Abu Hassan Adam
Walaupun ada terdapat segelintir yang tidak bersetuju dengan cadangan Dato’ Zaid Ibrahim (yang mencadangkan Dr.Mahathir dan Saudara Anwar Ibrahim berganding tenaga) ini namun aku amat yakin bahawa ramai rakyat Malaysia yang cintakan negara ini pasti akan memberikan sokongan penuh. Mungkinlah dianggap sebagai satu cadangan yang sukar untuk direalisasikan, namun sebagaimana lumrah diucapkan bahawa dalam politik tidak ada yang mustahilnya.Hari ini sebagai kawan dan esok mungkin akan jadi lawan. Begitulah sebaliknya.
Dr. Mahathir tahu dan Anwar pun tahu hakikat ini. Dengan sebab itulah entah berapa kali diucapkan oleh Saudara Anwar dalam ucapan-ucapannya sebelum ini bahawa dia sentiasa memaafkan apa yang telah dilakukan oleh Dr. Mahathir terhadapnya. Bukan sekali dan bukan dua Anwar mengucapkan kata-kata sedemikian. Bermakna bahawa pemimpin ini penuh sedar bahwa ( dalam sepak-terajang politik) berbagai perkara boleh berlaku. Dan ada juga yang mengatakan bahawa yang kekal dalam politik ialah ‘hasrat dan cita-cita’.
Dan kesediaan Dr. Mahathir untuk menziarahi jenazah Allah Yarham ayahanda Anwar menunjukkan bahawa ada ‘batas-batas’ permusuhan dalam kehidupan. Maknanya ada perbezaan ‘permusuhan’ dalam politik berbanding dengan permusuhan yang biasa dilalui dalam kehidupan. Aku sentiasa memerhatikan bahawa ‘permusuhan’ antara Dr.Mahathir dengan Anwar Ibrahim adalah seperti ‘pergaduhan’ antara anak dengan bapak (walaupun ramai yang tidak sependapat dengan pandangan yang aku utarakan ini). Apa tidaknya…
Aku ingin menyorot kembali sejarah ‘pikat-memikat’ antara kedua tokoh ini yang ‘berputik’ semenjak awal tahun 1980an. Tidak mudah Saudara Anwar ‘mengorbankan prinsip perjuangannya’ pada ketika itu semata-mata untuk menerima pujukan Dr. Mahathir untuk menyertai UMNO. Namun disebabkan keyakinannya (mungkin) kepada Dr. Mahathir yang kelihatan benar-benar untuk memperjuangkan nasib bangsa, telah terdorong bagi Saudara Anwar untuk menyertai perjuangan murni itu.
Kisah ‘kiambang bertaut’ ini pernah aku tulis sebuah rencana berjodol, “ Pimpinan 2M yang memikat’ yang tersiar dalam akhbar Berita Harian bertarikh 11 April 1982. Izinkan aku menyedut beberapa perenggan dari rencana berkenaan yang boleh dijadikan dorongan bagi siapa saja untuk merealisasikan hasrat dan cadangan Dato Zaid Ibrahim itu.
Pernah aku tulis begini,
“Ramai yang memuji DS Dr. Mahathir kerana kejayaannya menarik Saudara Anwar Ibrahim menyertai UMNO. Anwar dikatakan seorang pemimpin yang berpegang teguh kepada prinsip perjuangan dan tidak akan mudah dipujuk rayu. Ini ditegaskan sendiri oleh ayah dan iibunya”
“Peristiwa ‘kejayaan’ Dr. Mahathir dapat disamakan atau hampir-hampir sama dengan kejayaan Presiden Ramon Magsaysay (Filipina) memujuk Lui Taruc, seorang pemimpin Hukbalahap yang menentang pemerintah di sekitar tahun-tahun 1940an dan 1950an. Pemimpin-pemimpin Filipina sebelum Magsaysay telah cuba menawan hati Lui Taruc dan gagal, tetapi cara dan tindakan Magsaysay telah berjaya menarik Lui Taruc makan bersamanya dan terus menghentikan perjuangan Hukbalahap”
Aku merasakan dan aku yakin berkat dari doa rakyat Malaysia, ‘pisang akan bebruah sekali lagi’. Apa yang dihasratkan oleh Dato’ Zaid Ibahim itu adalah merupakan harapan dan impin rakyat Malaysia dari semua kaum yang sudah agak ‘muak’ dengan keadaan negara kini yang dirasakan tidak ketentuan arah tujunya. Semua lapisan masyarakat berperasaan sama dan sentiasa dalam keadaan ‘gelisah’ dengan cara pentadbiran dan pemerintahan yang dikatakan ‘flip-flop’ yang ‘dirasuk’ dengan berbagai kerenah dan skandal disamping kegiatan rasuah pihak-pihak tertentu yang dikatakan sudah melampau batasan.
Atas dasar untuk menyelamatkan negara daripada terjerumus ke lembah yang paling hina, aku merasakan bahawa kedua-dua pemimpin ini akan ‘berfikir panjang’ dan merenung jauh akan hasrat rakyat yang mengharapkan sesuatu bentuk pimpinan yang meyakinkan mereka. Aku pasti kedua-dua pemimpin ini akan dapat melupakan kesilapan dan kesalahan masing-masing kerana ‘bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan laut mana yang tidak berombak.
Semoga impian rakyat Malaysia dari semua kaum akan tercapai. Insyallah.
abuhassanadam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan