"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar gagal dalam rayuan batalkan tuduhan liwat

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan tuduhan liwat terhadapnya.

Hakim Datuk Abu Samah Nordin berkata tiada kes untuk mahkamah itu membenarkan rayuan tersebut.

Beliau juga memutuskan bahawa laporan perubatan hanyalah untuk menyokong kerana ia juga perlu disokong oleh keterangan lisan, forensik dan bukannya semata-mata laporan itu sahaja.

Abu Samah juga berkata, mahkamah berpandangan bahawa Anwar juga gagal membuktikan bahawa tuduhan itu merupakan satu penindasan dan menyalahguna proses mahkamah.

Oleh itu, katanya, perbicaraan kes liwat terhadap Anwar hendaklah dibenar diteruskan.

Mahkamah juga menolak permohonan lisan peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar untuk menangguhkan perbicaraan kes tersebut, sementara menunggu rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Ketua pembangkang dan ahli parlimen Permatang Pauh itu, dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan.

Perbicaraan tersebut dijadualkan bersambung esok, dengan Mohd Saiful menjadi saksi pertama dipanggil memberi keterangan.

-malaysiakini-

Tiada ulasan: