"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Trend terbaru kerajaan musnah bangunan warisan?

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 22 Jun:
Cadangan pemindahan dan pemusnahan bangunan yang dianggap warisan negara seperti Istana Negara, Parlimen dan terbaru perobohan Penjara Pudu dilihat sebagai trend terbaru kerajaan pimpinan Umno Barisan Nasional.

Di saat semuanya masih selesa dan berfungsi dengan sempurna, tindakan tersebut mengundang persoalan sama ada ianya satu keperluan, atau ada agenda lain.

"Saya melihat satu trend daripada kerajaan melenyapkan bangunan warisan di negara kita.

"Penjara Pudu contohnya, kenapa tidak dikekalkan sekurang-kurangnya pintu gerbang," kata Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo’ Ghazali ketika ditemui di parlimen hari ini.

Biarpun Penjara Pudu dianggap sejarah hitam, tetapi yang hitam juga, katanya perlu dikekalkan.

"Sama juga isu bangunan parlimen baru, apa nak dibuat dengan parlimen ini, kita selesa di sini, kenapa perlu di ubah," katanya.

Bagi Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar pula, trend tersebut mungkin berpunca daripada sikap pemimpin yang mahu mengejar keuntungan.

Dengan pembinaan baru, kos tender katanya sengaja diperbesarkan untuk mereka yang terlibat khususnya pemegang keputusan termasuk ahli politik.

"Seperti yang dinyatakan Tengku Razaleigh baru-baru ini, tahap politik wang di negara ini terus meningkat, kos dan nilai tender sengaja dibesarkan dari kos sebenar untuk keuntungan pemimpin politik yang terlibat," katanya.

Malam tadi, bangunan penjara Pudu yang terletak di tengah kotaraya dimusnahkan termasuk tembok muralnya yang selama ini menjadi kebanggaan dan ikutan pelbagai pihak dalam menghias dinding dan tembok.

Lebih 100 berhimpun sambil mengambil gambar terakhir tembok itu di samping bingitan bunyi hon kereta yang membantah perobohan artifak penting negara itu.

Sebelum ini, kerajaan membuat keputusan menutup lapangan terbang TUDM Sungai Besi untuk memberi laluan kepada pembangunan sedang ia dibantah oleh para perwira negara.

Kerajaan juga sedang berusaha untuk mencari tempat baru untuk menempatkan bangunan Parlimen bagi membolehkan tapaknya yang ada sekarang dibangunkan dengan projek komersial.

1 ulasan:

ghostWRITER berkata...

Penjara Pudu atau dahulunya dikenali sebagai Pudu Goal terletak di Jalan Hang Tuah mula dibina pada 1891 di atas tanah seluas 10 hektar. Pembinaan penjara tersebut dibuat secara berperingkatdan siap sepenuhnya pada 1895.

Tembok penjara yang dibina daripada batu bata yang dilepa dengan simen dan diimport dari negara penjajah Britain, mula dibina pada Februari 1891 dan siap pada Ogos 1892. Kos bagi pembinaan tembok ini sahaja bernilai RM15,360.90 (harga pada tahun 1800an).

Namum begitu, kedudukannya di dalam kawasan segitiga emas Bukit Bintang yang pesat membangun dengan bangunan pencakar langit dan kesesakan arus lalulintas terutamanya di Jalan Pudu menyebabkan bangunan penjara ini tidak lagi dapat dipertahankan dan terpaksa akur pada arus pembangunan.