"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes Tian Chua - Mahkamah Wujudkan Kecelaruan?

Mohamed Hanipa Maidin

Isu sama ada Saudara Tian Chua masih layak menjadi Ahli Parlimen Batu kini hangat dibincangkan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan mengurangkan hukuman denda ke atas Tian Chua daripada RM 3000-00 kepada RM 2000-00.

Isu ini melibatkan tafsiran Artikel 48 ( 1 ) (e ) Perlembagaan Persekutuan ( PP ). Artikel 48 Perlembagaan Persekutuan adalah berkaitan dengan kehilangan kelayakan Ahli Parlimen.

Salah satu sebab yang membolehkan seorang Ahli Parlimen seperti Tian Chua boleh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen adalah jika Ahli Parlimen itu disabitkan atas sesuatu kesalahan dan dihukum dengan hukuman penjara untuk tempoh tidak kurang dari satu tahun atau hukuman denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan Ahli Parlimen itu tidak mendapat pengampunan bebas.


Dalam isu Tian Chua ini isunya adalah berkisar kepada frasa “ hukuman denda tidak kurang dari dua ribu ringgit’. Apakah tafsiran yang sebenar tantang frasa tersebut ? Adakah tidak kurang dari dua ribu ringgit termasuk denda sebanyak RM 2000 atau denda RM 2000 tidak termasuk dalam frasa tersebut ?

Melihat kepada alasan penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi ketika mengurangkan hukuman ke atas Tian Chua, hakim tersebut nampaknya tidak bersetuju pilihan raya kecil diadakan di Parlimen Batu. Atas dasar itu beliau mengurangkan hukuman denda daripada RM 3000 kepada RM 2000.

Saya pasti hakim tersebut sedar tentang kewujudan Artikel 48 ( 1 ) ( e ) Perlembagaan Persekutuan semasa beliau membuat keputusan. Secara tersiratnya apabila beliau menjatuhkan hukuman denda RM 2000-00 ke atas Tian Chua , hakim tersebut boleh dikatakan berpendapat denda RM 2000 tidak menyebabkan hilangnya kelayakan Tian Chua sebagai Ahli Parlimen.

Mengapa saya menyimpulkan Hakim tersebut boleh dikatakan berpendapat denda RM 2000 tidak menyebabkan hilangnya kelayakan Tian Chua sebagai Ahli Parlimen. Jawapannya mudah. Pertamanya beliau bersetuju dengan hujah mitigasi ( pengurangan hukuman ) yang dibuat oleh peguambela Tian Chua untuk mengurangkan denda sehingga ke tahap yang membolehkan Tian Chua tidak hilang kelayakan sekaligus dapat mengelakkan pilhanraya kecil.

Bukti beliau menerima hujah peguambela tersebut amat jelas apabila beliau dengan secara terus terang di dalam penghakimannya menyatakan pendirian beliau yang tidak bersetuju pilihanraya kecil diadakan. Oleh itu hakim tersebut bertindak mengurangkan denda kepada RM2000 sahaja di atas keyakinan beliau bahawa hukuman denda RM 2000 tersebut tidak mengakibatkan Tian Chua hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen. Secara tersirat kita boleh katakan Hakim tersebut berpendapat bahawa denda RM 2000 tidak termasuk dalam frasa “ hukuman denda tidak kurang dari RM 2000” yang dinyatakan di dalam Artikel 48 ( 1 ) ( e ) Perlembagaan Persekutuan.

Bagi saya adalah lebih wajar hakim tersebut mengurangkan denda Tian Chua kepada jumlah kurang dari RM 2000 seperti RM 1900 misalnya bagi mengelakkan kecelaruan. Dalam keadaan beliau bersetuju tidak wajar diadakan pilihanraya maka adalah lebih elok beliau mengurangkan hukuman denda kepada jumlah yang kurang dari RM 2000.

Apa pun beliau telah menjatuhkan hukuman denda RM 2000 ke atas Tian Chua. Adakah hukuman RM 2000 itu boleh menyebabkan Tian Chua kini boleh dikatakan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Batu di bawah Artikel 48 ( 1 ) ( e ) Perlembagaan Persekutuan.

Karpal Singh menyatakan hukuman denda RM 2000 menyebabkan Tian Chua hilang kelayakan. Mereka yang menyatakan Tian Chua tidak hilang kelayakan berpegang kepada tafsiran Mahkamah Agung ( pada masa itu ) di dalam kes Pendakwa Raya lwn Leong Ying Ming ( 1993 ) 1 MLJ 177 Mahkamah Agung diminta menafsirkan seksyen 41B( 1 ) ( b ) Akta Dadah Berbahaya. Mahkamah memutuskan frasa hukuman penjara tidak kurang dari 5 tahun bermaksud “ hukuman penjara lebih dari 5 tahun iaitu dari 5 tahun 1 hari hingga hukuman penjara seumur hidup” . Diterjemahkan dalam konteks kes TianChua ia bermaksud jikaTian Chua dikenakan hukuman lebih dari RM2000-00 barulah beliau dikatakan hilang kelayakan.

Dalam hal ini saya bersetuju dengan pendapat Karpal Singh yang menyatakan bahawa hukuman denda RM 2000 itu mengakibatkan Tian Chua hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen. Saya berpendapat perkataan “ denda tidak kurang dari RM 2000-00” di dalam Artikel 48 ( 1 ) ( e ) Perlembagaan Persekutuan adalah terlalu jelas iaitu ia merangkumi hukuman denda RM 2000-00 dan lebih. Dengan lain perkataan jika seseorang Ahli Parlimen itu didenda RM 2000 atau lebih beliau hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

Sebenarnya telah ada precedent sebelum ini bagi kes sebegini.Di dalam kes Fan Yew Teng pada tahun 1975 , Ahli Perlimen DAP tersebut telah diputuskan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Mengelembu apabila beliau disabitkan bersalah di atas tuduhan hasutan dan didenda RM 2000. Bagi saya kes Fan Yew Teng lebih wajar dirujuk dari kes Pendakwa Raya lwn Leong Ying Ming kerana kes Fan Yew Teng melibatkan isu penafsiran Artikel 48 ( 1 ) ( e ) Perlembagaan Persekutuan sama dengan isu Tian Chua.

Ingin saya tegaskan di sini meskipun saya berpendapat hukuman denda RM 2000 menyebabkan Tian Chua boleh dikatakan hilang kelayakan ini tidak bermakna saya setuju dengan hukuman tersebut. Hakikatnya saya merasa pelik bagaimanakah hakim Mahkamah Tinggi boleh mengekalkan sabitan keputusan Mahkamah Majistret yang memutuskan Tian Chua bersalah dalam keadaan keterangan pendakwa bahawa Tian Chua menggigit pegawai polis penuh dengan keraguan. Saya lebih nampak kedua-dua keputusan Magistret dan Hakim mahkamah Tinggi itu adalah keputusan yang tidak betul atau boleh dikatakan “keputusan politik” semata-mata.

Mengenai komen Hakim bahawa pilihan raya kecil akan memberi kesan kepada keseluruhan rakyat negara ini begitu juga kesejahteraan rakyat bagi saya adalah alasan yang nampaknya semacam senada dengan suara pemimpin Umno. Bukankah Najib juga pernah mengatakan lebih kurang macam Hakim itu bercakap semasa memboikot pilihanraya kecil Dun Penanti satu ketika dahulu?

Tiada ulasan: