PUTRAJAYA OGOS 11 10: Seorang ibu tergamak ‘berkongsi dosa’ dengan anak lelaki kesayangannya apabila membiarkan pemuda itu bersekedudukan dengan teman wanita di rumahnya lebih tiga tahun sehingga menghasilkan empat zuriat haram.
Perbuatan pasangan berusia awal 20an itu terbongkar selepas penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang mendapat maklumat mengenai salah laku mereka menyerbu sebuah rumah di Serdang, dekat sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shahrom Maarop, berkata pasangan terbabit dipercayai bersekedudukan sejak lebih tiga tahun lalu sehingga memperoleh empat anak hasil zina yang berusia tiga, dua, setahun serta paling bongsu tiga bulan.
“Penduduk di kawasan itu tertipu dengan perbuatan pasangan terbabit yang dipercayai menggunakan rumah ibu mereka untuk tinggal secara haram sehingga melahirkan anak luar nikah.
“Kebanyakan penduduk menyangka pasangan terbabit sudah bernikah dan mengadakan majlis perkahwinan di tempat lain,” katanya.
Shahrom berkata, dia terkejut dan hairan dengan sikap ibu lelaki terbabit yang langsung tidak mempedulikan dosa dilakukan anak di rumahnya. Menurutnya, ibu terbabit boleh dianggap bersekongkol dengan anaknya bagi mengelak kegiatan tidak bermoral terbongkar.
“Saya percaya sikap ibu yang tidak kisah dan sayangkan anaknya itu secara berlebihan mendorong dia membenarkan anaknya bersekedudukan sehingga beberapa tahun,” katanya.
Beliau berkata, siasatan juga mendapati lelaki terbabit bekerja manakala ‘isteri tidak halal’ itu menjadi suri rumah sepenuh masa di rumah ibu mentuanya. Menurut Shahrom, semua cahaya mata pasangan terbabit tidak memiliki sijil lahir dan beliau diberitahu, semua anak itu disambut ‘bidan misteri’ di kawasan berkenaan tanpa merujuk klinik atau hospital berhampiran.
“Mereka berbuat demikian untuk mengelak salah laku mereka diketahui pihak berkuasa. Perbuatan pasangan terbabit boleh menimbulkan masalah kepada anak mereka yang sudah pasti sukar untuk memasuki alam persekolahan kerana tiada sijil lahir yang sah,” katanya.
Shahrom berkata, pihaknya menahan pasangan terbabit dan membawa mereka ke pejabat Jais di Shah Alam untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan Jais. Menurutnya, pasangan terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 25, Enakmen Jenayah Syariah Selangor kerana melakukan persetubuhan haram dan Seksyen 29 akta sama kerana melakukan khalwat.
“Kami juga akan memanggil ibu dan bapa pasangan wanita terbabit bagi mengenal pasti punca kegiatan itu berlaku,” katanya.
Komen Blog Ibnu Hasyim: Kalau berkahwin di bawah umur walaupun sudah 'baligh', cepat-cepat menteri hal ehwal wanita Shahrizat Jalil campur tangan. Kes zina ini, mengapa diam? Tak dengar pun tindakan yang akan diambil?
Lagi kerana UMNO & BN, tidak mahu melaksanakan Islam keseluruhannya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Fasal 3, Islam sebagai agama bagi persekutuan. Kalau tidak mahu zina berleluasa, banyak anak haram dibuang dalam tong-tong sampah, sila tolak BN dalam PRU 13 akan datang.
Jangan sampai bila anak-anak haram itu besar, dia lihat perlembagaan Persekutuan (Malaysia), dia berkata, "Itu bukan salah aku jadi anak haram, salah pemimpin negara yang tidak mahu laksanakan Islam seperti yang termaktup dalam perlembagaan. Tapi yang lebih bersalah lagi ialah ibupada aku yang menaikkan mereka, dengan mengundi BN!" (2MA)Dipetik dari ibnu hasyim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan