"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiada erti berarak kalau tolak sunnah

Harakahdaily
JELUTONG, 20 Feb:
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, UstazTaqiuddin Hamzah berkata, berarak bukanlah menambah pahala dan tidaklah menjadi berdosa kerana ia adalah mubah.

“Apalah erti kalau berarak dan berselawat ke atas Nabi s.a.w kemudian menolak apa yang Nabi s.a.w. suruh dalam kehidupan kita. Apa guna kita berarak dan berselawat tapi tidak menghayati sunnah Nabi s.a.w. dalam minda dan pemikiran kita.

“Susah payah berarak, berselawat kemudian rasuah. Lagi banyak berselawat, lagi banyak menyapu wang rakyat. Lagi banyak berarak, berselawat kemudian lagi banyak salah guna kuasa,” ujarnya.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS kawasan menyatakan demikian ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Hashim Yahaya, di sini semalam.

Itu juga, katanya semakin banyak berarak dan berselawat ke atas Nabi s.a.w., pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjumpai duit tunai berjuta ringgit milik setiausaha politik seorang menteri.

Soalnya, adakah itu nilai perarakan Maulid Rasul dan selawat ke atas Nabi s.a.w. bagi golongan fasik yang menjadi pembawa berita palsu.

Menurutnya, perarakan Maulid Rasul tiada salahnya dan tiada perarakan juga tidaklah berdosa tetapi yang salah dan berdosa apabila menolak sunnah Nabi s.a.w.

“Yang salah dan berdosa bila rasuah, salah guna kuasa, adu domba di kalangan rakyat agar bergaduh,” katanya.

Tambahnya, menjadi kesalahan dan berdosa juga apabila orang-orang fasik melakukan provokasi dengan berita palsu supaya umat Islam membakar gereja, surau dan melemparkan kepala khinzir ke dalam masjid.

“Maka selidikilah dahulu setiap maklumat, setiap berita, setiap isu, setiap sms yang kita terima, agar kita tidak menjadi habuan racun fitnah orang orang fasiq. Janganlah kita menjadi pelahap yang menelan segala apa yg kita terima,” ujarnya.

Tiada ulasan: