"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

GST: Penerangan parti keris jadi bahan ketawa

DR AZMAN IBRAHIM
Hari ini penamaan calon PRK Rompin. Siapa menang dan siapa kalah dalam PRK Rompin ini tak akan mengubah kerajaan yang memerintah. Tetapi sebenarnya PRK Rompin mempunyai manifestasi yang besar dalam arus politik negara.

Rompin adalah satu kawasan parlimen di negeri asal Perdana Menteri. Kedudukan Parlimen Rompin bersempadan dengan Parlimen Pekan yang diwakili PM. Allahyarham bekas Ahli Parlimen Rompin adalah sahabat baik Perdana Menteri yang sentiasa berada di belakang Ahli Parlimen Pekan tersebut dan salah seorang penasihat yang berperanan untuk memastikan kelangsungan kuasa beliau di Sri Perdana, Putrajaya. Kemalangan helikopter berlaku ketika dalam perjalanan balik dari kenduri kahwin anak Perdana Menteri. Rompin dan Pekan sama-sama kawasan majoriti pengundi Melayu dengan peratusan melebihi 87%.

Satu tagline yang paling jelas, inilah PRK yang pertama selepas perlaksanaan GST. Kita mendengar keluhan rakyat di pelbagai peringkat sampai Ahli Parlimen Umno pun turut mengeluh apabila anak Ahli Parlimen tersebut dimasukan ke hospital swasta dan kena GST walaupun beliau sendiri yang turut sokong untuk meluluskan GST! Kalau kata bodoh kan marah!

Benar sebagaimana yang dicanangkan oleh Pak Menteri bahawa rakyat akan semakin faham GST selepas perlaksanaannya. Memang sekarang rakyat dah faham termasuklah rakyat Umno.

Walaupun jentera penerangan parti keris ini cuba masuk kampung untuk menjelaskan bahawa punca harga barang naik bukan disebabkan GST tetapi kerana salah peniaga yang menaikkan harga barangan namun nampaknya usaha ini menjadi bahan ketawa orang ramai.

Setakat duduk berdegar-degar marahkan Umno dan GST dalam kedai kopi, ianya tak memberi banyak makna, kita buat himpunan bantah GST, Perdana Menteri jeling sebelah mata sahaja. Kita tulis macam-macam artikel penjelasan GST, Pak Menteri peduli apa! Jadi kita nak bercakap dalam bahasa apa supaya Perdana Menteri faham akan rintihan rakyat? Inilah yang dinamakan bahasa undi. Dalam hal ini rakyat Rompin sangat bertuah kerana mereka akan diberi peluang untuk mengadili tindakan-tindakan kerajaan yang telah meletakkan kehidupan rakyat dalam suasana yang sukar.

Sekiranya mereka mengambil jalan terhormat untuk menyatakan kepada kerajaan bahawa kami bantah segala tindak-tanduk kamu dengan undi kami, keberanian rakyat Rompin ini akan dikenang sebagai wira dan diingati untuk satu tempoh yang panjang. Anak-anak mereka kelak akan menghargai keberanian ibu bapa mereka.

Angka majoriti kemenangan BN di Rompin dalam PRU13 dengan lebih 15 ribu undi sebenarnya tak terlalu banyak kerana setiap pengundi hanya mempunyai 1 undi. Kalau semua orang bertekad nak buat perubahan, masing-masing dengan kuasa 1 undi wajar mengambil tindakan untuk jangan undi BN!

Kalau rakyat Rompin sayang sangat dengan Najib dan Allahyarham Jamaludin Jarjis, jangan bimbang kerana dengan tak mengundi BN di Rompin, Najib tetap akan menjadi PM dan Rosmah tetap akan jadi first lady!

Tetapi satu undi anda kepada BN bermakna anda setuju dan sokong GST! Setuju dan sokong GST bermakna anda redha untuk menerima segala kesan dan akibat perlaksanaan GST

Tiada ulasan: