"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PPMM: Segerakan hukuman sebat Kartika

Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyokong usaha kerajaan memartabatkan perundangan syariah melalui sebatan syariah bagi pesalah yang telah disabitkan atas kesalahan yang membawa hukuman sebat.

NONESehubungan itu, PPMM menyeru mana-mana hukuman sebatan syariah yang masih lagi belum dilaksanakan sebatan syariah di seluruh negara, termasuklah kes Kartika Sari Dewi Sukharnor, dilaksanakan dengan kadar segera agar keadilan kepada pesalah syariah itu sendiri dapat dilakukan.

Presidennya, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, PPMM hairan kenapa masih ada golongan yang tidak memahami dwi sistem perundangan yang diamalkan di Malaysia.

"Malah bantahan ini menggambarkan seolah-olah apa sahaja yang dibuat oleh pihak bekuasa berkaitan agama Islam ada sahaja yang tidak kena," katanya.

Beliau merujuk kepada kenyataan Sisters in Islam, AWAM, Majlis Peguam dan beberapa pihak lain yang mempertikaikan pelaksanaan sebatan syariah ke atas tiga pesalah syariah wanita baru-baru ini.

"Perlulah ditegaskan sekali lagi di sini bahawa sebatan syariah jauh berbeza dari sebatan sivil. Sebatan syariah tidak mencederakan mahupun melukakan pesalah berbanding dengan sebatan sivil yang meninggalkan parut dan kesan dalam jangka masa dua tahun.

"Sebatan syariah adalah umpama bapa atau guru yang merotan anak yang telah melakukan kesilapan," katanya dalam satu kenyataan petang ini.

"Telah banyak rencana, makalah dan kajian dibuat tentang pelaksanaan hukuman sebat dalam Islam ini diadakan. Malah pelbagai bengkel, seminar dan forum juga digarap ke arah memberi pemafahaman tentang hukuman ini.

"Tidak ketinggalan juga beberapa demonstrasi sebatan syariah telahpun dibuat namun inisiatif ini langsung tidak diambilkira oleh golongan yang menentang sebatan syariah ini secara membuta tuli," tambahnya.

subashini mohd shafi court case pc 030407 zainul rijalZainul Rijal (kanan) bertanya, dalam perjuangan SIS mendapatkan hak sama rata, kenapa pula wanita tidak boleh disebat secara syariah sama seperti lelaki?

"Logiknya, jika semuanya ingin disamaratakan, hukuman pun hendaklah disamaratakan dan tidak mendiskriminasi golongan lelaki.

"Adakah kesamarataan yang diperjuangkan oleh SIS ini ialah samarata sekiranya memberi manfaat kepada wanita sahaja?" soalnya.

Menurut Zainul Rijal lagi, menggambarkan sebatan syariah adalah zalim dan kejam adalah amat keterlaluan dan tidak mempunyai asas perundangan dan Hukum Syarak.

"Malah saya percaya pegawai SIS sendiri tidak pernah menyaksikan pelaksanaan sebatan syariah yang dilabelkan sebagai kejam dan zalim itu.

"Dalam masa yang sama PPMM bersetuju sebatan sivil itu adalah kejam dan perlu dihapuskan. Sebatan sivil itu juga tidak Islamik. Sebatan yang mencedera dan mengerikan itulah yang patut dihapuskan kerana melanggar hak asasi manusia.

"Namun sebatan syariah mempunyai falsafahnya yang tersendiri dan berakar umbi dari sumber hukum Islam yang utama seperti Al-Quran dan Al-Sunnah. Mempertikaikan efektif atau tidaknya hukuman sebatan Islam ini samalah seperti mempertikaikan hikmah dan mukjizat Al Quran dan Rasul Allah SAW," tambahnya.

Zainul Rijal berkata, sebatan yang melanggar hak asasi manusia ialah sebatan sivil bukan sebatan syariah.

"Malah Resolusi Majlis Peguam yang diluluskan beberapa tahun lepas juga memberi penekanan aspek kekejaman sebatan sivil. Ini adalah kerana sebatan syariah tidaklah sekejam yang digambarkan itu.

"PPMM percaya ahli-ahli PPMM dalam Bar Malaysia tidak bersetuju sebatan syariah dihapuskan kerana ia adalah sebahagian dari ajaran agama Islam yang mana Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri dan Parlimen bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan mengadakan hukuman bagi sebarang kesalahan melanggar perintah agama.

"Seksyen 289 Akta Kanun Jenayah yang dirujuk oleh (presiden Majlis Peguam) Ragunath adalah tidak terpakai di mahkamah syariah. Undang-undang yang terpakai di mahkamah syariah bagi pelaksanaan sebatan syariah ialah Akta Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah.

"Oleh yang demikian presiden Majlis Peguam itu perlulah merujuk kepada Akta tersebut terlebih dahulu (yang juga diluluskan oleh Parlimen) sebelum membuat sebarang komentar.

"Malaysia adalah sebuah negara unik yang mempunyai dua sistem perundangan dan kedua-dua sistem ini haruslah lengkap melengkapi antara satu sama lain serta menghormati pihak yang satu lagi," tegas Zainul Rijal.

Menurutnya lagi, Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat dan adalah menjadi peraturan asas (trite law) bahawa rujukan kepada konvensyen antarabangsa bukanlah nas yang sahih di sudut perundangan negara selagi ia tidak dijadikan undang-undang.

-malaysiakini-

Tiada ulasan: