Mohd Ali Hashim
GEORGETOWN, 24 Julai: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (gambar) menyelar Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan apabila beliau bertindak mempertahankan Pegawai Kemajuan Negeri, Nik Ali Mat Yunus yang didakwa cuba mensabotaj kepimpinan kerajaan negeri.
Lim juga mendakwa sokongan yang diberikan oleh KSN membuktikan kegagalan yang wujud pada mereka dalam membina sebuah pentadbiran yang telus dan profesional.
Katanya, tindakan KSN mempertahankan Nik Ali walaupun sebelum ini ternyata setiap pegawai perkhidmatan awam sepatutnya bersikap berkecuali dan profesional serta neutral sudah tidak wujud lagi pada perkhidmatan awam yang ada sekarang.
Mereka ini, ujarnya sudah dipolitikkan dengan membenarkan penjawat awam mengkritik dan mengecam kerajaan negeri yang mendapat mandat dari rakyat.
Sepatutnya, kata beliau sebagai seorang Pegawai Kemajuan Negeri yang profesional dan berkaliber, kenyataan kesat seperti yang dilemparkan kepada Ketua Menteri iaitu biadap dan dayus adalah suatu tindakan yang tidak seharusnya dilemparkan oleh seorang penjawat awam kepada pemimpin yang memerintah negeri.
Mengulas kenyataan KSN yang menyokong tindakan Nik Ali menyelarnya, Guan Eng menambah, Sidek tidak mengambil tindakan yang proaktif untuk mengatasi masalah yang wujud.
"KSN seharusnya menegur tindakan Nik Ali sebagai Pegawai Kemajuan Negeri yang mengkritik kerajaan negeri secara terang-terangan. Ini adalah bertentangan dengan prinsip dan jawatan seorang penjawat awam dalam kerajaan negeri yang memerintah," tambahnya lagi.
Ketegangan antara Lim dan Nik Ali bermula setelah isu kecurian pasir di Balik Pulau mulai dipersoalkan setelah ianya bergerak sebelum kerajaan negeri diperintah oleh Pakatan Rakyat pada Mac 2008 yang lalu.
Nik Ali yang cuba mempertahankan tindakannya telah mengeluarkan kenyataan yang merendahkan status Ketua Menteri sehinggalah Lim menyelar Nik Ali dan memintanya supaya melepaskan jawatan sebagai Pegawai Kemajuan Negeri Pulau Pinang setelah tidak dapat memberi komitmen dan kerjasama kepada kerajaan negeri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan