"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiada krisis, Selangor tolak kadar air naik

Harakahdaily
SHAH ALAM, 22 Julai:
Masalah kini di Selangor bukan kekurangan air tetapi tindakan Kerajaan Pusat yang sengaja melambatkan penyelesaian penstrukturan semula syarikat pengurusan air di negeri ini.

Pengarah Penerangan kerajaan negeri, Dr Badrul Amin Baharom (gambar) berkata, masalah yang bakal didepani rakyat Selangor bukan krisis kekurangan air, tetapi kadar air meningkat disebabkan keengganan kerajaan pusat Barisan Nasional menyerahkan pengurusan industri air Selangor kepada kerajaan negeri, sebaliknya meneruskan agenda penswastaan air.

“Dakwaan Selangor menghadapi krisis bekalan air bertujuan memberi alasan untuk menaikkan kadar air,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, katanya hujah Datuk Seri Peter Chin mengulas Menteri Besar Selangor semalam adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, tambahnya, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air itu harus berhenti daripada mengelirukan orang awam dengan menimbulkan isu krisis air di Selangor.

Menurutnya, pandangan menteri tersebut jelas sekadar bertujuan untuk mengalihkan tumpuan terhadap isu pengambilalihan pengurusan industri air di Selangor, bukannya melihat pada pokok pangkal masalah sebenar yang berpunca daripada Kerajaan Pusat.

“Sekiranya kerajaan pusat Barisan Nasional terus menghalang penstrukturan semula industri air di Selangor, kami yakin kadar air akan meningkat,” ujarnya.

Beliau menjelaskan lima sebab kadar air meningkat antaranya, pembinaan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor yang berkos RM8 bilion, sementara kerajaan negeri dapat melaksanakan projek tersebut pada kos RM2 bilion.

Selain itu, katanya pengurusan Syabas yang tidak telus, antaranya gaji tahunan Pengerusi Syabas mencecah RM5.1 juta setahun, RM425,000 sebulan, Puncak Niaga gagal menaiktaraf loji rawatan air yang sudah uzur dan tidak mampu untuk merawat air.

Di samping itu, pembaziran air yang berterusan akibat air tanpa hasil (NRW) yang tinggi dan penswastaan industri air yang hanya menguntungkan kroni-kroni pimpinan politik.

“Air, tanah, sumber mineral merupakan milikan negeri Selangor, maka adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk menjaga hak rakyat Selangor,” tegasnya.

Jelasnya lagi, antara usaha kerajaan negeri untuk menghalang Syabas yang bertindak sebagai alat kerajaan pusat bagi merampas hak rakyat Selangor ialah mencadangkan pengambilalihan industri air di Selangor, serta memberikan air percuma bagi setiap penggunaan 20 meter padu.

Rakyat, katanya lebih berkeyakinan di bawah kepimpinan Tan Sri Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim, kerajaan negeri mampu mengurus pentadbiran industri air dengan jauh lebih telus dan bekesan.

“Kami menyeru agar Kerajaan Pusat mengaku air sebagai hak asasi manusia dan tidak diperalatkan untuk keuntungan kroni atau kepentingan politik.

“Kami juga rayu kepada seluruh rakyat Selangor bertegas memberi sokongan penuh kepada kerajaan negeri dalam usaha mengambilalih industri air di Selangor dan membantah penswastaan air di Selangor,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: