"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa Salahnya Bunyi Masjid Lantang?

Kadir Jasin

SETELAH dua minggu tidak menunaikan Jumaat di Masjid Negara kerana berada di luar negara, saya semalam dalam suka dan duka kembali ke rumah ibadat yang ikonik itu.

Saya gembira kerana Iman begitu “
commanding” mengimamkan solat. Pembacaan jelas, lancar dan kuat. Bukan apa, sekarang ini banyak cakap-cakap bahawa ada orang bukan Islam tidak senang hati dengan bunyi masjid dan surau yang kuat.

Malah ada orang Islam yang terikut-ikut. Tak tahulah orang lain, tetapi bagi saya, lagi kuat dan lancar suara Iman (melalui pembesar suara) lagi mudah saya mengikut dan menumpukan sepenuh perhatian.

Lagipun, adakah orang Kristian di Switzerland, misalnya, berasa bersalah dan orang bukan Kristian berasa marah apabila loceng gereja berbunyi lantang setiap 15 minit?

Sebaliknya, negara majoriti Kristian itu baru saja mengundi mengharamkan pembinaan menara (
minaret) masjid atas alasan menara menjadi simbol “Islamisasi”.

Tetapi kita nak kata apa? Itu negara mereka – sebuah negara yang majoriti rakyatnya beragama Kristian. Samalah dengan orang Amerika yang menentang pembinaan Pusat Islam New York kononnya terlalu dekat dengan tapak World Trade Centre.

Jadi mengapa kita, sebuah negara yang agama rasminya Islam dan majoriti rakyatnya Islam, harus mempersoalkan kelantangan azan, khutbah dan solat di masjid dan surau?

Lagipun, pembeli rumah di kawasan-kawasan perumahan tahu di mana terletaknya masjid – sama ada yang sudah dibina atau dirancang kerana ada dalam pelan induk. Kalau tidak suka bunyi masjid, jangan beli rumah berhampiran dengannya.

Berbalik kepada Masjid Negara, saya terkilan sikit (sikit) dan tertanya-tanya kenapa kerja-kerja pemulihan dan pengubahsuaian perlu dijalankan atau diteruskan pada bulan Ramadan, sehingga mencacatkan keindahan masjid dan keselesaan beribadat?

Adakah semata-mata untuk menyambut Hari Raya Puasa yang ibadat sembahyangnya hanyalah sunat atau akibat perancangan yang tidak mempedulikan keagungan masjid dan keselesaan jemaah?

Saya tidak mahu ulas khutbah yang disampaikan oleh khatib, kecuali menyebut mengenai doa khutbah yang “terlebih” panjang dan (maaf cakap) “kureng” lancar. Bukan apa, saya selalu berasa kalau nak berdoa biar lancar. Lebih baik doa yang pendek tetapi lancar daripada doa panjang yang tersangkut-sangkut.

Namun saya ucap terima kasih kepada semua pihak terbabit yang berniat baik melakukan pemulihan dan pengubahsuaian Masjid Negara. Yang saya persoalkan hanyalah ketepatan masa (
timing).

Bukan pihak berkuasa masjid tak tahu yang lebih ramai orang datang mengerjakan solat Jumaat pada bulan Ramadan sebab tak boleh makan tengah hari.

Dan apakah salahnya kita mempromosikan Dinar Islam kalau sistem itu berdaya maju dan berpotensi mengatasi masalah sistem matawang konvensional yang kini terdedah kepada spekulasi dan manipulasi oleh pasaran bebas ciptaan Barat?

Apa-apa pun, saya sekali lagi ucapkan selamat berpuasa kepada pembahas dan pembaca.

http://kadirjasin.blogspot.com/

Tiada ulasan: