"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Husam Musa jawab fitnah ke atasnya

Pas kena baiki diri, disiplin kalau nak kuat
Ini adalah bahagian dua sambungan wawancara Sinar Harian bersama Datuk Husam Musa.

Sambungan jawapan kepada soalan: Jadi, sesetengah yang curiga terhadap Datuk, ada bersikap sinis dan negatif terhadap Datuk. Apakah punca yang menyebabkan ia berlaku?

INI saya bukan kata kepada kawan-kawan, boleh dilihat semasa menjadi pengerusi lebuh raya, pihak Korea menjemput saya melawat ke sana, saya tidak melawat mana-mana tempat atas kapasiti saya sebagai pengerusi lebuh raya.

Saya menjadi pengerusi untuk pembinaan stadium baharu, saya tidak melawat mana-mana, saya serah kepada arkitek untuk sediakan reka bentuk. Selepas saya tidak ada, ‘orang ni’ melawat seluruh Eropah, Itali, Sepanyol untuk melihat stadium, berapa habis belanja.

Saya fokus untuk membuat stadium, tetapi orang lain melawat sana sini, kenyataan untuk buat stadium sudah senyap. Mungkin buat tetapi tidak nampak kesungguhan. Jadi saya tidak tahu adakah kami berbeza dari segi cara kerja, cara kerja yang diminta oleh Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) ialah semua Exco kena bekerja penuh dedikasi, amanah dan melakukan sesuatu yang lebih baik daripada musuh kita.

Itu falsafah yang saya dapat daripada Tok Guru Nik Aziz. Saya tidak kata kawan saya yang lain tidak menghayati falsafah sama. Tetapi sepanjang perkhidmatan dalam kerajaan, tidak nampak pula pertembungan dengan saya, di luar mungkin berlaku, saya juga tidak tahu apa sebab.

Semasa berada dalam kerajaan, Datuk ada membuat cadangan dan projek yang didakwa tidak berjaya. Perkara ini menjadi isu yang dimainkan, viral dalam media sosial, contoh projek kambing jamnapari, stadium, kayu gaharu, projek keretapi dan lain-lain?

Yang pertama, adakah saya tidak pernah buat kejayaan. Apabila saya dapat membawa wang tunai dari Felda lebih kurang RM400 juta, kalau dalam syarikat orang itu sudah mendapat penghargaan sebuah kereta. Kemudian, saya berunding dengan Felcra, dapat hampir 20 ribu ekar ladang, yang kerajaan negeri tidak pernah dapat.

Banyak lagi benda-benda lain. Masalah ditinggalkan saya tolong selesaikan, kalau dilihat hari ini pembangunan Bandar Kota Bharu pesat. Alhamdulillah kerana semasa saya menjadi Exco pentadbiran, kami telah siapkan susur atur yang membolehkan pecah sempadan dan kelulusan pembangunan diluluskan dalam tempoh tiga atau empat bulan sahaja.

Sedangkan dahulu tertunggak sampai dua tahun bagi satu kes, kerana itulah Kelantan dan Kota Bharu membangun, mahu buat rumah, bangunan, kedai mendapat kelulusan cepat, sekali gus memberikan hasil kepada Kerajaan Negeri Kelantan.

Merujuk isu kambing jamnapari dan gaharu pula, pertama ia dibangkitkan orang yang merasakan ia adalah senjata untuk merosakkan saya, kerana pernah seorang blogger menulis tentang perkara ini yang kemudian dicetak tanpa nama dan diedarkan.

Sampai kini, jika diperhatikan tulisan tersebut, mereka tidak boleh kata apa yang saya buat salah. Saya ada menyeleweng duit kerajaan? Saya ada curi duit kerajaan? Jawabnya tidak ada, yang salah adalah kerana saya berikan idea dan penternakan bukan di bawah portfolio saya. Saya hanya hanya bentangkan idea dan gagasan bagaimana mahu menggunakan ternakan sebagai satu modal mengurangkan kemiskinan rakyat negeri ini.

Kelantan ini ramai orang miskin, saya mahu tanya balik kerajaan Kelantan, apakah program kemiskinan yang mereka buat kalau kambing jamnapari saya ini tidak berguna? Jangan pandai serang saya sahaja, saya mahu tanya balik, apa yang kerajaan negeri rancang?

Di bawah cadangan masa itu, kita serahkan lima kambing betina sekali dengan kandang. Alhamdulillah, konsultan yang jujur dan dedikasi sampai hari ini dia berkembang. Boleh dilihat di Salor, sampai 40 hingga 50 ekor. Ada yang gagal, tetapi apa pun dalam projek kemasyarakatan, ada peserta yang baik dan tidak.

Saya masih yakin dengan program ini dan saya sedikit pun tidak merasa terkilan mengolah idea ini. Bahkan, melalui Yayasan Darul Hijrah, Insya-ALLAH saya akan lancarkan Skim Wakaf Ternak, saya mahu teruskan program ini. Dalam Islam diharuskan orang mewakafkan ternakan untuk dibela oleh orang miskin. Kami bercadang untuk membuka akaun untuk wakafkan. Gaharu.

Yang saya mulakan gaharu pertamanya di Malaysia, khususnya termasuk Kelantan berjuta-juta pokok tersebut ada di dalam hutan tetapi, kerana ia semula njadi, sifatnya kalau tidak sakit, tidak suntik, ia tidak keluarkan rasin (getah gaharu). Contohnya di Rantau Panjang, ada kilang memproses yang mendapat untung beratus beribu-ribu dan ada juga orang yang pernah menjual anak pokok kepada pimpinan kerajaan pusat dan negeri lain. Dengan sendirinya, ia memperkenalkan gaharu di arena pertanian Malaysia.
Lepas Kelantan perkenalkan Majlis Perhutanan Negara, bincangkan pasal gaharu dan saya hadirinya.

Masing-masing tanya, apa kebaikan gaharu, cara tanam. Sekarang Jabatan Perhutanan sudah anggap ia sebagai satu program, Jabatan Perhutanan Kelantan pun mengikuti kursus gaharu di Thailand. Adakah ia tidak baik, jawabnya baik tetapi ia mengambil masa sehingga tujuh hingga 10 tahun. Jadi, bila saya menjadi Pengerusi PMBK Sawit, saya menerusi mesyuarat lembaga bersetuju, jadi orang perintis industri ini secara komersial, kami peruntukkan kawasan 174 hektar di Belau (Gua Musang) untuk menanam pelbagai jenis spesies gaharu kerana ia dalam percubaan di peringkat komersial. Sekarang beribu-ribu pokok di Belau, sebesar ’paha’, adakah ini bukan satu kejayaan.

Bagaimana kesetiaan Datuk dengan Pas bila sering dikaitkan dengan Amanah?

Memanglah, saya Adun Pas. Orang bukan keliru, sekarang ini orang memfitnah saya sebelum muktamar lagi. Siapa yang fitnah dan apa sikap parti terhadap orang yang memfitnah saya. Apa tindakan terhadap orang yang fitnah saya dan rakan-rakan lain.? Fitnah inilah punca segala-galanya.

Kalau Pas hendak kuat, dia (Pas) kena baiki diri dan disiplin. Balik kepada al-Quran dan Sunnah sebagai mizan (timbangan) mana baik buruknya. Mungkin saya berakhir sebagai orang biasa, saya tidak kisah. Ini mungkin penggal terakhir saya. Saya tidak kisah, kerana saya masuk perjuangan ini bukan kerana mahu menjadi pemimpin. Saya masuk kerana idealisme dan gagasan perjuangan. Siapa sahaja yang membawa gagasan itu saya akan sokong. Siapa yang mengkhianati gagasan itu saya akan tegur, sehingga saya jadi orang biasa dan tidak ada apa-apa.

Adakah Datuk mahu kekal selamanya dengan Pas?

Saya kekal dalam Pas sehingga saya mati.

Apa pendirian Datuk dengan kewujudan parti Amanah?

Bagi saya, Amanah boleh jalan terus. Pendirian saya, di Pantai Barat, Amanah wajib bergerak bagi menampung sokongan masyarakat bukan Islam bagi menyokong perjuangan Islam yang telah diterima sejak PRU 2008.

Bayangan masa depan Pas daripada kaca mata Datuk selepas muktamar baru-baru ini?

Saya Adun biasa, saya hanya Yang Dipertua Pas Kubang Kerian, jadi saya nak pemimpin yang baharu ini buktikan kemampuan mereka. Kalau saya komen lebih, macam saya ini hendak menidakkan kemampuan mereka. Kalau pemimpin sekarang ini yakin boleh mempertahankan, berilah mereka peluang dan masa. Di Kelantan, saya tengok (mereka) berpuas hati. Banyak lawatan ke luar negara dilakukan. Masa pertukaran wang asing tinggi, masih ada ke luar negara. Berdasarkan ini saya yakin mereka berpuas hati, rasa tidak ada masalah. Jadi kalau saya cakap lain tidak ada faedahnya, kerana sikap ini boleh dibetulkan oleh orang itu sendiri..

Serangan dan kritikan yang dibuat terhadap Datuk dibuat dengan pelbagai cara, adakah Datuk boleh menghadapi perkara ini dengan baik?

Saya kata tadi, ini mungkin penggal terakhir. Apa yang saya rayu kepada kerajaan negeri ialah, hutan simpan iaitu pemberian untuk ladang-ladang dihentikan. Kalau itu berjaya, saya sudah puas hati di tahap hidup saya yang terakhir dalam berpolitik. Saya tidak mahu lebih daripada itu, saya nak apa yang saya perjuangkan ini menjadi realiti. Sebagai ahli Pas yang berjuang agak lama, saya nak perkara ini dihayati pemimpin Pas yang ada hari ini. Kedudukan saya tidak mustahak.

Ditakdirkan saya tidak dipilih menjadi calon, saya tidak ada masalah. Saya nak pelaksanaan ini direalisasikan barulah kita rasa bangga dengan perjuangan Islam dan boleh gunakan Kelantan untuk berkembang ke negeri lain. Kalau Kelantan boleh buat lebuh raya sendiri, boleh buat stadium canggih dengan bandar baharu, boleh fikir fasal kereta api laju, boleh hidupkan sunnah dan wakaf, tanaman, hasil di bahagikan dengan adil, dapat pendapat lebih besar, boleh jadi macam Singapura. Singapura tiada hasil tetapi kenapa maju dan kaya, kerana nilai kepimpinan dan pengurusan.

Mungkin ada cerita istimewa yang boleh dikongsi sepanjang bekerja dengan Tok Guru?

Banyak yang istimewa, bila saya tidak dilantik sebagai Exco, bila kami jumpa, kami tidak bincang isu yang lepas tetapi satu perkara yang konsisten dengan beliau ialah nak orang bukan Islam didekati dan diberikan kefahaman Islam dengan cara contoh teladan dengan berkerajaan. Sebagai contoh, Tok Guru panggil saya bawa kad kepada (bekas Perdana Menteri Singapura) Lee Kuan Yew minta saya hantar sendiri ke Singapura. Dalam kad itu Tok Guru tulis “Saudara Lee, saya minta saudara untuk mempelajari Islam.
”Jadi orang bukan Islam tidak perlu dimusuhi atau dijadikan musuh. Dalam politik Malaysia, kalau Pas boleh menunjukkan sikap yang baik dengan menunjukkan keadilan, kemasyarakatan Islam.

Pelbagai kaum boleh satukan dengan kekuatan Islam. Itu perkara yang Tok Guru amat tekankan kepada kami semua dan pada saya khususnya. Beliau nak Pas boleh dinaungi semua masyarakat dengan Islam. Ini yang saya nak semua orang faham. Ini yang terkesan kepada saya.
-sinarharian-

Tiada ulasan: