"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM: Setiausaha politik menteri ditahan Khamis lalu dilepaskan

KUALA LUMPUR, Feb 18: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya telah menahan seorang setiausaha politik kepada menteri Khamis lalu tetapi dia telah dilepaskan empat hari kemudian.

Menurut agensi itu, pihaknya menahan setiausaha politik berkenaan di Pulau Pinang kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

“Suspek telah ditahan reman selama lima hari mulai 12 Feb.

“Bagaimanapun suspek telah dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM50,000, dengan seorang penjamin pada 14 Feb setelah percakapannya diambil,” kata kenyataan dikeluarkan SPRM hari ini.

Menurut SPRM, turut disita bagi membantu siasatan ialah sebuah kenderaan dan sejumlah wang.

Pada Isnin lalu, kenyataan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyebut, Hasbie Satar yang merupakan setiausaha politik kepada Tan Sri Nor Mohamed Yakcop telah meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Kenyataan satu perenggan itu bagaimanapun tidak menyatakan sebab peletakan jawatan Hasbie.

Difahamkan, peletakan jawatan Hasbie mempunyai kaitan dengan siasatan SPRM terhadapnya kerana didakwa memiliki sejumlah besar aset yang tidak dapat diisytiharkan perolehannya, termasuk kereta mewah serta beberapa rumah.

SPRM juga dilaporkan membekukan beberapa aset dan akaun bank miliknya bagi membantu siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan.

Hasbie ditahan ekoran serbuan SPRM pada pukul 3.30 petang di sebuah unit kediaman di Pangsapuri Sri Molek, Teluk Air Tawar, Pulau Pinang dan suruhanjaya itu menemui wang tunai mengikut nilai RM5, RM10, RM50 dan RM100 berjumlah kira-kira RM2 juta.

Selain itu, sebuah kenderaan pacuan empat roda didaftar di bawah sebuah syarikat yang beroperasi di Pulau Tikus, Pulau Pinang dan sebuah kereta mewah turut disita.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: