula.

Tergesa-gesa menerusi laporan persempadanan semula tanpa mendedahkan butirannya lebih awal akan menyebabkan ramai pengundi tidak pasti di mana pusat mengundi mereka.

Bahkan, Ahli Parlimen Sandakan daripada DAP Stephen Wong berkata, Dewan Undangan Negeri Sabah sudah meluluskan tambahan 13 kerusi negeri, laporan persempadanan semula itu tidak melibatkan negeri Sabah, bermakna negeri itu masih mempunyai 60 kerusi dan ini kan mencetuskan krisis perlembagaan.

PRU14 mungkin akan mencatat sejarah sebagai pilihan raya yang paling banyak jumlah aduan, termasuk berkenaan lokasi pusat mengundi dan isu perlembagaan, antara lain.

Lebih banyak masa ditumpukan kepada persediaan pilihan raya, tetapi dalam masa yang sama masih banyak lagi yang perlu diselesaikan sepert masa yang singkat, kekecohan dan kontroversi yang mungkin timbul. – 27 Mac, 2018.

* Lim Sue Goan sering memberi ulasan mengenai hal ehwal Malaysia di Sin Chew Daily.

Tiada ulasan: