"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenyataan Raja-raja – kukuhkan rancangan undi tidak percaya terhadap PM?

Aziz Bari
Sehinggalah Majlis Raja-raja mengeluarkan kenyataan mendesak isu 1MDB diselesaikan secepat mungkin pada 6 Oktober lalu, ramai di kalangan kita yang kian merasakan kemungkinan untuk Perdana Menteri Najib Razak disingkirkan melalui undi tidak percaya di Parlimen semakin surut.
Walaupun ada yang merasakan kenyataan tegas Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Syed Danial tidak membawa sebarang kesan - memandangkan penglibatan besar majoriti keluarga diraja kita dalam perniagaan dan kewangan, apa yang berlaku selepas itu agak signifikan.

Perkembangan yang menarik perhatian itu adalah arahan untuk mengembalikan RM7.5 bilion pemindahan yang dibuat 1MDB kembali ke dalam negara. Arahan tersebut dibuat Bank Negara Malaysia dan dikeluarkan selepas Pejabat Peguam Negara sekali lagi membersihkan 1MDB daripada apa-apa kesalahan.

Kembali kepada kenyataan Raja-raja - bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, DAP dan bekas TPM Muhyiddin Yassin memberikan sokongan mereka. Malah kerajaan sendiri, melalui jurucakapnya Abdul Rahman Dahlan, berhadapan kesukaran untuk mengabaikan kebimbangan yang disuarakan Raja-raja ini.

Tidak kurang menarik juga apabila kenyataan tersebut turut dilaporkan media asing, termasuk New York Times.

Perlu disebut bahawa TPM Ahmad Zahid Hamidi tidak lagi menghentam usul tersebut, selepas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis tidak akan mengambil sebarang tindakan selagi rancangan itu tidak melibatkan jenayah.

Khalid berkata demikian pada 24 Ogos lalu, tidak lama selepas Zahid mendakwa ada rancangan yang didalangi seorang “tua yang bercita-cita tinggi”.


Semua orang kini sudah menerima hakikat bahawa Najib tidak boleh lagi disingkirkan melalui Umno, memandangkan pemilihan parti itu sudah ditangguhkan. Harapan untuk menyingkirkannya melalui undi tidak percaya pula berhadapan halangan apabila Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia berkata usul tersebut bergantung kepadanya selaku “penjaga” bagi setiap usul yang ingin dibentangkan.

Ia menyebabkan kebuntuan kerana kita tentunya masih ingat bagaimana Pandikar memainkan peranannya untuk menghalang usaha menjatuhkan kerajaan Abdullah Ahmad Badawi melalui cara yang sama pada tahun 2008.

Namun senario sekarang berbeza. Walaupun tanpa Anwar Ibrahim untuk memimpin pembangkang, keadaan Umno sekarang tidak lagi bersatu; terutama selepas pemecatan pemimpin yang bersuara terhadap Najib, seperti Muhyiddin dan Shafie Apdal.

Malah Mahathir sudah banyak kali menggesa ahli parlimen Umno-BN untuk menjatuhkan Najib demi menyelamatkan negara.

Kita perlu ingat, berbeza dengan 2008, birokrasi hari ini tidak lagi kukuh di belakang kerajaan. Pemindahan secara tiba-tiba yang melibatkan pegawai kanan polis dan SPRM serta pelepasan jawatan Abdul Gani Patail sebagai peguam negara telah menjejaskan pentadbiran Najib.

Maka di situlah terletaknya kepentingan kenyataan tegas oleh Majlis Raja-raja. Dari satu sisi, ia boleh dilihat sebagai undi tidak percaya Raja-raja Melayu terhadap pentadbiran Najib.

Mungkin ada yang mengatakan ia hanyalah kejadian terpencil. Namun kerana ia jarang berlakulah kenyataan tersebut dianggap signifikan. Jika Raja-raja sering mengeluarkan kenyataan seperti ahli parlimen pembangkang, tiada siapa yang akan memberikan perhatian.

Dengan tindakan Bank Negara yang secara bersopan mengatakan 1MDB tidak bertindak dengan betul, kini hanya peguam negara yang tinggal untuk mempertahankan Najib. Ini juga akan meletakkan Speaker dalam keadaan berbelah bahagi.

Beliau tentunya akan terus menggunakan kuasanya untuk mematahkan apa-apa usul yang cuba dibawa.

Namun dengan mengambil kira perkembangan terbaru, tentu sukar bagi Pandikar untuk menjustifikasikan tindakannya. Beliau akan dilihat menyalahgunakan kuasa – untuk membela sesuatu yang tidak lagi boleh dipertahankan.

Apatah lagi apabila apa yang beliau perlu lakukan sekarang hanya membenarkan sahaja proses pencarian kebenaran ini untuk berjalan. Ini adalah pertimbangan yang membuatkan hari-hari menjelang sidang Dewan Rakyat yang akan bermula pada 19 Oktober ini penuh dengan debaran.

Dr Abdul Aziz Bari pernah menjadi pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) selama lebih 22 tahun.

Tiada ulasan: