"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apabila Ibrahim Abu Shah tidak lebih bagai ketua cawangan Umno ...

Ahmad Lutfi Othman

SELALUNYA hari Rabu agak lapang buat saya dan rakan-rakan editorialHarakah. Tiada deadline pada hari itu. Kesempatan untuk melepaskan lelah seketika. Juga memanfatkan waktu luang untuk mencari informasi secara lebih santai. Walaupun masih bercuti sehingga akhir Ramadan nanti, saya cuba hadir ke pejabat, agar tidak terputus denganperkembangan semasa, juga mengatur perencanaan lobi Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) bagi memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984.

Kaki saya masih lemah. Terpaksa mengajak sahabat baik menemani. Agak lama tidak menjengah kedai buku. Di waktu ilmu dan maklumat "bertebaran" di alam maya, atau semudah di hujung jari, saya masih selesa dengan buku.

Dan buku bagi saya tidak dapat menggantikan internet. Ia lebih asyik dan mengesankan.

KURANG MESRA

Membaca di hadapan komputer mungkin baik untuk menangkap info terkini, lintasan berita tetapi saya masih kurang mesra untuk mengunyah dan menghadam ilmu melalui cara itu. Banyak bahan internet agak tohor nilai ilmunya; penggarapannya seperti tergesa-gesa.

Antara lokasi popular saya adalah Koperasi Kedai Buku Universiti Malaya. Tengah hari Rabu lalu saya berhasrat untuk singgah di situ. Kampus tertua di Lembah Pantai itu rupanya sesak. Patutlah, ada pesta konvokesyen (bukan pesta ilmu!).

Parkir berdekatan kedai buku penuh dengan gerai-gerai jualan. Saya tidak boleh berjalan jauh, walaupun dibantu tongkat hadiah teman lama sekampus dulu, sama-sama aktif gerakan pelajar Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Semarak. Hasrat untuk "menggelidah"kedai buku UM terbantut. Tak terlarat nak mengheret kaki di celah-celah keriuhan.

Semasa melewati Dewan Tunku Canselor (DTC) yang sesak dengan siswazah dan keluarga yang mahu bergambar kenangan, teringat peristiwa lebih 20 tahun lalu.

Malam itu, DTC menjadi saksi himpunan tunjuk perasaan mahasiswa membantah konsert Sheila Majid, juga sewaktu pesta konvo. September 1989, saya hadir selepas solat Isya sebagai wartawan yang baru berkhidmat dengan Harakah. Saya memang diamanahkan untuk mengendalikan kolum siswa.

Mungkin kepada editor Harakah, Zin Mahmud, pengalaman sayasebagai Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (PMUTM) 1985-86 boleh membantu.

BUKAN TENTANG KONSERT

Zahirnya isu penentangan pelajar adalah konsert. Namun asas bantahan bukan sangat kepada persembahan Sheila Majid tetapi lebih kepada sikap hipokrasi universiti dalam menangani penganjuran aktiviti kampus.

Kegiatan yang menyuburkan daya intelektualisme dan budaya ilmu, seperti seminar, konvensyen dan forum-forum isu semasa dilarang atau sekurang-kurangnya menghadapi laluan sukar untuk diluluskan urusetia Hal Ehwal Pelajar (HEP).

Penceramah atau penalis parti pembangkang seperti diharamkan terus. Sebaliknya, aktiviti hiburan seperti konsert begitu mudah dilepaskan. Tidak banyak soal jawab.

Saya kira aktivis pelajar Islam juga mendambakan aktiviti santai yang menghiburkan jika dilaksanakan dalam batas akhlak luhur.

Dalam kes protes konsert itu, mesej yang mahu diluahkan kepada dunia luar adalah mengapa pentadbiran HEP tiba-tiba menjadi begitu tertutup apabila diajukan permohonan program yang dikira dapat menyegarkan idealisme universiti itu sendiri.

Sebaliknya, minda masyarakat diasak dengan tohmahan oleh tukang canang pihak penguasa bahawa Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) hanya sibuk-ghairah bantah konsert hiburan - lalu dilabelkan mereka jumud, fanatik, berfikiran tertutup dan antihiburan.

DEMONSTRASI YANG MENGEJUTKAN

Protes yang didahului solat hajat di perkarangan DTC itu memang mengejutkan. Dikepung puluhan anggota Unit Tindakan Ringan polis sambil diperhatikan pasukan keselamatan universiti, demonstran -- majoritinya mahasiswi -- tidak berganjak walaupun diberi amaran awal bahawa mereka akan digempur jika tidak bersurai.

Saya sendiri agak kaget dengan keberanian mereka. Pelajar hanya bersedia berkompromi jika konsert yang sedang berlangsung dalam DTC ditamatkan. Satu syarat yang cukup mencabar keegoan pentadbiran universiti.

Baca selanjutnya di sini

Tiada ulasan: