"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Speaker Haram' Perak, seorang peguam yang tidak tahu undang-undang?

WAN NORDIN WAN YAACOB

Tindakan 'Speaker Haram' Dewan Undangan Negeri Perak, Dato' R Ganesan yang menggantung Ketua Pembangkang, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin membayangkan peguam itu seolah-olah tifak tahu undang-undang.

Demikian telahan Ahli Dewan Undangan Negeri Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim Abdullah yang turut menyatakan tindakan Ganesan itu membuatnya tidak layak langsung menduduki kerusi mulia Speaker DUN seolah-olah beliau tidak belajar undang-undang walaupun seorang peguam.

"Tindakan Ganesan yang menurut apa sahaja kemahuan ADUN Umno-BN menunjukkan beliau sebenarnya dilantik sebagai pengerusi dan bukan Speaker Dewan.

Bagi Khalil Idham, Ganeson sepatutnya menghadapkan Nizar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan bukannya secara melulu mengenakan tindakan terhadap Adun Pasir Panjang itu yang menjadi Ketua Pembangkang.

Katanya, jika seseorang Adun bangun dan mengemukakan usul terhadap Nizar, Speaker sepatutnya membawa hal itu ke jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk dibincangkan.

Khalil Idham menganggap Ganesan sebenarnya gagal melaksanakan tugasnya sebagai Speaker dengan bertindak di luar bidang kuasanya tanpa merujuk kepada sesiapa.

Ganesan seolah-olah tidak faham apa yang dikatakan Peraturan Tetap Mesyuarat menyebabkan beliau dengan sesuka hati melanggar peraturan tersebut, ujar Khalil lagi.

Tindakan Ganesan itu mencerminkan perbezaan ketara dalam amalan demokrasi semasa Pakatan Rakyat memerintah apabila Speaker, V Sivakumar pernah menggantung Adun dan Exco Umno/BN hanya selepas merujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan sebelum membuat sebarang keputusan, katanya.

Lebih mendukacitakan, ujar Khalil Idham, selaku Ketua Pembangkang Nizar hanya diperuntukan 15 minit untuk membahaskan Rang Undang-undang mengenai perbekalan tambahan RM80 juta.

Malah paling menyedihkan setelah tamat tempoh tersebut, Ganesan bertindak mematikan pembesar suara Nizar menyebabkan beliau terpaksa berucap dalam nada yang kuat, katanya.

Sementara itu, persidangan yang berlangsung 3 Ogos lalu hanya berjaya mengemuka 7 daripada 127 soalan yang telah dihantar kepada Ganesan.

Nizar pula digantung daripada persidangan Dewan selepas didakwa mengengkari arahan Ganesan supaya duduk.

Selepas pertikaman lidah kira-kira 30 minit, Nizar dan Adun Pakatan Rakyat yang lain mengambil keputusan meninggalkan Dewan.

Tiada ulasan: