"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hisham arah polis rahsiakan maklumat keganasan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) memastikan sebarang maklumat yang berkaitan keganasan seperti kumpulan Jemaah Islamiah (JI) tidak diketahui umum bagi mengelakkan ia dieksploitasi dan faktor keselamatan.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kiri, berbaju putih), berkata pasukan khas berkaitan isu keganasan dalam proses memberikan taklimat tertutup kepada naib canselor dan pensyarah universiti dan beliau telah meminta Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan supaya berhati-hati bagi memastikan maklumat itu tidak bocor.

Katanya jika maklumat itu bocor ada pihak akan membuat tuduhan yang tidak berasas selain ia turut membahayakan nyawa anggota polis yang terlibat dalam tindakan itu.

"Kita tidak mahu hanya kerana kita mahu telus berlaku perkara yang tidak diingini. Selepas itu ada pula pihak yang mengeksploitasi keadaan sehingga menjejaskan keselamatan.

"Sebagai contoh, ada pihak yang kata polis kaitkan Wahabi dengan pengganas, ini tuduhan tidak berasas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu di Kulim hari ini.

Baru-baru ini, Musa mendedahkan bahawa sejak awal tahun ini PDRM telah menahan 10 anggota JI yang cuba menghidupkan kembali perjuangan mereka dengan merekrut pelajar universiti dan remaja tempatan.

Musa berkata semua mereka yang ditahan adalah kumpulan yang berasingan, yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) awal tahun ini kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas antarabangsa.

Hishammuddin berkata tugas polis hanyalah untuk membendung keganasan dan mereka tidak campur adukkan pengganas dengan ideologi sama ada agama atau politik.

"Isunya adalah keganasan...kita tak kira agama, politik, latar belakang dan warna kulit. Kita bukan hanya buru JI yang ada kaitan dengan orang beragama Islam tetapi turut buru militan yang melibatkan agama-agama lain," katanya.

-Bernama-

Tiada ulasan: