"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Air dari Pahang, kenapa terburu-buru

Harakahdaily
SHAH ALAM, 20 Julai:
Kerajaan Selangor mengambil berat hasrat Kerajaan Persekutuan untuk menyegerakan pelaksanaan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS) namun bagi Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar) ia terlalu terburu-buru.

Bagi beliau, projek yang menelan belanja yang besar dan terus meningkat dari RM2 bilion kepada RM8 bilion itu tidak perlu disegerakan dengan hanya berdasarkan unjuran bahawa akan berlaku krisis bekalan air jika projek ini tidak dimulakan sekarang.

Ini jelas apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Tenaga, Air dan Teknologi Hijau, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui baru-baru ini, menuduh Selangor sengaja melengahkan pelaksanaan PPAMPS dan memberi amaran bahawa Selangor akan dipersalahkan jika berlaku krisis bekalan air pada masa akan datang.

"Adalah dipercayai bahawa kedua menteri tersebut telah dikelirukan sehingga mempercayai bahawa krisis air akan berlaku pada 2014," kata Khalid dalam satu kenyataannya hari ini.

Menurut beliau, nasihat yang diperoleh oleh Kerajaan Selangor dari pakar industri air dan juga kajian berdasarkan pertumbuhan penduduk, jumlah penggunaan air dahulu dan sekarang dan kapasiti pengeluaran air, bekalan air yang sedia ada sekarang ini mampu menampung keperluan di Lembah Klang sehingga 2019.

"Kerajaan Negeri sedar projek ini ada kebaikannya, namun ia tidak perlu disegerakan tanpa mengambil kira pemahaman menyeluruh industri air termasuk proses penstrukturan semula industri air Selangor," katanya.

Selangor sekarang sedang menstrukturkan semula sistem pengendalian bekalan dan penyaluran air di Selangor sekarang agar kepentingan rakyat lebih terjaga bukannya segelintir ahli perniagaan.

Selangor juga sedang berusaha untuk membolehkan sungai Klang yang melalui Selangor dan Kuala Lumpur boleh digunakan sebagai air minuman.

Pentadbiran Khalid menjadikan pemulihan Sungai Kallang di Singapura dan Sungai Thames di London sebagai contoh bagaimana sungai boleh dipulihkan dan digunakan airnya.

"Kami percaya masa yang sesuai untuk projek ini dilaksanakan adalah pada 2015 atau 2016 dan jika ia dipercepatkan tanpa kajian, kos itu akan meningkatkan beban hutang Kerajaan Malaysia," kata Khalid dalam kenyataannya.

Sehubungan itu, kata Khalid, Selangor menyarankan Kerajaan Persekutuan memberi keutamaan kepada alternatif lain dan tidak terlalu mudah melaksanakan projek mahal menggunakan wang rakyat.

Pertama, mengurangkan pembaziran air dengan mempromosikan kitar semula air, mengumpul dan memproses air hujan yang boleh dilakukan secara bersama kerajaan Persekutuan dan Selangor.

Kedua, sumber alternatif air yang boleh diteroka seperti air sungai, tasik dan memperkenalkan teknologi air bawah tanah. Ketiga, dengan mengurangkan kadar air tanpa hasil (NRW) dari 35% kepada kurang 20%, seperti yang berjaya dicapai oleh syarikat air Pulau Pinang.

Keempat, sistem penghantaran air yang cekap adalah penyelesaian terbaik bagi menampung permintaan pengguna. Oleh itu, perlu dipastikan air di utara Selangor dihantar dengan cekap ke wilayah selatan.

"Selangor mengamalkan pengurusan kewangan berhemat, bijaksana dan berharap Kerajaan Persekutuan turut melakukan perkara yang sama.

"Selangor meminta Kerajaan Persekutuan melakukan kajian menyeluruh, analisis, statistik secara terperinci mengenai pengeluaran air, penggunaan dan permintaan berdasarkan fakta dan angka berbanding membuat keputusan tergesa-gesa yang melibatkan wang pembayar cukai," tambah beliau dalam kenyataannya.

Tiada ulasan: