"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

DAP: 'Pemuda Umno jahil demokrasi berparlimen'

DAP Selangor menyifatkan Pemuda Umno dan pertubuhan lain yang menyertai demonstrasi di pejabat Pesuruhjaya Tertinggi Australia semalam, sebagai “jahil fungsi sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan oleh negara komanwel, termasuk Malaysia dan Australia”.

Demonstrasi itu diadakan kira-kira seminggu selepas lebih 50 ahli parlimen Australia membuat desakan supaya digugurkan tertuduhan liwat terhadap ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi jawatankuasa kecil hal ehwal luar negeri Parlimen Australia, Michael Danby menyerahkan surat desakan itu kepada pesuruhjaya tinggi Malaysia di Canberra, Salman Ahmad.

Selain itu, pengerusi jawatankuasa hubungan luar senat Amerika Syarikat, John Kerry pula mahu perbicaraan Anwar dijalankan dengan adil dan saksama.

Setiausaha DAP Selangor, Lau Weng San menjelaskan, dalam sistem demokrasi berparlimen, jawatankuasa kecil atau jawatankuasa parlimen ditubuhkan oleh parlimen dan dianggotai ahli parlimen sendiri yang tidak memegang apa-apa portfolio dan jawatan dalam pentadbiran kerajaan atau eksekutif.

Selalunya, jawatankuasa ini ditubuhkan berdasarkan isu atau portfolio pentadbiran sesebuah kerajaan itu dan berfungsi sebagai satu cabang untuk memantau dasar dan pelaksanaan dasar oleh eksekutif, selaras dengan semangat pengasingan kuasa antara legislatif (parlimen), eksekutif (pentadbiran) dan judisiari (kehakiman).

“Malahan dalam sistem demokrasi berparlimen yang matang, jawatankuasa ini juga bertanggungjawab meneliti sesuatu akta yang dibentangkan oleh eksekutif sebelum ianya diluluskan oleh Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, beliau yang juga ADUN Kampung Tunku berkata, dalam sistem demokrasi berparlimen yang matang, adalah tidak ganjil jika parlimennya mempunyai berpuluh-puluh jawatankuasa sebegini.

“Maka berdasarkan prinsip ini juga, jawatankuasa pilihan tentang hal ehwal luar negara juga ditubuhkan oleh Parlimen.

“Tugas mereka termasuk menilai dan menegur dasar-dasar luar negeri yang diamalkan oleh kerajaan.

“Apa yang dilakukan oleh ahli Parlimen dari Australia dan Amerika ini merupakan tugas mereka sebagai ahli dan pengerusi kepada jawatankuasa pilihan khas /kecil parlimen mereka tentang hal ehwal luar negeri,” tambahnya.

Malangnya, kata Lau, walaupun Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan mewarisi tradisi parlimen ala-Westminster, tetapi ia jarang-jarang menubuhkan jawatankuasa pilihan khas untuk memantau hal ehwal pentadbiran kerajaan.

“Apa yang pernah dilakukan oleh Parlimen Malaysia yang berkaitan dengan hal ehawal luar negeri ialah penubuhan kokus parlimen Malaysia terhadap Myanmar dengan tujuannya untuk mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut politik di Myanmar.

“Maka adalah tidak tepat jikalau hendak dikatakan bahawa Malaysia mengamalkan dasar tidak campur tangan di mana dalam kes Myanmar ini, terbukti bahawa Malaysia pernah melakukan sesuatu di peringkat Parlimen terhadap Myanmar.

“Adakah ini dituduh sebagai mencampuri hal ehwal sesebuah negara berdaulat? Jika ya, maka Malaysia juga pernah melakukannya dan tindakan Malaysia menubuhkan kokus parlimen Malaysia terhadap Myanmar adalah betul kerana keadaan Myanmar yang tidak stabil telah mengugat kestabilan politik serta ekonomi serantau.

“Justeru itu, saya menyeru Pemuda Umno dan pertubuhan-pertubuhan lain yang menyertai demonstrasi di pejabat pesuruhjaya tertinggi Australia ke Malaysia, untuk meneliti fakta-fakta sejarah yang saya terangkan di atas agar tidak tertembak (diri) sendiri,” katanya.

-malaysiakini-

Tiada ulasan: