"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahfuz: PAS parti waswas

Semakin hari semakin tidak ketahuan hala tuju serta matlamat PAS menyertai pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Sekitar Jun 2017, PAS telah menyatakan akan bertanding 80 kerusi kawasan Parlimen dengan hanya menyasarkan kemenangan sebanyak 40 kerusi sahaja pada PRU14 akan datang.

Bilangan 80 kerusi untuk bertanding kemudiannya telah dianjak menjadi 100 kerusi dan sasaran kemenangan tetap pada angka 40, setelah dipersoalkan oleh anggota PAS bahawa 80 dan 100 kerusi parlimen tidak mampu untuk PAS membentuk kerajaan.

Sifir mudah untuk PAS bentuk kerajaan, paling kurang mesti memiliki 112 kerusi kawasan parlimen.

Dengan hanya 40 kerusi kemenangan, tidak logik untuk PAS melantik perdana menteri hatta untuk lantikan JKKK juga tidak boleh.

PAS mendakwa pada suatu ketika bahawa dengan hanya 40 kerusi, PAS akan menjadi, 'mahal' sebagai kingmaker (penentu) kerana mengandaikan tiada parti yang akan memperoleh cukup bilangan kerusi bagi membentuk kerajaan.

Maka BN atau Pakatan Harapan akan mencari PAS bagi membentuk kerajaan.

Saya telah memberi komentar terhadap strategi yang sudah diumum awal PAS sebagai “berniat menipu pengundi-pengundi yang mengundi PAS”.

Pertandingan “tiga penjuru” akan berlaku antara BN, Pakatan Harapan dan PAS. Situasi tersebut membuatkan PAS akan berkempen dan meyakinkan anggota, penyokong dan pengundi bahawa PAS bertarung melawan HARAPAN dan BN.

Seterusnya perancangan PAS selepas PRU14 kelak adalah bersedia berunding dengan Umno seperti yang dinyatakan oleh Dr Zuhdi Marzuki, ketua pegawai eksekutif Pusat Penyelidikan PAS (PPPP) yang PAS hanya ada dua pilihan iaitu sama ada kekal sebagai pembangkang atau bentuk kerajaan campuran dengan Umno-Bn.

Ini merupakan penipuan awal secara terang dan menjadikan pengundi PAS umpama 'barang jualan' yang akan dijualnya 40 kerusi kepada Umno-BN.

Kini Tok Guru presiden PAS mengumumkan akan bertanding 130 kerusi parlimen dengan tujuan kononnya hendak perintah Malaysia dan berkempen agar rakyat memberi kepercayaan kepada PAS dan Gagasan Sejahtera sepenggal.

Menghairankan apabila sebelum itu PAS menyatakan tiada parti yang cukup jumlah kerusi untuk bentuk kerajaan dan perlu bergantung kepada 40 kerusi, tiba tiba PAS bersama Gagasan Sejahtera berkata mahu perintah Malaysia pula,seolah-olah PAS boleh dapat cukup jumlah kerusi nak memerintah Malaysia.

Pengundi keliru

Saya difahamkan bahawa anggota dan pengundi-pengundi PAS keliru memikirkan mana satu matlamat PAS dalam menyertai PRU14 akan datang.

Di sebalik kenyataan hendak memerintah dengan bertanding 130 kerusi, Tok Guru presiden PAS menyatakan jika tidak dapat memerintah Malaysia bersendirian maka matlamat mensasarkan untuk mendapat 40 kerusi tetap menjadi keutamaan PAS.

Seterusnya Tok Guru presiden PAS dalam satu kenyataan dilapor mendakwa bahawa PAS mahu tawan lima negeri pada PRU14 iaitu kekal Kelantan tawan Terangganu, Selangor, Kedah dan Perlis.

Baca: Hadi nafi PAS nak tadbir 5 negeri

Ini bermakna PAS penuh kerelaan untuk membiarkan Umno-Bn kekal memerintah di negeri-negeri lain dan ini pernah di ungkap oleh Tok Guru presiden dengan menyatakan "kalau negeri lain Umno-BN nak perintah biar ke dia".

Kini PAS menyatakan pula untuk bersedia menjadi penasihat kepada kerajaan yang memerintah. PAS dah jadi 'parti waswas'.

Kalau dah nak jadi penasihat tak payahlaj bertanding dalam PRU14.

Dan untuk apa PAS bertanding jika sekadar nak jadi 'kuasa penentu' atau penasihat.

Untuk jadi penasihat tidak perlu susah payah habiskan wang ahli PAS bertanding sampai 130 kerusi parlimen dan sejumlah kerusi DUN.

Adalah lebih baik duit tersebut dibelanjakan untuk kerja kerja dakwah dan pendidikan ummah. Nak jadi tuan penasihat tak bertanding dan tak perlu kerusi pun boleh jadi penasihat.

Kepada ahli dan pengundi PAS serta pengundi keseluruhannya, tiada lagi keperluan untuk mengundi PAS.

Jangan biar diri kita menjadi mangsa mainan politik PAS.

Jangan biarkan undi kita menjadi barang dagangan politik pimpinan PAS dan jangan biarkan undi dan diri kita dijual oleh pimpinan PAS kepada Umno-BN selepas PRU14 atas nama kingmaker untuk menjadi tongkat dan 'pelapik tiang' Najib Razak dan penyangak Umno-BN yang mereput.

DATUK MAHFUZ OMAR anggota parlimen Pokok Sena.
-malaysiakini

Tiada ulasan: