"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zunar berkartun sehingga titisan dakwat terakhir

Kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque yang tiga bukunya -- memuatkan kartun-kartun satira diharamkan kerajaan semalam, menuntut penjelasan lanjut daripada Kementerian Dalam Negeri berhubung tindakan itu.

“KDN menuduh bahawa kartun-kartun saya mengandungi bahan yang boleh mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menentang kepimpinan dan dasar kerajaan dan sekiranya dibiarkan, ia boleh memudaratkan ketenteraman awam. Ia adalah satu tuduhan yang serius dan harus ditunjangi dengan alasan perundangan yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zunar sehubungan itu, menuntut Kementerian Dalam Negeri memberi takrifan "mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menentang kepimpinan dan dasar kerajaan dan sekiranya dibiarkan, ia boleh memudaratkan ketenteraman awam" yang digunakan sebagai alasan mengharamkan buku-bukunya itu.

“Saya menuntut KDN/kerajaan memberi penjelasan karya yang mana dan pada muka surat yang mana dari 312 kartun tersebut yang dikategorikan sebagai mengancam keselamatan negara dan tidak sesuai untuk bacaan umum,” katanya.

Menurut Zunar dia bertanggungjawab dan sedia mempertahankan karya-karyanya dan sedia menghadapi tindakan undang-undang.

Katanya, dari sudut perniagaan, pengharaman buku berkenaan membawa kerugian besar kepada syarikatnya dan menjangka pengedar-pengedar seluruh negara akan memulangkan naskah yang telah beredar di pasaran.

Beliau menganggarkan akan kerugian sekitar RM50,000 hingga RM80,000.

“Tetapi, keuntungan material bukanlah matlamat utama saya. Sebagai kartunis, tanggungjawab sosial adalah keutamaan saya. Melalui karya kartun, saya akan terus membongkar kezaliman, rasuah dan salah laku kerajaan BN,” katanya.

Ujar Zunar, meskipun buku dan majalahnya diharamkan, namun kerajaan tidak boleh mengharamkan mindanya.

"Saya akan terus berkartun sehingga ke titisan dakwat terakhir," katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan buku kartun 1Funny Malaysia, Perak Darul Kartun dan Isu Dalam Kartun, terbitan syarikat Kinibooks - anak syarikat Malaysiakini telah diharamkan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Menurut akta itu, mereka yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau memiliki bahan penerbitan dilarang, jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Tiada ulasan: