"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tidak semua maklumat berkaitan Dr Asri benar

Dr Yusri Mohamad
Hari ini heboh kononnya Dr Mohd Asri Zainal Abidin akan masuk Umno Jumaat ini (esok) bersama 100 orang ulama termasuk yang berkelulusan Phd. Berita Harian memetik kata-kata Setiausaha Kerja Umno dan Ketua Umno Bahagian Bukit Bintang sebagai berkata bahawa kemasukan Dr Asri dan kumpulannya ini akan menyemarakkan sokongan orang Melayu kepada Umno. Beliau ini dilaporkan sebagai turut terlibat untuk membawa masuk Dr Asri. Dr Asri sendiri dalam kenyataan ringkas dalam laman webnya menafikan telah membuat keputusan untuk masuk mana-mana parti politik.

Sebelum timbulnya berita ini, akhir-akhir ini, Dr Asri nampaknya lebih mesra dengan PAS. Ketika panas isu beliau ditahan, beliau membuat kunjungan strategik melawat Mursyidul Am PAS di Kelantan. Gambarnya menghadiri Muktamar Pemuda PAS baru-baru ini tersiar di akhbar perdana. Beberapa kali beliau dijemput mengisi forum anjuran kerajaan Kelantan. Jadi berita terbaru ini mungkin mengejutkan dan menggusarkan peminat beliau di dalam PAS atau Pakatan Rakyat (PR).

Mengenali beliau, saya tidaklah terlalu terkejut dengan semua gerak-geri Dr Asri dengan orang-orang politik seperti di atas. Cuma saya simpati kepada mereka yang terlalu lurus dalam membaca gerak-geri politik Dr Asri. Izinkan saya buat komen ringkas untuk bagi membantu menjelaskan letak duduk perkaranya.

1. Tentang benar atau tidak berita ini, saya rasa kalaupun tidak benar tetapi mesti ada asasnya. Kalau tak ada angin tak kan pokok bergoyang. Yang bercakap ini bukan sebarang orang. Dalam majlis yang sama ada Datuk Seri Shahidan Kassim, gandingan utama dan penyokong kuat Dr Asri.

2. Bagi mereka yang cenderung kepada PR, sukakan Dr Asri dan marah dengan berita ini saya katakan: Tak kanlah tak tahu lagi hubungan rapat selama ini antara Dr Asri dengan beberapa tokoh Umno terutama Datuk Seri Shahidan Kassim yang merupakan 'promoter' dan pendokong Dr Asri yang sangat komited dan agresif. Dari dulu saya agak hairan dengan bacaan politik pemimpin dan pendokong PR yang terlalu 'berminat' dengan Dr Asri.

3. Tentang dakwaan bahawa kemasukan Dr Asri akan membawa keuntungan, seperti yang saya tegaskan dan jelaskan dalam beberapa tulisan saya sebelum ini ialah Dr Asri, aliran dan kumpulannya adalah merupakan suara minoriti dan janggal (syaz) di kalangan para ulama dan ilmuwan Islam di negara kita dan dalam peta aliran Islam global amnya. Cuma tak semua ulama dan ilmuwan arus perdana itu mahu bersuara secara terbuka. Jadi hakikatnya, mana-mana parti yang memberi ruang kepada Dr Asri dan mereka yang seumpamanya sebenarnya telah tidak peka dan sensitif kepada pandangan dan perasaan sebegitu ramai ulama dan ilmuwan Islam yang lain. Para ulama dan ilmuwan ini bersikap demikian terhadap Dr Asri berasaskan ilmu dan iman yang ada pada mereka. Mereka ini pula semuanya ada ruang pengaruh mereka masing-masing dan tidak hanya akan berdiam diri melihat sesuatu yang, pada ilmu dan iman mereka, diyakini salah. Oleh itu, dalam realiti politik Malaysia, mana-mana parti politik yang memberikan ruang dan tempat kepada Dr Asri dan mereka yang seumpamanya adalah sebenarnya mendedahkan diri mereka kepada risiko kehilangan sokongan dan bahkan tentangan daripada suatu kelompok yang begitu penting - baik dari segi prinsip agama mahupun perkiraan politik.

Maka, eloklah parti-parti politik yang berminat sangat untuk memberi ruang kepada Dr Asri lebih banyak mengkaji, meneliti dan mengambil pandangan-pandangan yang patut diambil.

(Dalam konteks PAS, saya teringat Tuan Haji Subky Latif, tokoh veteran PAS yang luas pengalamannya, telah menulis dalam kolumnya di Harakah tentang Dr Asri ketika hangat isu penangkapannya dulu. Secara halus dan berlapik, Tuan Haji Subky menyatakan pandangannya bahawa PAS tidak sesuai bagi seseorang yang seperti dan mempunyai agenda seperti Dr Asri.)

4. Tentang dakwaan bahawa ada 100 orang ulama berkelulusan tinggi yang akan bersama-sama Dr Asri menyertai Umno, saya agak sangsi dengan maklumat ini. Tak semua maklumat yang berkaitan Dr Asri mestinya benar seperti dalam kes 'minum air ludah ustaz' yang beliau timbulkan baru-baru ini. Kalau dihitung-hitung rasanya tak cukup 100 orang ulama yang benar-benar ulama yang bersama dengan Dr Asri. Memang ada mereka yang berkelulusan agama yang bersama Dr Asri, tetapi hatta mereka ini belum tentu akan mengikuti langkah Dr Asri jika betulpun beliau akan masuk Umno atau PAS. Saya ketahui dengan pasti bahawa hatta mereka yang berkongsi beberapa fahaman agama dengan Dr Asri tidaklah sentiasa bulat menyokongnya.

Begitulah komen ringkas saya. Moga-moga ada manfaatnya dalam membentuk persepsi yang lebih betul. Wallahu a'lam.

Dr Yusri Mohamad,
Naib Presiden Majlis Amal Islami Malaysia.

Tiada ulasan: