"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sah Saifuddin Abdullah keluar Umno, sertai PKR

PETALING JAYA: Datuk Saifuddin Abdullah hari ini disahkan meninggalkan Umno dan menyertai PKR.

Perkara tersebut diumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Menurut Wan Azizah, penyertaan Saifuddin akan mengukuhkan lagi rumpun parti tersebut, selain menguatkan perjuangan rakyat di negara ini.

"Krisis politik dan kegawatan ekonomi yang melanda negara hari ini mendorong rakyat dan pemimpin berfikir betapa perlunya mengambil langkah berani dan membuat anjakan dalam pendirian untuk menyertai gerakan yang menerajui perubahan.

"Kecelaruan kepimpinan telah menyebabkan ramai pemimpin Umno dan parti komponen BN hilang kepercayaan kepada kepimpinan kerajaan," katanya ketika sidang media berlangsung pada hari ini.

Saifuddin sebelum ini menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno. Beliau juga merupakan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Menurut Wan Azizah lagi, kehadiran Saifuddin akan memberi kelebihan kepada parti kerana beliau mempunyai jaringan yang kuat dengan NGO.

"Kami berasa gembira mengalukan penyertaan Saifuddin ke dalam keluarga besar kami. Penyertaan beliau sudah tentu akan memperkukuhkan usaha kami untuk menggembleng perpaduan dan kekuatan rakyat demi perubahan dan pembaharuan.

"Saya juga yakin beliau akan dapat memainkan peranan strategik dalam Pakatan Harapan untuk memastikan gabungan baharu ini menumpukan kepada gagasan idea baharu untuk ditawarkan kepada rakyat," katanya lagi.

-sinarharian-

Tiada ulasan: