"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Anak-anak Orang Asli di SK Pos Tohoi diberi layanan buruk oleh guru dan warden punca mereka melarikan diri

Sembunyi dalam hutan kerana takut hukuman sekolah
V Shuman
Penemuan anak-anak Orang Asli yang hilang minggu lalu mencetuskan pelbagai emosi di kalangan rakyat yang mengikuti isu itu.

Semua gembira apabila mendapat tahu dua daripada tujuh yang hilang ditemui masih hidup, namun pada masa sama bersedih dengan kematian yang lain.

Kini butiran tentang punca anak-anak ini lari dan bersembunyi di hutan sejak akhir Ogos lalu mula timbul, dan ia bukanlah sesuatu yang menyenangkan.

Nampaknya, mereka tidak "hilang". Tetapi bersembunyi kerana takut dengan hukuman keras yang bakal dikenakan oleh pengurusan sekolah.

Laman The Malay Mail Online melaporkan dakwaan bahawa pengabaian dan layanan buruk oleh guru dan warden SK Pos Tohoi mempunyai kaitan dengan tindakan mereka.

"Anak perempuan saya beritahu yang mereka semua tidur atas lantai simen di hostel, dan dipaksa memakai uniform kotor untuk ke kelas," kata Ayel Ajib, 48 tahun, seperti dipetik.

Beliau adalah bapa kepada Ika Ayel, yang mayatnya ditemui Jumaat lalu.

"Dia beritahu ada hari mereka hanya belajar dua jam di kelas. Kadang-kadang dalam satu minggu, kelas hanya ada dua hari. Waktu lain mereka dibiarkan membuat kerja sendiri," katanya lagi.

Ibubapa kepada anak yang lain turut menceritakan tentang penderaan fizikal yang dilakukan guru-guru.

Sobrie Latip,yang mayat anaknya ditemui Rabu lalu, berkata, anaknya memberitahu pernah melihat sebahagian pelajar senior yang ditampar, dan ada juga yang disepak seperti bola.

"Kami bergantung sepenuhnya kepada guru kerana tidak terlibat menentukan kegiatan apa yang dianjurkan sekolah. Kami hanya mahu mereka dididik," kata bapa berusia 25 tahun itu.

Ada juga dakwaan yang sekolah tidak menunjukkan keperluan untuk bertindak segera ketika tujuh kanak-kanak tersebut didapati hilang pada 23 Ogos lalu.

Menurut dakwaan, pihak berkuasa menyerahkan tanggungjawab kepada penduduk kampung, dan ada kalanya membiarkan orang tempatan sahaja yang meneruskan pencarian apabila masuk ke kawasan sukar.

Sementara itu, nota yang dimuat naik NGO Centre of Orang Asli Concerns (COAC) di laman Facebook mereka menyatakan bahawa anak-anak tersebut tahu lokasi mereka dan jalan untuk pulang ke sekolah, namun takut untuk berbuat demikian.

"Kawasan kanak-kanak ini ditemui adalah kira-kira 3km dari sekolah, atau kira-kira 2km daripada jambatan dan jalan pembalakan utama yang digunakan ramai orang. Ia bukan jarak perjalanan yang mustahil untuk kanak-kanak, walaupun dengan muka bumi (yang mencabar).

"Ketika dua kanak-kanak dilihat anggota penyelamat pada Jumaat lalu, reaksi awal mereka adalah untuk lari dan sembunyi. Ini bukan reaksi yang ditunjukkan oleh orang yang sesat selama 47 hari dan ingin diselamatkan," katanya.

Menurut seorang kanak-kanak yang berjaya diselamatkan, mereka semua masih hidup pada dua minggu pertama. Mereka hidup dengan air yang ada dan buah dan sayuran hutan yang terhad, dan berlindung di akar sebuah pokok yang cukup besar untuk memuatkan mereka semua.

Mereka juga merancang untuk pulang ke sekolah, namun takut hukuman yang bakal diterima. Keadaan fizikal yang lemah juga menghalang mereka. Tidak lama kemudian, ada yang tewas akibat kebuluran, dan sekurang-kurangnya tiga lagi dihanyutkan sungai ketika mereka mengambil air atau tidur terlalu dekat dengan tebing.

Nota itu juga memaklumkan usaha pencarian juga tertumpu di kawasan-kawasan selain hulu sungai - tempat persembunyian mereka. Penduduk kampung, termasuk ibubapa kanak-kanak itu, dihalang untuk mencari di sana. Ini kerana hanya anggota pencarian dan penyelamat yang sah dibenarkan masuk ke kawasan itu. Maklumat ini disampaikan ibubapa kanak-kanak tersebut kepada COAC.

Ini sangat memualkan.

Bayangkan ketakutan yang dihadapi kanak-kanak itu, sehingga sanggup bersembunyi di dalam hutan berbanding pulang ke sekolah.

Mereka tiada makanan dan tempat perlindungan yang sepatutnya dan terdedah dengan bermacam bahaya. Namun mereka sanggup menghadapinya berbanding layanan teruk yang bakal diterima jika pulang ke sekolah.

Adakah nyawa Orang Asli kurang bernilai?

Adakah Kementerian Pendidikan akan mengambil berat episod memalukan ini dan memberikan hukuman yang setimpal kepada sekolah, atau akan menutup sebelah mata?
-antdaily-

1 ulasan:

Matzin1963@gmail.com Matzin1963@gmail.com berkata...

GURU dan woden asrama perlu terlebih dahulu diberi kauselin. Kalau benar apa yang didakwa, maka ia sangat malang bagi sebuah negara bernama Malaysia.