"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Semak semula hukuman undang-undang sivil

Nur Azlin Mohamad Arif
Pandangan demi pandangan telahpun diutarakan pelbagai pihak dalam mematangkan hujah bahawa perlunya ada pembaharuan terhadap sistem penghukuman kesalahan-kesalahan jenayah sedia ada. Polemik terbaru rancak diperbahaskan adalah berkenaan dengan hukuman sebat yang telahpun dijalankan ke atas tiga pesalah wanita salah laku seks haram baru- baru ini.

Terdapat dua andaian yang boleh disimpulkan menerusi tindakan terbaru Datuk Seri Hishammuddin ini. Pertama, beliau mahu mengubah imej kerajaan di mata rakyat, bahawa kerajaan juga amat menitik beratkan dasar-dasar agama dalam pemerintahan. Sepertimana telah ditonjolkan menerusi perjuangan isu Allah dan Maulidur Rasul. Ia adalah berkenaan rentetan pembaharuan imej perjuangan Umno, iaitu ke arah bersifat lebih keagamaan berbanding sebelumnya.

Kedua, sengaja diwar-warkan hukuman ini, adalah umpama satu plot untuk mendapatkan maklum balas rakyat sebenar perihal sensitiviti hukuman sebat ke atas wanita sebelum ia benar-benar dilaksanakan ke atas Kartika. Sebagai satu eksperimen. Sister In Islam, menjuarai hal ini dalam memberi jawapan balas, di mana, jawapannya bersifat lebih kepada menentang. Beberapa NGO kemudiannya memberi jawapan sokongan terhadap perkara tersebut di mana ia dilihat sebagai satu langkah positif dalam mengangkat kembali martabat mahkamah syariah biarpun hukuman sebatan yang dilaksanakan tidak lagi bersifat syarie sepenuhnya. Namun, ia adalah permulaan yang menyenangkan.

Menelusuri hal ini, Gerakan Muslimah Sejagat (GEMS) memuji keberanian Kementerian Dalam Negeri ini. Walaubagaimanapun, pandangan-pandangan pihak yang salah faham mengenai konsep sebatan berpaksikan hukum syariah ini terutama di kalangan bukan Islam tidak wajar dilepas pandang. Tohmahan bahawa ia seolah mengembalikan Malaysia ke zaman kelam terbeku di bawah kongkongan agama yang mundur sepertimana zaman Eropah suatu tika dahulu, wajar diberi pencerahan kefahaman melalui dialog terbuka.

Pihak kementerian juga disaran melakukan penyelidikan baik dari aspek sains dan sosial dengan lebih mendalam lagi berkenaan sebat syariah ini demi memperkemaskan hujah untuk meyakinkan umum akan kesan kebaikan yang bakal dinikmati menerusi hukuman ini sama ada oleh pelaku jenayahnya mahupun komuniti masyarakat amnya.

Sebagai contoh, merujuk laporan Malaysiakini, satu kumpulan penyelidik di Institut Perubatan Novosibirsk, Rusia yang diketuai oleh pakar biologi Dr Sergei Speransky menemui kaedah baru (baca: lama) merawat ketagihan alkohol dan kegundahan melampau melalui sebatan sebagaimana yang pernah dikuatkuasakan di sekolah Britain pada kurun sebelumnya dan mengesyorkan sesi terapi 30 sesi membabitkan 60 kali sebatan ke atas pungung seseorang berbadan sederhana. Menurutnya berdasarkan saintifik, sebatan di pungung mampu merembeskan sejenis bahan kimia semula jadi badan manusia, Endorpin yang bertindak sebagai antibodi terhadap kesan ketagihan arah, dadah dan rokok.

Kepadatan penjenayah yang melampau iaitu 34,060 dalam 31 penjara seluruh Malaysia telah menyebabkan pihak kementerian yang sama juga terpaksa memikirkan bebanan baru iaitu berkenaan penempatan mereka. Statistik jenayah dan gejala sosial pula memperlihatkan pertumbuhan kadar jenayah tidak pernah susut.

Intipati yang dapat dirumuskan di sini adalah, masalah penempatan hanyalah “presented-problem” tetapi isu sebenar di sini adalah mengapa hukuman berteraskan penguatkuasaan undang-undang sedia ada tidak mampu untuk memberi kesan kesedaran dan keinsafan kepada orang lain agar tidak turut melakukan jenayah yang sama?

Di sini letaknya kepada keperluan penyemakan semula hukuman dalam peruntukan undang-undang sivil sedia ada dan perlunya kepada keterbukaan pemikiran masyarakat ke arah yang lebih positif mengenai hukum sebatan dan hukum hudud lainnya di mana selama ini mereka hanya beriman dengan teori negatif yang terawang-awang tanpa pernah berani untuk bereksperimentasi!

Nur Azlin Mohamad Arif,


Koordinator Gerakan Muslimah Sejagat (GEMS)

Gerakan Muslimah Sejagat adalah suara wanita-wanita muda yang mewakili pelbagai lapisan NGO di seluruh Malaysia.

Tiada ulasan: