"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

40 ulama muda sertai Umno tanpa Asri

Datuk Seri Najib Razak menerima sampul surat 40 borang penyertaan daripada Fadlan Mohd Othman (dua dari kiri) dengan diperhatikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur malam ini.
KUALA LUMPUR, 25 Jun: Sekumpulan 40 ulama yang berusia antara 20-an dan 40-an menyertai Umno malam ini tanpa penyertaan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang banyak disebut-sebut sebelum ini.

Bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim berkata mereka merupakan kumpulan pertama dan akan disusuli dengan sekumpulan kedua dalam waktu terdekat.

“Sebenarnya ada dua golongan yang menyokong Umno. Satu sebagai ahli secara langsung dan lagi bukan ahli tetapi menyokong Umno.

“Dr Asri termasuk dalam kedua-dua kumpulan ini. Tetapi pada masa sekarang Dr Asri dalam kumpulan kedua iaitu menyokong dari luar dan satu hari nanti akan menjadi ahli Umno,” kata beliau menjawab soalan status Asri yang disebut-sebut akan menyertai Umno hari ini.

Kumpulan 40 ulama ini menyerahkan borang penyertaan ahli Umno kepada Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak di tingkat empat Menara Dato' Onn sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Kumpulan itu diketuai oleh Fadlan Mohd Othman, pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dalam pada itu Fadlan berkata idea untuk menyertai Umno dibincangkan secara mendalam sejak beberapa bulan yang lalu untuk mencari ruang berdakwah menerusi parti politik.

“Kami berharap langkah memasuki Umno ini akan menyemarakkan lagi usaha berdakwah menerusi Umno, kami masuk Umno bukan untuk berpolitik walaupun Umno adalah sebuah parti politik,” kata beliau.

Ketika ditanya mengapa tidak memilih PAS sebagai parti politik, Fadlan berkata tiada sebab khusus tetapi dalam parti komponen Pakatan Rakyat itu sudah ada ramai ulama.

Kata beliau, pihaknya merasakan penyertaaan dalam Umno akan menyediakan ruang yang lebih besar untuk tujuan berdakwah.

Rakannya Fathul Bari Mat Jahya berkata Umno memberi ruang yang dicari-cari untuk tujuan berdakwah selepas mereka berhadapan dengan pelbagai sekatan.

Beliau yang merupakan penasihat agama sebuah agensi perubatan di ibu negara tidak menjelaskan sekatan yang dimaksudkan tetapi difahamkan ia berkaitan dengan syarat tauliah yang diwajibkan oleh jabatan-jabatan agama.

Rakan mereka, Asri kini berhadapan dengan tindakan undang-undang Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah.

Shahidan pula menjawab mulai sekarang mereka tidak akan berhadapan dengan masalah memandangkan Umno mempunyai 3.2 juta ahli, jumlah yang cukup besar untuk mereka menyampaikan dakwah.

“Yang saya bimbang, mereka nanti tak cukup masa untuk balik rumah, nanti hanya balik rumah dua kali sebulan,” kata beliau pada sidang media yang sama selepas majlis penyerahan borang.

Ketika ditanya sama ada Umno akan menyediakan golongan ulama sebagai bakal calon pilihan raya umum ke-13, Shahidan berkata, “saya tidak tahu tentang perkara itu.”

“Tetapi saya sebagai Ketua Umno Bahagian Arau merasakan kepimpinan masa depan bahagian, saya merasakan perlu terdiri daripada golongan ilmuan macam ini,” kata beliau.

Ini kali pertama Umno menerima golongan ulama dalam jumlah yang ramai pada satu-satu masa.

Mereka yang terdiri daripada pensyarah, bekerja sendiri dan pekerja swasta menjadi ahli Cawangan Dataran Merdeka dan akan beralih ke negeri masing-masing kemudian.

Pada Sabtu lalu Setiausaha Kerja Umno mengumumkan Asri akan menyertai Umno hari ini.

Asri tidak mengesahkan ataupun menafikan perkara itu sebaliknya memberitahu perbincangan sedang diadakan dengan pucuk kepimpinan Umno.

Ketika ditanya sama ada Asri tidak menyertai mereka untuk memasuki Umno malam kerana isu fahaman wahabi dan Jemaah Islamiah sejak seminggu dua ini, Fadlan berkata, beliau tidak pasti.

“Yang itu kena tanya pada Dr Asri sendiri,” kata beliau sambil menambah, pihaknya tidak memaksa mana-mana ulama menyertai Umno pada hari ini.

Beliau merupakan rakan Asri.

Ketika ditanya sama ada mereka menyertai Umno kerana ada kaitan dengan siasatan amalan wahabi dan JI, Fadlan berkata, “ia tiada kaitan.”

Katanya, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah juga sudah mengatakan bahawa ini masalah peribadi, yang dikaitkan dengan pegawai kanan Institut Latihan Islam Malaysia.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: