Subky Latif
HAMPIR setahun lalu Al-Marhum Ustaz Hassan Shukri, bekas Timbalan Presiden PAS yang meninggal dunia pertengahan Jun lalu berjanji untuk membawa saya ke Rantau Panjang, kira-kira 6 kilometer dari Klang.
Dia hendak membawa saya menziarahi Haji Dahalan 73 tahun, seorang aktivis PAS tempatan yang terbaring uzur di rumahnya sejak dua tahun lalu.
Katanya, Haji Dahalan hendak sangat berjumpa saya. ‘Ana hendak bawa anta berjumpanya.’
Saya memberi pengakuan bersetuju dan ingin sangat bertemu dengan seorang sahabat yang begitu lama saya jumpai.
Haji Dahalan adalah seorang peniaga daging di pasar Kelang. Dia banyak memelihara kambing. Dia boleh menyembelih kambing tanpa bantuan orang lain dan dalam masa yang singkat siap melapahnya.
Dengan kepakarannya itu menjadikan hidupnya boleh dikatakan mewah.
Dalam pilihan raya umum 1978 dia jadi calon DUN PAS di tempatnya menentang Datuk Sanad. Kali pertama saya mengenalinya, dia mengundang saya berceramah membantunya dalam kempen pilihan raya itu di kampung Rantau Panjang itu.
Saya menunaikan permintaannya dan kurang setahun lepas itu Haji Dahalan minta saya menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen di kawasan itu – Pelabuhan Klang, nama kawasan itu masa itu – bagi mengisi kekosongan kerana kematian Tan Sri Manikavasam, Menteri Buruh dan Presiden MIC.
Ia adalah pengalaman pilihan raya yang pertama bagi saya.
Rumah Haji Dahalan menjadi markaz pilihan raya PAS dan saya bersama isteri dan anak sulung yang masih merangkak pindah ke rumahnya sepanjang kempen pilihan raya kecil itu.
Kebanyakan pengundi di situ yang hampir 30 ribu itu adalah keturunan Jawa dan tujuh ribu pengundi India. Saya dapat lebih tujuh ribu, sama banyak dengan jumlah pengundi India. Agaknya India mengundi saya dan majoriti Jawa di situ mengundi calon BN dari MIC, Guvindaraj.
Kerana datuk saya berasal dari Tanah Jawa, maka saya yang tidak tahu sepatah bahasa Jawa itu mengaku Jawa. Masyarakat di situ masa itu memanggil saya Kang iaitu abang atau oleh Sukarno ditukarnya menjadi Bung.
Selepas kalah pilihan raya itu saya menulis pengalaman bertanding dengan judul Anak Jawa Pelabung Klang. Buku itu laris.
Haji Dahalan mengenalkan saya dengan masyarakat Pelabung Klang meliputi Kapar dan Miru.
Pendek kata Haji Dahalan dan keluarganya jadi seperti keluarga saya.
Saya bersetuju dengan cadangan Ustaz Hassan untuk membawa saya berjumpa Haji Dahalan di Rantau Panjang. Tetapi kami tidak pergi.
Beberapa minggu kemudian Ustaz Hassan hendak membawa saya ke Rantau Panjang. Saya tidak berhalangan. Tetapi kami tidak pergi juga. Jika saya tidak silap tujuh lapan kali Ustaz Hassan menyebutkan hal dan saya tidak pernah menolak dan menunggu bila Ustaz Hassan hendak membawa saya bertemu Haji Dahalan.
Hasrat itu tidak pernah makbul. Kali terakhir Ustaz Hassan menyebut perkara itu semasa kami sama-sama bermotokar ke Kota Bharu bagi menghadiri Muktamar PAS ke 56 9 Jun lalu. Kami bersetuju selepas pulang dari Kota Bharu nanti kami akan sama-sama ke Rantau Panjang.
Sehari selepas balik dari Kelantan Ustaz Hassan pun meninggal dunia. Pada hari kematian itu seorang hamba Allah datang mengingatkan keluarga Ustaz Hassan dan saya tentang hasrat Haji Dahalan untuk berjumpa kami berdua dan dia tahu Ustaz Hassan berjanji untuk membawa saya ke rumah Haji Dahalan.
Maka saya pun rasa bersalah tidak bersungguh untuk memenuhi cadangan itu hingga Ustaz Hassan meninggal dulu.
Hari Ahad 11 Julai lalu saya pun pergi ke Rantau Panjang. Saya pernah beberapa kali ke situ lebih 20 tahun lalu. Tetapi Rantau Panjang yang saya datangi kali tidak sama dengan Rantau Panjang 30 tahun dulu.
Penuh bangunan baru dan kampung sepanjang satu setengah kilometer itu di kiri kanan penuh dengan gerai. Tidak lagi seperti dulu yang betul-betul sebuah desa totok. Sekarang sudah seperti simi urban.
Saya tercari-cari rumah Haji Dahalan. Saya ditunjukkan rumah itu. Ia tersorok dicelah banyak rumah baru. Belakang rumahnya dulu adalah kebun. Sekarang penuh dengan rumah anak-anaknya. Haji Dahalan sudah pindah ke rumah lain. Anaknya membawa saya ke rumahnya.
Dia terlentang seorang diri. Masa siang begitu orang lain keluar dengan kerja masing-masing. Dia banyak baring dari duduk. Ke bilik air pun perlu dibantu.
Dia amat gembira melihat saya tetapi dia tidak putus-putus teringatkan tidak dapat jumpa Ustaz Hassan.
Perkataan yang pertama disebutnya pada saya ialah sedih atas kematian Ustaz Hassan kerana dia tidak dapat jumpa. Saya ingat Ustaz Hassan yang hendak membawa saya itu sudah menziarahinya. Rpanya dia pun tidak sempat dan hanya bercadang untuk pergi bersama saya.
Sepanjang setengah jam bersamanya, dia sentiasa teringatkan Ustaz Hassan. Amat mendalam perasaannya kepda Ustaz Hassan. Tetapi rasa terubat sikit kerana saya sempat berjumpanya kerana memenuhi hajat Ustaz Hassan.
Sebelum saya berpisah, dia menyebut tentang saya datang ke rumah semasanya dan hari ini datang lagi buat kali ke dua. Saya kata, ‘Saya tidak dapat semalam. Baru hari ini saya datag.’
Katanya, ‘Malaikatlah yang saya jumpa semalam.’ Memang saya tidak ke situ sebelum itu. Yang dilihatnya itu tentunya bayangan Malaikat.
Rantau Panjang yang Uataz Hassan nak bawa saya semula ke situ selepas 30 tahun sudah berubah sebagai satu lokaliti dalam negeri Selangor, sebuah negeri yang maju. Saya senang hati dapat ziarah semula selepas 30 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan