"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

BN, JPN nafi sekolah disasar sebar risalah burukkan Ku Li

Mohd Zuharman

KOTA BARU, Feb 18: Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) menyelar tindakan agensi tertentu yang menyebarkan risalah memburuk-burukkan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah ekoran pendirian beliau bahawa Kelantan berhak untuk menerima bayaran royalti minyak lima peratus.

Bagaimanapun Barisan Nasioanl (BN) Kelantan menafikan pihaknya menyebarkan risalah seumpama itu manakala Jabatan Pendidikan negeri pula menyangkal agensi itu diperalatkan untuk mendokong politik BN.

Gegar difahamkan pengedaran risalah-risalah tersebut dibuat di sekolah-sekolah di sini melalui ejen tertentu yang digunakan Umno-BN.

“Memang kita ada dimaklumkan perkara ini oleh beberapa guru sekolah di sini. Bagi Gegar, ia sesuatu yang amat mendukacitakan. Malah satu keanehan bila niat baik Tengku Razaleigh dinafi sampai sanggup mengedarkan risalah-risalah bagi memburuk-burukkan namanya.

“Ini menunjukkan perangai buruk, dendam kesumat pihak tertentu terhadap Tengku Razaleigh. Apa salah Tengku Razaleigh? Beliau sekadar sampaikan maklumat yang benar kepada rakyat,” kata Pengerusi Bersama Gegar Dr Abdul Halim Yusuf.

Beliau amat kesal jika Umno-BN sanggup menggunakan agensi pendidikan demi kepentingan politik mereka, lebih-lebih lagi dalam isu membabitkan hak kepentingan rakyat.

"Sedangkan Tengku Razaleigh sendiri sejak dari awal-awal lagi memaklumkan kepada umum bahawa tindakannya itu bukan berdasarkan politik.

“Hairan juga, kenapa takut sangat dengan Ku Li,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Beberapa guru yang dihubungi juga mengesahkan pihaknya ada menerima risalah berkenaan sejak seminggu lalu terutama selepas Tengku Razaleigh berucap pada satu forum mengenai isu pertikaian wang royalti di sini bulan lalu.

Pada 1 Feb lalu satu Persidangan Kebangsaan Pengetua-pengetua Sekolah Menengah Malaysia (PKPSM) telah diadakan di sebuah hotel dekat sini, yang turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Difahamkan selepas persidangan berkenaan, satu perjumpaan khas Mustapa bersama pegawai JPN dan pengetua-pengetua sekolah turut diadakan.

“Pada perjumpaan khas itu memang ada bercakap pasal royalti. Setakat itu saja dapat saya beritahu. Dan, risalah memburuk-burukkan Ku Li itu memang ada,” kata seorang guru yang enggan namanya dikenali.

Pengarah JPN Kelantan, Mohd Ghazali Abdul Rahman mengesahkan kehadiran Mustapa pada persidangan berkenaan sambil tidak menafikan turut bercakap pasal isu tersebut.

Bagaimanapun beliau menafikan Umno-BN menggunakan institusi pendidikan di negeri ini dalam isu royalti minyak sebanyak lima peratus itu.

“Datuk Mustapa tahu ada persidangan itu, jadi dia minta nak bercakap sekejap. Saya bagi. Itu saja. Dia bercakap pun tak banyak.

“Lagi pun pada persidangan itu kita banyak membincangkan agenda akan dimuatkan dalam persidangan PKPSM yang akan diadakan secara besar-besaran Mei ini,” jelasnya semasa dihubungi.

Pun begitu Mohd Ghazali tidak menolak kemanfaatan hasil daripada penyebaran maklumat sebenar perlu juga sampai kepada guru-guru sekolah agar tidak terus menjadi keraguan.

“Tapi kalau sebaliknya, ada yang kata JPN diperalatkan untuk mendokong politik BN, itu adalah silap. Tidak benar sama sekali,” katanya.

Semasa menjawab penyebaran risalah memburuk-burukkan Tengku Razaleigh yang berlaku di sekolah-sekolah dalam negeri ini, beliau tidak pasti kebenarannya.

Namun beliau menekaskan akan mengambil tindakan tegas jika mendapati pihak sekolah terlibat dengan aktiviti itu.

Sementara itu Setiausaha BN Kelantan Datuk Alwi Che Ahmad dalam reaksinya berkata, pihaknya tidak tahu-menahu tentang penyebaran risalah tersebut.

Bagaimanapun beliau juga berkata adalah tidak wajar tindakan sedemikian dilakukan sekiranya benar risalah-risalah sedemikian disebarkan di sekolah.

“Buat apa nak bergaduh sama sendiri,” katanya.

Susulan ceramahnya dalam isu tuntutan royalti minyak Kelantan Tengku Razaleigh telah dilabelkan oleh Umno Kelantan sebagai menentang arus selain menyimpan agenda tersendiri.

Pemuda Umno Kelantan telah menggesa bekas pengasas dan pengerusi Petronas itu melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen BN menyertai PAS atau Pakatan Rakyat.

Tengku Razaleigh menyampaikan pendiriannya pada ceramah royalti petroleum anjuran pertubuhan bukan kerajaan, Gegar di Stadium Sultan Mohamad IV Kota Baru, bulan lalu.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: