"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Demokrasi dalam politik

Zaid Ibrahim

Saya tidak faham mengapa parti-parti politik takut sangat dengan kaedah kempen yang dilaksanakan oleh calon-calon semasa pemilihan parti. Umno, sebagai contoh, mempunyai kod etika yang perlu dipatuhi semasa berkempen. Antaranya adalah larangan penganjuran jamuan makan, larangan pengamalan politik wang, malah aktiviti-aktiviti melobi dan berkempen juga dilarang.

Umno berasa bangga kononnya mereka mengamalkan demokrasi, dan kononnnya sesiapa sahaja boleh berkempen. Tapi apakah erti pertandingan dan bertanding kalau dilarang berkempen sama sekali?

Bekas Naib Presiden Umno Tan Sri Isa Samad dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin didapati melanggar kod-kod etika ini dan pernah dikenakan tindakan disiplin atau diberi amaran, sedangkan setiap pemimpin Umno yang ada sekarang pun melakukan kesalahan yang sama. Malah saya tahu ramai pemimpin tertinggi Umno sekarang yang lebih bersalah dari Khairy dan Isa. Tetapi bezanya, pemimpin-pemimpin ini dianggap sebagai kebal.

Sebab itu saya tidak mahu Parti Keadilan Rakyat menjadi parti hipokrit seperti Umno. Telah keluar kenyataan bahawa kod etika PKR sekarang melarang calon mengkritik pemimpin lain dan melarang penggunaan wang ala politik wang. Malah, penganjuran rumah terbuka Hari Raya juga akan diteliti — ini antara kod etika yang paling mirip dengan Umno.

Agaknya, adalah diandaikan bahawa penganjuran “open house” yang terlalu mewah boleh mempengaruhi pemilihan pemimpin parti nanti. Alangkah malunya kalaulah ahli-ahli PKR, sebuah parti yang berteraskan perjuangan, boleh di pengaruhi oleh makan dan minum!

Kod etika boleh digunakan, tapi biarlah munasabah dan dilaksanakan tanpa pilih kasih. Politik wang itu rasuah, dan rasuah sudah pun satu kesalahan dibawah undang-undang negara. Apa rasionalnya menjadikannya kesalahan kod etika?

Jika seorang pemimpin membuat tuduhan melulu yang tidak berasas, tindakan mahkamah boleh diambil. Dan kalaulah pemimpin tertentu tidak boleh dikritik, bagaimanakah caranya untuk parti diperbaiki dan terus ditingkatkan kepada tahap yang lebih baik? Bagaimana parti boleh diperbaiki dan dipertingkatkan lagi tahap mutunya jika pemimpin tertentu tidak boleh dikritik?

Kalau pengalaman parti lain boleh dijadikan bukti, masalah kod etika parti lazimnya berada di dalam tafsiran dan aplikasinya yang ditentukan oleh mereka yang rapat dengan pucuk pimpinan dan belum tentu telus dan adil kapada semua.

Saya tidak akan menjadi calon untuk apa-apa jawatan di pemilihan parti Keadilan. Jadi saya bolehlah menyediakan rumah terbuka yang besar ataupun kecil, ikut sesuka hati saya. Saya boleh mengkritik pemimpin parti yang lemah dan berkempen menolong calon-calon yang boleh menyumbang kepada parti. Saya sebagai orang tua ingin melihat orang-orang muda yang berkebolehan dan jujur memainkan peranan besar dalam parti. Saya akan berkempen bagi pihak mereka. Saya harap tak ada kod etika untuk peranan sebagai “campaign manager” ini.

Saya masih tidak lupa bagaimana Umno menggantung keahlian saya dan menggugurkan saya sebagai calon kerana tuduhan politik wang, walaupun saya menang jawatan Ketua Bahagian pada tahun 2003; dan menang dalam pilihanraya 2004. Itu semua politik kotor yang direka oleh mereka yang inginkan jawatan saya. Dan walaupun saya meminta SPRM menyiasat kes terhadap saya pada tahun 2008, mereka enggan kerana kalau saya didapati tidak bersalah, itu bererti Umno bersalah… dan Umno mana boleh buat salah…?

Saya harap parti Keadilan tidak akan seperti Umno dengan menggunakan kod etika dan sebagainya untuk menghindar tanjakan seseorang pemimpin. Biarlah kami praktikkan cara demokratik dan menghormati kehendak ahli. Biarlah ahli-ahli memilih dengan bebas tanpa kawalan terlalu ketat, dan tidak perlulah kami sediakan “lineup” atau orang-orang tertentu yang diminati untuk diberi keutamaan. Kami perlulah percaya bahawa ahli-ahli yang berada di peringkat awal keahlian juga boleh memberi sumbangan dalam membincangkan apa yang diperlukan oleh parti.

www.zaiduntukrakyat.com

Tiada ulasan: