"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Siapakah wira PKR? Che Gu Bard atau Kamaruddin Jaafar?

Abdul Rahman Malik
Benarkah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah membelakangkan ketetapan partinya sendiri dengan mengumumkan penubuhan Pakatan Harapan 21 September lalu hingga menyisihkan PAS?
Isu keterlibatan Ketua Pembangkang itu dalam usaha meminggirkan PAS dari pakatan politik baru yang dibuat bersama DAP dan Amanah itu kini 'memaksa' mesyuarat khas PKR diadakan 11 Oktober untuk menyelesaikan kemelut ini.

Ketergesaannya itu mengundang 'teguran' serius daripada kalangan pemimpin-pemimpin PKR lain yang menganggap 'keterlanjuran' Wan Azizah itu meninggalkan kesan yang agak besar pada lanskap politik Malaysia.

Sehari selepas beliau membuat pengumuman itu, 25 ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR dipercayai menandatangani petisyen menuntut mesyuarat khas diadakan bagi menangani tandatanya politik yang membabitkan penubuhan Pakatan Harapan.

Banyak pihak membaca pengumuman Wan Azizah itu meminggirkan PAS dari Pakatan baru tanpa memberi ruang dan peluang pada PAS memikirkan kemungkinan menukar fikiran untuk mahu menyertai pakatan baru itu.

Ketergesaan Wan Azizah itu sekaligus membayangkan betapa beliau sebenarnya lebih cenderung ;mewakili hasrat dan kepentingan DAP dan Amanah' yang jelas keberatan menerima kehadiran PAS dalam pakatan berkenaan.

Petisyen bertarikh 22 September itu menyifatkan pengumuman pembentukan Pakatan Harapan itu sebenarnya melanggari ketetapan yang telah dibuat oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR sendiri yang dibuat dua hari sebelum itu.

Petisyen ditandatangai 25 ahli MPP bagi menyangkal tindakan Wan Azizah

Pada 20 September, MPP menyokong usaha presiden meneruskan perbincangan dengan semua pihak untuk menubuhkan sebuah pakatan politik baru dengan menganjur dan memimpin perbincangan meja bulat pada 21 September.

Pihak yang mengemukakan petisyen itu mendakwa MPP memutuskan dengan jelas bahawa tidak ada sebarang pengumuman akan dibuat selepas sidang meja bulat itu.

Sidang itu yang sebenarnya bertujuan mencetuskan perbincangan lanjut dengan PAS dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) lain.

Berikutan petisyen itu Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mengeluarkan pekeliling memanggil mesyuarat khas pada 11 Oktober membabitkan ahli MPP, biro politik dan wakil-wakil rakyat PKR peringkat negeri dan parlimen.

Adalah difahamkan bahawa pihak yang menggerakkan kempen tandatangan untuk petisyen berkenaan adalah penyokong-penyokong Timbalan Presiden, Azmin Ali yang berasa PAS tidak wajar dipinggirkan daripada pakatan baru yang hendak ditubuhkan.

Sungguhpun demikian, penyokong-penyokong Wan Azizah segera memberikan reaksi bahawa tuntutan pihak yang mengemukakan petisyen itu adalah kurang wajar kerana dalam mesyuarat 20 September itu, presiden telah pun memohon mandat MPP untuk mengambil semua langkah perlu mengendalikan perbincangan meja bulat itu.

Oleh kerana MPP dikatakan bersetuju meluluskan permohonan Wan Azizah itu, maka penyokong-penyokong tegar penubuhan Pakatan Harapan tanpa PAS itu mendakwa, ia bukanlah isu besar yang mewajarkan mesyuarat khas diadakan.

Tambahan pula, kumpulan ini menganggap PAS sudah muktamad enggan bersekutu dengan DAP dan Amanah maka sebarang usaha memujuk PAS hanyalah ibarat 'mencurahkan air di daun keladi' sahaja.

PKR hanya bermuka-muka?

Namun apa yang lebih dikhuatiri oleh kumpulan yang mengemukakan petisyen ini ialah cakap-cakap politik bahawa PKR hanya 'bermuka-muka' bersikap terbuka dalam isu ini tetapi ia sebenarnya memang tidak mahu PAS bersama.

Ramai penganalisis dan ahli PAS sendiri menganggap bahawa PKR sendiri adalah dalang yang mengatur konspirasi untuk menyisihkan PAS dari pakatan politik baru yang hendak ditubuhkan itu.

Tindakan Wan Azizah mengumumkan kelahiran Pakatan Harapan pada 21 September lalu dibaca oleh kumpulan ini sebagai tanda pintu rundingan dengan PAS sudah ditutup serapat-rapatnya.

Persoalannya kini ialah, mungkinkah Wan Azizah terlalu teruja dengan kesediaan DAP dan Amanah menyokong Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri jika Umno-BN dapat ditumbangkan, mendorong beliau mahu pembentukan pakatan politik baru itu disegerakan?

Namun keadaan bertambah rumit apabila kelana politik PKR, Badrolhisham Shahrin atau Chegu Bard membuat dakwaan bahawa tuntutan mesyuarat khas pada 11 Oktober ini adalah satu konspirasi menjatuhkan presiden PKR pula.

Tanpa berlapik beliau menuduh bahawa yang menggerakkan strategi jahat itu ialah penyokong-penyokong Timbalan Presiden, Azmin Ali. Kenyataan Che Gu Bard itu mencetuskan ketegangan dalam PKR.

Azmin tidak berdiam diri. Beliau menyerang balas dengan menuduh Che Bard ditaja oleh pihak tertentu untuk memecahbelahkan pimpinan PKR. Bagaimanapun Che Gu Bard membalas cabaran jika benar demikian, mengapa Azmin tidak mendedahkan siapakah penajanya.

Bagi yang mengenali Che Gu Bard tentu faham 'kedegilannya' dalam politik. Beliau berani melemparkan cabaran tidak kira terhadap siapapun. Lazimnya beliau bertindak sendirian.

Namun yang menjadi persoalan, apakah untungnya beliau mengaitkan 'niat jahat' Azmin dengan mesyuarat khas Ahad ini?

Mungkinkah Che Gu Bard mahu menyelamatkan PKR dan bantrakan?Jika presiden, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail 'dibicarakan' kerana 'berniat jahat' terhadap PAS, maruah dan wibawanya akan luntur.

Mungkinkah kerana bimbang presiden akan tersungkur, Che Gu Bard berusaha mengalih perhatian mesyuarat daripada 'konspirasi' terhadap PAS kepada konspirasi terhadap presiden PKR.

Adakah pendedahan Azmin bahawa Che Gu Bard ditaja bermakna presiden sendiri mahu isu 'mengkhianati' PAS tidak ditimbulkan dan sekaligus membuka mata ahli bahawa ada pihak dalam PKR mahu 'menggulingkannya'?

Bagaimanapun PKR masih ada harapan mencari jalan keluar daripada polemik ini. Di sini kebijaksanaan dan kepimpinan bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar, yang berhijrah ke PKR akan teruji.

Beliau dilantik sebagai penasihat di pejabat Ketua Umum. Tugas hakikinya ialah menasihati presiden dan timbalan presiden. Kematangannya ditagih untuk menyelamatkan PKR dari bantrakan. Biarlah Che Gu Bard dengan ikhtiarnya.

Angkatan Muda Keadilan Selangor usahlah gopoh menuntut supaya Che Gu Bard dipecat daripada parti. Mungkin mereka belum faham erti wira atau pemecah belah parti sebenarnya.
-ANTARAPOST-

Tiada ulasan: