"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM diminta dedah hasil siasatan Setpol menteri

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 17 Feb:
Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (Gerak) memberi tempoh seminggu untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan hasil siasatan terhadap Hasbie Satar.
Gerak dalam kenyataan kepada Harakahdaily menyebut, perkembangan terbaru yang berlaku membabitkan perletakan jawatan Hasbie sebagai Setiusaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohammed Yakcop tanpa sebarang alasan yang kukuh telah mencemarkan imej kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib.

Hasbie yang bertugas di Unit Perancangan Ekonomi (EPU) berkhidmat untuk Nor Yakcob sejak April tahun lalu semasa menteri tersebut memegang portfolio Menteri Kewangan Kedua di bawah pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut mStar Online,“Siasatan telah mula dijalankan sejak tahun lalu lagi selepas dakwaan menyatakan Hasbie memperoleh kekayaan tersebut melalui wang sogokan bagi meluluskan projek-projek yang bernilai jutaan ringgit.”

Gerak Malaysia turut melahirkan rasa kekecewaan terhadap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) anggota pentadbiran kerajaan dan penjawat awam sepertimana yang telah diwar-warkan oleh Perdana Menteri.

Gerak juga percaya bahawa PM telah gagal dalam mengotakan janji dan slogannya, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” apabila masih wujud budaya korupsi dan pecah amanah dalam pentadbiran kerajaan.

Gerak juga amat terkejut dengan pengumuman SPRM tentang penutupan kes berprofil tinggi baru-baru ini akibat daripada kegagalan pasukan mereka mengumpul bukti.

Justeru, Gerak mengesa agar SPRM di bawah Ketua Pesuruhjayanya yang baru, Datuk Abu Kassim Mohammed agar lebih cekap, transparen dan bebas semasa melakukan siasatan terhadap kes yang berprofail tinggi.

SPRM juga mestilah dilihat lebih adil dan matang dengan berbekalkan teknologi sedia ada dalam melakukan penyiasatan dan pengumpulan bukti kukuh.

Ini kerana kepimpinan Gerak yang lalu juga telah menyerahkan kes-kes rasuah yang berprofil tinggi melibatkan beberapa kenamaan namun hasilnya amat mengecewakan.

Tiada ulasan: