"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Haji Hadi bersikap pelik walaupun PAS Pusat menyokong PKR, Haji Hadi bersikap berkecuali

Walaupun pemimpin PAS Pusat termasuk calon timbalan presiden paling popular, Naik Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkali-kali membuat kenyataan menyokong calon PKR di Permatang Pauh, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang nampaknya enggan menyatakan pendiriannya dengan jelas.

Hadi kelihatan 'tersepit' pada Rabu ketika diajukan soalan mengenai sikapnya terhadap PAS Permatang Pauh yang seperti mahu memboikot kempen PKR di sana susulan tidak setuju dengan pendirian presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Kita masih dalam PR. Kita menghormati akar umbi Permatang Pauh. Saya menghormati penyokong PAS di Permatang Pauh," kata Hadi ketika itu, mengulas kenyataan Yang Dipertua PAS Permatang Pauh Omar Hassan.

Omar sebelum ini menegaskan PKR hanya akan memperoleh sokongan mereka selepas menarik balik kenyataan menolak hudud, menggesa Dr Wan Azizah menarik balik kenyataannya dan memohon maaf secara terbuka.

Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Yusni Mat Piah juga memberikan amaran yang sama kepada PKR.

Malah, Ketua Urusan Ulama PAS Permatang Pauh Badrul Abdul Rahman mengatakan, 'hukumnya haram dan berdosa mengundi calon yang menolak hudud', merujuk kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh yang akan diadakan 7 Mei ini.

Di satu pihak, Hadi perlu berkempen untuk mendapat sokongan kepada hudud yang diperjuangkan PAS, tetapi di satu pihak lagi, terpaksa menghadapi rakannya dalam PKR yang tidak menyokong hudud dilaksanakan sekarang.

Kenyataan Hadi itu bagaimanapun berbeza dengan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali pada 20 April yang menjelaskan PAS Pusat muktamad menyokong pencalonan PKR di Permatang Pauh dan sebarang keputusan di peringkat atas mengatasi keputusan yang dibuat di peringkat akar umbi.

Tuan Ibrahim juga menyeru semua ahli PAS yang berdaftar sebagai pengundi di Permatang Pauh memberi undi mereka kepada calon PKR.

Beliau yang juga ahli Majlis Syura Ulama berkata keputusan memberi kerjasama dalam PRK Permatang Pauh ialah keputusan yang turut melibatkan hukum syarak.

Beliau malah mengatakan PAS menerima penjelasan PKR berhubung Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan yang dipertikaikan dan memahami pendirian mereka bukannya menolak syariat Allah tetapi hanya berbeza pendapat dan pendekatan.

Selain perlu menyatakan sokongan kepada PKR atas dasar rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat (PR), PAS juga akan menghadapi PRK Rompin pada 5 Mei di mana calon PAS akan menentang calon Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, kenyataan Hadi semalam memberikan pelbagai mesej kepada ahli PAS menjelang Muktamar PAS ke-61 awal Jun ini di Kuala Selangor.

Ini kerana, selain kenyataan yang menjauhkan PAS daripada rakannya dalam PKR itu, Hadi juga dilihat mahu merapati Umno, dengan membuat kenyataan parti Islam itu perlu percaya kepada musuh tradisi PAS itu apabila ia menyatakan kesediaannya menyokong hudud.

"Umno kata hendak sokong hudud – dalam Islam kita diajar menerima ucapan zahir daripada sesiapa sahaja termasuklah mereka yang munafik sekalipun.

"Jadi, dengan cara ini yang munafik pun akhirnya bertaubat," kata Hadi pada forum yang sama.

Kenyataan sebegini sudah tentu menghantar mesej yang pelbagai kepada PAS.

Sebelum ini, kenyataan beliau pernah mengakibatkan seorang ahli PAS, Tamrin Abdul Ghafar mengumumkan keluar parti Islam itu.

Sebagaimana Tamrin, Leman Raja Lawak, seorang selebriti yang mendekati PAS menjelang pilihan raya 2013 lalu juga nampaknya terasa dengan kenyataan Hadi itu.

"Haram lawan Umno kat Rompin sebab Umno sokong hudud dah! Haram undi PKR kat Permatang Pauh sebab PKR tolak hudud... Haram kesemua," tulisnya di laman Facebook.

Leman juga jelas kesal dengan kenyataan yang dibuat Badrul.

"Buat kenyataan media haram tak wala' kat pimpinan PAS Pusat! Kita dok tarik pengundi, depa dok bagi lari pengundi," tulis Leman menjawab persoalan itu.

Pandangan Leman dan tindakan Tamrin sebelum ini dibimbangi menjadi trend dalam PAS ketika Hadi mengumumkan pertambahan ahli parti itu secara mendadak bulan lalu kepada 1,004,000 orang kini.

Bertindak balas kepada Badrul, Tuan Ibrahim mengeluarkan kenyataan meminta pimpinan parti di semua peringkat tidak mengeluarkan kenyataan kontroversi sama ada melibatkan hubungan dengan PR atau hukum.

"Isu kontroversi yang melibatkan hukum mesti dirujuk kepada pendirian rasmi Majlis Syura Ulama dan pendirian rasmi Dewan Ulama kerana ia mempunyai implikasi besar.

"Ia boleh mendedahkan mudarat yang lebih besar kepada rakyat sekiranya Umno-BN terus berkuasa," kata Tuan Ibrahim.  
-Malaysianinsider-

Tiada ulasan: