Clara Chooi
KUALA LUMPUR, 23 Jun: Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin melahirkan rasa tidak senang dengan dakwaan yang mengaitkan beberapa tokoh agama dan politik tempatan yang ternama dengan rangkaian Jemaah Islamiah (JI), sambil mempertahankan mereka sebagai “bukan pengganas”.
Sehubungan itu beliau meminta agar pihak berkuasa melihat isu ini dengan teliti terlebih dahulu sebelum membenarkan dakwaan-dakwaan sedemikian dikeluarkan.
“Kita tidak seharusnya dengan cepat melabel sesetengah individu sebagai anggota JI atau pengikut fahaman wahabi,” kata Ketua Pemuda Barisan Nasional ini.
Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau memberitahu, jika dakwaan sedemikian tidak diteliti secara mendalam ia akan membawa satu mesej yang salah kepada orang ramai.
Ketika ditemui pemberita di bangunan Parlimen hari ini, Khairy berkata, mereka yang dikaitkan dengan dakwaan terbaru ini bukan sembarangan orang tetapi pemimpin agama dan politik yang disegani.
“Saya berharap polis atau Kementerian Dalam Negeri akan meneliti perkara ini dan tanya diri mereka sendiri sama ada mereka faham apa itu fahaman wahabi dan pendirian sebenar setiap individu,” kata Khairy.
Beliau menambah, adalah tidak molek bagi agensi-agensi keselamatan kebangsaan untuk melabel pihak-pihak terbabit sebagai pengikut wahabi atau JI.
“Sudah pasti kami menghormati isu-isu keselamatan tetapi mereka ini bukan pengganas.
“Jika mereka merupakan mufti atau menteri besar, jangan memberitahu saya mereka secara tiba-tiba mereka menjadi ancaman kepada keselamatan kebangsaan. Ia sungguh tidak munasabah,” kata beliau.
Laporan media menyebut nama bekas menteri besar Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta bekas mufti Perlis dan mufti semasa negeri itu dikaitkan dengan JI dan fahaman wahabi pada satu taklimat pihak berkuasa Isnin lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan