"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS parti Islam terbesar

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 22 Julai:
PAS menyeru kepada rakyat negara ini agar menyertai mereka sebagai parti Islam terbesar di negara ini yang memperjuangkan Islam dan membawa mesej Islam sejak ditubuhkan sebelum merdeka pada tahun 1951 lagi.

Di samping tidak menafikan sumbangan NGO lain yang turut sama memperjuangkan dakwah Islamiah di negara ini, Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar) berkata, PAS turut menjalinkan hubungan yang akrab serta saling bekerjasama dengan mereka.

Mengulas lanjut beliau berkata, PAS adalah parti yang mengutamakan keamanan, perpaduan serta berpegang teguh kepada prinsip bahawa akidah Islam dan dasar-dasar Islam mampu memberikan kesejahteraan kepada semua kaum dan agama lain di dunia ini.

"PAS bukanlah parti perkauman yang khusus buat kaum-kaum tertentu, tetapi kita tidak nafikan bahawa majoriti ahli PAS adalah dari kalangan umat Melayu. Namun mereka bersama dengan parti ini atas semangat Islam dan bukannya kerana semangat Melayu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan beliau secara tidak langsung dilihat sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa Umno parti terbesar orang Melayu di negara ini seperti dilapor media hari ini.

Jelas Idris lagi, PAS juga jelas berdiri teguh menghormati dan mempertahankan hak-hak istimewa orang Melayu khususnya dalam aspek agama, budaya, tanah dan juga aspek sosial yang lain.

Malah PAS juga perihatin dengan nasib umat Melayu akhir-akhir ini yang sering dijadikan mangsa dasar Liberalisasi dan Model Ekonomi Baru Kerajaan BN yang akhirnya mengecilkan kuota ekuiti Melayu daripada 30 peratus kepada 12.5 peratus sahaja.

"Banyak lagi hak istimewa orang Melayu yang gagal diangkat oleh Umno walaupun mereka bangga mengatakan bahawa merekalah parti Melayu terbesar," katanya lagi.

PAS ujarnya lagi, sedar akan kepentingan orang Melayu dan mengajak seluruh umat Melayu untuk bangkit berjuang atas nama Islam, kerana hanya dengan Islamlah mereka akan lebih dihormati.

Perpaduan umat Melayu atas nama Islam, tegasnya adalah pilihan terbaik berbanding apa yang ditawarkan oleh Umno, kerana Islam secara tegas mengharamkan apa yang haram dan menghalalkan apa yang halal.

Rakyat boleh menilai keterbukaan dan wibawa kepimpinan PAS dengan melihat beberapa contoh paling dekat pada hari ini.

"Keterbukaan PAS ini jelas dengan kelahiran Dewan Himpunan Penyokong PAS, di mana sebagai parti Islam kita juga mempunyai sokongan yang kuat kalangan bukan Islam untuk memimpin negara ini.

"Pemerintahan PAS di Kedah dan Kelantan berjaya membuktikan bahawa Islam adalah agama yang memberikan kesejahteraan kepada semua bangsa dan agama. Tidak cukup dengan itu, kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat jelas memberikan manfaat kepada rakyat keseluruhannya," tambahnya lagi.

Sehubungan itu beliau menyeru kepada rakyat untuk sama-sama menyertai PAS, menyokong dan memberikan kepercayaan untuk PAS menjadi alternatif kepada Umno menjelang Pilihanraya Umum ke-13.

Tiada ulasan: