"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tee Boon Hock dipecat ahli majlis MPK

Harakahdaily
SHAH ALAM, 11 Ogos:
Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk memecat bekas pegawai khas Exco kerajaan negeri, Tee Boon Hock sebagai Ahli Majlis Majlis Perbandaran Klang (MPK) berkuatkuasa 6 Ogos lalu.

Keputusan tersebut telah diambil setelah Kerajaan Negeri berpuas hati dengan hasil siasatan yang mendapati Encik Tee ada melakukan perbuatan yang menyalahi etika dalam pengeluaran surat sokongan untuk mendapatkan peluang perniagaan.

Dato’ Menteri Besar telah memaklumkan keputusan ini kepada Yang DiPertua MPK yang telah pun membuat tindakan yang sewajarnya.

Bagaimanapun, Kerajaan Selangor menyerahkan kepada pihak polis sekiranya terdapat unsur-unsur jenayah dalam kes ini.

Demikian kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Media Pejabat MB Selangor hari ini.

"Sekali lagi, Kerajaan Negeri menyeru kepada semua Ahli Majlis supaya tidak menyalah guna kuasa yang diamanahkan untuk kepentingan peribadi dan keluarga dan mengingatkan mereka supaya mengelak daripada mengeluarkan surat sokongan bagi tujuan perniagaan," kata kenyataan itu.

Sebagai negeri yang mengutamakan ketelusan dan kebertanggungjawaban Kerajaan Selangor tidak akan bertolak ansur dengan amalan rasuah di semua peringkat, katanya.

"Kerajaan Pakatan Rakyat komited untuk membawa pembaharuan terhadap pentadbiran di Selangor supaya lebih bersih dan bebas dari amalan rasuah serta salah guna kuasa," tambah kenyataan itu.

Tiada ulasan: