Zulkifli Yahaya
AKHIRNYA kerajaan negeri Kedah secara rasmi mengakui dalam sidang Dewan Undangan Negeri bahawa projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) dihentikan selepas dicadangkan pada 2007. Baru beberapa keluaran lalu saya menulis di ruangan ini Projek Zipy Masih Dalam Mimpi kini projek tersebut temui jalan mati.
Exco Industri dan Pelaburan Dato’ Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail mendedahkan bahawa projek Zipy yang diterajui Merapoh berdepan dengan masalah kewangan, lalu kerajaan bertindak menghentikan komitment terhadap projek tersebut. Sebagai ganti, katanya, mereka akan mewujudkan projek baru iaitu Yan Energy dengan menjalin kerjasama dengan pelabur baharu.
Namun pelabur tersebut tidak didedahkan identitinya. Entah betul entah tidak apa yang diberitahu oleh exco tersebut, rakyat kenalah tunggu sehingga berakhir penggal ini. Besar kemungkinan akan bertemu jalan mati lagi kerana prospek projek tersebut sangat kabur. Ia lebih kepada gimik politik.
Sidang Dewan ini juga didedahkan dengan kegagalan kerajaan negeri menunaikan janji pemberian khairat kematian kepada setiap keluarga yang kematian ahli keluarga iaitu sebanyak RM250. Dalam laporan bertulis yang diberikan kepada setiap Adun, kerajaan hanya memberi sumbangan kepada 80 keluarga sahaja bagi setiap kawasan Dun. Bagi 36 kawasan Dun kesemuanya, bermakna kerajaan hanya menyumbang untuk 2,880 kematian.
“Sedangkan jumlah kematian sebenar yang direkodkan sejak dari awal tahun lalu sehingga Februari 2015 adalah seramai 15,099 orang,” ujar ketua pembangkang Dato’ Amiruddin Hamzah. “Bermakna bagi lebih 12,000 lagi kematian, pihak waris mereka belum terima skim berkenaan.” Jumlah tersebut mewakili 80 peratus dari jumlah kematian yang tidak dibayar skim seperti dijanjikan.
Masa kerajaan Pakatan dahulu, setiap kematian bagi keluarga yang daif mendapat sumbangan skim Kafalah sebanyak RM500. Kerajaan hanya berjanji untuk memberi kepada keluarga dhaif yang layak mengikut syarat-syarat tertentu. Janji tersebut ditepati.
Kini, masa BN mereka berjanji untuk beri kepada setiap kematian tanpa mengira latar belakang keluarga atau keturunan. Malang, janji tidak ditepati.
Seterusnya dalam sidang Dun kali ini, kerajaan terpaksa mendedahkan bahawa isu kekosongan imam yang berlaku di masjid-masjid negeri ini sejak dua tahun lalu masih belum selesai. Setakat Mac 2015 terdapat 158 khariah di mana masjid mereka tiada imam rasmi lantikan kerajaan. Kekosongan jawatan bilal pula 318 manakala siak 226. Pelbagai masalah yang timbul akibat ketiadaan imam. Perkara yang paling menyusahkan ahli khariah ialah soal nikah kahwin, sehingga terpaksa menggunakan imam luar khariah.
Imam adalah jawatan yang melibatkan kepentingan umat Islam dalam sesuatu khariah.
Jika kematian seorang wakil rakyat akan segera diisi tanpa menunggu sehingga melebihi 60 hari, maka jawatan imam juga seharusnya begitu. Tidak munasabah untuk membiarkan sehingga melebihi enam bulan malah ada yang mencecah tahun. Kegagalan pelantikan imam ini adalah kerana kelemahan kerajaan dalam menguruskan hal ehwal agama di negeri ini.
Satu pendedahan mengejutkan dalam sidang Dun kali ini ialah bilangan pegawai menteri besar dan pendapatan yang diperolehi mereka. Dato’ Seri Mukhriz Mahathir mencipta rekod baru di Kedah di mana beliau adalah menteri besar yang mempunyai pegawai khas dan pegawai peribadi paling ramai iaitu 19 orang! Jumlah tersebut tidak termasuk kakitangan pejabat dan kediaman rasmi menteri besar di bawah Skim Saraan Kerajaan yang sedia ada.
Pendapatan yang diterima setiap pegawai sangat tinggi.
14 dari 19 petugas tersebut menerima pendapatan melebihi gaji pokok Adun Kedah. Secara purata para pegawai khas menerima pendapatan RM7,800 setiap bulan. Kerajaan terpaksa memperuntukkan sejumlah RM133,805.56 untuk membayar gaji dan elaun kesemua pegawai khas dan pembantu tersebut, tidak termasuk caruman KWSP.
Adun Kuah Nor Saidi Nanyan, menyebut perihal rakyat yang tidak nampak apa perubahan yang dibuat oleh kerajaan BN sejak mengambilalih pada Mei 2013. Ia satu pengakuan yang ikhlas kerana umumnya rakyat Kedah tidak terasa perbezaan atau perubahan yang lebih baik, apabila berlaku pertukaran kerajaan dari Pakatan Rakyat ke BN.
Sebelum Sidang Dun bermula, Pesuruhjaya PAS Kedah Dato’ Mahfuz Omar membuat cabaran kepada menteri besar selaku anak Tun Dr Mahathir supaya menyatakan pendirian rasmi berhubung kritikan bapanya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak.
Mahfuz menyenaraikan kritikan Tun, antaranya berhubung senario politik negara seperti isu pembunuhan Altantuya, pembelian kapal selam, skandal 1MDB, pembaziran wang negara, pembelian jet peribadi, kekayaan luar biasa keluarga Najib dan kegagalan dasar pentadbirannya.
“Sikap atau pendirian rasmi beliau berhubung kritikan Tun terhadap Najib itu sangat penting bagi rakyat negeri ini memahami isu sebenar yang berlaku. Jika Mukhriz mengambil sikap berdiam diri dalam isu terbabit bermakna beliau tidak menyanggahi segala kritikan Tun terhadap Najib yang juga selaku ketuanya,” ujar Mahfuz yang pasti membelit pemikiran Mukhriz.
Mukhriz pasti dalam dilema. Jika beliau menerima apa yang disebut oleh Tun itu sebagai benar, maka atas dasar moral Mukhriz wajar mengundurkan diri dari jawatan menteri besar lantaran jawatan tersebut adalah lantikan oleh perdana menteri.
Menteri Besar itu tidak mengulas apa-apa berhubung konflik antara bapanya dengan ketuanya, Najib. Namun Adun Bukit Lada, Dato’ Ahmad Lebai Sudin dengan sinis mengulas isu tersebut dalam Dun. Beliau membangkitkan anologi kononnya dalam PAS, Pasma sedang berusaha menjatuhkan presiden sedia ada. Tiba-tiba dengan lantang dan penuh semangat Ahmad menegaskan bahawa ahli-ahli Umno mesti mempertahankan kerajaan yang dipimpin oleh perdana menteri.
Beliau tidak menyebut Tun Dr Mahathir tetapi semua yang hadir dalam Sidang Dun faham apa yang dimaksudkannya. Mukhriz pasti terganggu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan