"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengadu tarik balik aduan terhadap KM S'wak

Tiga rakyat Sarawak hari ini menarik balik laporan mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan "rasuah" ketua menterinya Tan Sri Taib Mahmud selepas pihak SPRM didakwa enggan memberikan salinan aduan kepada mereka.

Tiga pengadu itu - Ahmad Nazib Johari, James Wong Joon Min dan Ting Chek Ming - mendakwa selepas hampir tiga jam membuat laporan di pejabat SPRM Selangor di Shah Alam, mereka terpaksa pulang hampa selepas permohonan mereka bagi mendapatkan salinan laporan itu ditolak.

"Mereka memberikan alasan tiada peruntukan undang-undang bagi membolehkan salinan diberikan (kepada pengadu). Tetapi bila kami soal kembali mereka gagal menunjukkan peruntukan berkenaan," kata Ahmad Nazib.

Ahmad Nazib, James dan Ting hadir di pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 10.30 pagi tadi dan keluar kira-kira tiga jam kemudian bagi melaporkan dakwaan-dakwaan terhadap Taib yang tersiar dalam sebuah laman web beralamat www.sarawakreport.org.

Aduan mereka diambil oleh timbalan pengarah SPRM negeri Yip Pit Wong sendiri, tambah Ahmad Nazib yang juga seorang peguam.

Ditemui pemberita selepas itu, Ahmad Nazib (kiri) berkata mereka memutuskan untuk tidak meneruskan laporan itu selepas dimaklumkan oleh seorang pegawai bertugas bahawa kes itu "berprofil tinggi".

"Kita tidak mahu terdapat usaha pengubahsuaian atau apa-apa terhadap laporan itu," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Nazib menambah, sebagai rakyat Sarawak yang prihatin, mereka akan kembali lagi dengan aduan bertulis berhubung aduan yang sama - sama ada di SPRM cawangan yang sama atau di ibu pejabatnya di Putrajaya.

"Kita akan hantar semula dan dapatkan cop penerimaannya," jelasnya sambil memberitahu tarikh dan masanya akan diberitahu kemudian.

Ditanya tentang kewibawaan maklumat yang menjadi asas dakwaan laporan mereka, Ahmad menjawab: "Kami tidak tahu. Tetapi ia sudah menjadi berita".

James pula menjawab soalan yang sama berkata: "Sebab itu kami minta siasat."

Tiada ulasan: